Myself

Myself

Wednesday 28 November 2012

Kemahiran Yang Perlu Dikuasai Graduan & Cadangan Penambahbaikan - Tugasan OUMH1103

PENGENALAN

Peribahasa melayu ada menyebutkan, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Peribahasa ini sebenarnya sesuai ditujukan kepada bakal graduan yang akan menamatkan pengajian di Institusi-institusi Pengajian Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), dimana mereka akan berdepan dengan cabaran yang hebat dalam mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan serta kursus yang diambil semasa belajar. Mahu atau tidak, suka atau tidak, bakal graduan yang bakal menamatkan pengajian akan menghadapi kesukaran dalam mencari pekerjaan, seandainya mereka kurang menguasai pelbagai kemahiran yang perlu ada dan perlu dikuasai oleh bakal graduan ketika berada di universiti. Apatah lagi budaya persaingan dalam konteks pekerjaan sama ada dalam bidang swasta atau kerajaan semakin tinggi dan seringkali menjadi punca graduan menganggur. Menurut Sam Hagg (2012), Pengurus Negara Manpower Staffing Services (M) Sdn. Bhd., 6 daripada 10 graduan keluaran universiti-universiti tempatan, akan mengambil masa sehingga enam bulan untuk mendapatkan pekerjaan, manakala 40 peratus lagi mengambil masa yang lebih lama. Malahan, menurut statistik yang direkodkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2011, seramai 32,000 graduan gagal mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian dari universiti-universiti tempatan. Memiliki segulung ijazah sahaja tidak akan menjamin seseorang bakal graduan itu untuk terus memiliki pekerjaan. Banyak hal dan perkara yang akan diambil kira oleh majikan-majikan yang ingin menggaji mereka. Oleh itu, suka atau tidak, para bakal graduan sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan, selain daripada mempersiapkan diri seawal mungkin dengan pelbagai kemahiran, agar dapat berdepan dengan cabaran dalam persaingan mencari pekerjaan.
Dalam konteks kesukaran graduan mencari pekerjaan ini, bukan kredibiliti bakal graduan itu sahaja dipersoalkan, malah kredibiliti universiti-universiti yang melahirkan para graduan itu juga turut sama menerima tempiasnya, terutama sekali dalam memersiapkan mereka mendepani cabaran dalam mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan ijazah yang dimiliki. Hal ini terbukti dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) oleh Perdana Menteri Malaysia, iaitu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) paling baru dalam Institusi Pengajian Tinggi ialah elemen kebolehpasaran graduan. Hal ini merujuk, bukan sahaja dalam melahirkan bakal graduan yang mampu berdepan dalam pelbagai perkara, antaranya persaingan mencari pekerjaan dan sebagainya, tetapi juga dalam konteks yang lebih besar, iaitu melahirkan modal insan yang diperlukan negara. Secara amnya, bakal graduan perlu menitik beratkan beberapa kemahiran yang perlu dikuasai ketika berada di kampus, agar dapat berdepan dengan cabaran dalam mencari pekerjaan, seterusnya mampu melahirkan modal insan kepada negara. Terdapat beberapa kemahiran yang akan dinilai oleh majikan-majikan yang ingin mengambil para bakal graduan menjadi pekerja.

Kemahiran-kemahiran yang perlu di kuasai oleh graduan

Kemahiran Berkomunikasi

Kemahiran yang paling utama yang perlu dikuasai oleh bakal graduan ialah Kemahiran Berkomunikasi. Kemahiran ini merupakan kemahiran paling asas yang perlu diutamakan kerana majikan akan meneliti dan menguji graduan samaada kemahiran berkomunikasi mereka adalah benar-benar pada tahap yang diingini. Memandangkan pada masa ini Malaysia merupakan salah sebuah negara dunia ketiga yang pesat membangun, maka tidak hairanlah mengapa Malaysia pada masa ini dibanjiri oleh pelabur-pelabur asing yang ingin menjalankan perniagaan yang sesuai dengan iklim ekonomi negara. Secara tidak langsung, situasi ini akan memerlukan tenaga kerja mahir yang pastinya boleh berkomunikasi dengan baik, terutamanya dalam bahasa inggeris. Bukan sahaja hanya mampu bertutur dengan fasih, tetapi juga menguasai secara lisan. Ini kerana, penguasaan terhadap bahasa inggeris seperti berkomunikasi dengan baik, akan membolehkan bakal graduan menghasilkan idea yang kritis dan kreatif untuk membantu menarik minat pelabur agar mengikat perjanjian perniagaan. Selain itu, kehendak pelanggan dalam urusan perniagaan juga dapat difahami dengan jelas dan baik. Apabila penguasaan kemahiran berkomunikasi ini dapat dikuasai, maka daya keyakinan akan menjadi lebih tinggi. Malah, bakal graduan juga akan berpeluang besar dalam mendapatkan sesuatu kerjaya kerana mempunyai idea yang bernas selain mempunyai pengetahuan teknikal yang mantap. Penguasaan kemahiran berkomunikasi dengan baik, terutama sekali dalam bahasa inggeris juga mampu membantu survival bakal graduan dalam cabaran pencarian kerjaya yang bersesuaian dengan bidang dan kemahiran yang mereka ada, seperti yang dinyatakan oleh Dr. Marie Aimee Torres, seorang penyelidik senior di Jabatan Pembangunan Pelajaran, Universiti Malaya (UM), bahawa penguasaan dalam bahasa inggeris umpama penentu kepada graduan agar lebih berkemampuan bersaing secara efektif dalam pasaran kerja.



Kemahiran Berpasukan

Kemahiran yang perlu ada dan dikuasai oleh para graduan dan yang diingini majikan juga ialah Kemahiran Kerja Berpasukan. Persaingan yang berlaku dalam dunia pasaran pekerjaan di antara para bakal graduan yang telah menamatkan pelajaran saban tahun menyebabkan ramai graduan yang sukar mendapatkan pekerjaan. Seharusnya para bakal graduan perlu menggunakan situasi tersebut dengan cuba untuk mengumpul seberapa banyak kemahiran yang perlu digunakan selepas habis belajar kelak. Kemahiran kerja berpasukan adalah berbeza daripada kerja individu. Kerja berpasukan menuntut seseorang itu bekerja dengan lebih ramai orang tetapi dalam satu kumpulan. Komitmen yang tinggi sangat dituntut dalam kerja berpasukan. Seseorang itu perlu menunjukkan dia adalah seorang pemain di dalam pasukan tersebut, selain mampu dan berkeupayaan untuk menguruskan dan menjadi wakil dalam tanggungjawab yang diberikan. Selain itu, bekerja di dalam satu pasukan juga menuntut agar sesorang itu mampu serta dapat membina hubungan yang positif dengan rakan sekerja, sekaligus dapat membantu mencapai matlamat kerja dan objektif perniagaan yang dijalankan, malah mampu meningkatkan kualiti kerja.Tambahan pula, masalah-masalah di dalam proses seuatu pekerjaan adalah bersifat komplek serta akan membabitkan pelbagai bahagian dan sistem. Maka secara logiknya, penyelesaian masalah hal sedemikian adalah di luar batas kemampuan individu. Oleh itu, penting kepada graduan agar dapat menguasai kemahiran bekerja secara berpasukan agar mereka dapat menjalankan kerja sekiranya diminta menguruskan sesuatu urusan secara berkumpulan. Pendedahan yang diberikan atau yang ditimba ketika menjalankan sesi praktikal perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para bakal graduan, kerana ketika sesi praktikal inilah mereka akan didedahkan dengan pengalaman kerja berkumpulan serta membina hubungan dengan orang lain, iaitu rakan sekerja.

Kemahiran Penyelesaian Masalah

Selain itu, penguasaan dalam Kemahiran Penyelesaian Masalah juga penting kepada bakal graduan dalam mencari kerja. Kemahiran ini adalah di antara kriteria yang paling penting dan utama kepada majikan dalam mencari pekerja. Menurut Ramon Chelvarajasingam, Ketua Pegawai Sumber Manusia Hong Leong Bank, rata-rata graduan luar adalah lebih maju dari aspek pemikiran kritikal, lebih inovasi, malah berfikir di luar kebiasaan serta bermotivasi tinggi untuk maju ke hadapan, terutama inisiatif pembangunan secara berterusan, berbanding graduan di Malaysia. Maka, perlu bagi bakal graduan untuk cuba memajukan diri dengan mempersiapkan diri mereka di dalam menguasai kemahiran ini. Dalam apa jua bidang yang diceburi, semuanya tidak akan pernah terlepas daripada menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul di dalam kerja. Bakal graduan seharusnya lebih bersedia dari pelbagai aspek, seperti dari aspek mental kerana penyelesaian masalah merupakan proses mental dalam mengatasi halangan ketika melakukan sesuatu tugasan. Walaupun boleh mendatangkan cabaran, namun kejayaan dalam menyelesaikan masalah itu akan menimbulkan keseronokan. Malah, dari satu sudut pula, kemahiran penyelesaian masalah ini perlu dikuasai kerana ini merupakan satu kelebihan kerana dapat menyelesaikan sesuatu permaslahan dari pelbagai aspek. Maka, bakal graduan perlu mengambil peluang yang ada ketika menjalani praktikal untuk sama-sama terlibat dalam situasi yang memerlukan penyelesaian masalah dengan memberi sumbangan idea yang bernas bagi menyelesaikan masalah. Kemahiran ini juga adalah di antara kriteria-kriteria penting yang perlu ada pada bakal graduan di dalam proses mencari kerja kelak.

Kemahiran Kepimpinan

Selain itu, Kemahiran Kepimpinan juga perlu dikuasai oleh bakal graduan. Kejayaan sesebuah perniagaan atau jatuh bangunnya sesuatu itu adalah berdasarkan kepada kepimpinan. Kriteria ini juga sangat penting untuk dikuasai oleh bakal graduan, sebagai salah satu daripada antara beberapa kemahiran-kemahiran yang penting untuk dikuasai. Walaupun bakal graduan tidak akan memegang jawatan tertinggi terus ketika menceburkan diri di dalam bidang pekerjaan, namun mereka perlu menunjukkan potensi sebagai seorang pemimpin, yang mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan, seterusnya melaksanakan tugas tersebut kerana ciri-ciri kepimpinan juga akan dinilai oleh majikan. Mereka juga perlu mampu menunjukkan potensi dalam memotivasikan serta memberi dorongan kepada rakan sekerja yang akan bekerja bersama mereka kelak. Apa yang paling penting di dalam sikap kepimpinan ini ialah, bakal graduan perlu tahu tentang tugasan yang diterima seterusnya melaksanakan tugasan yang diberi dengan baik, menentukan tarikh akhir tugasan serta menunjukkan kepimpinan dengan memberikan contoh-contoh yang baik kepada orang lain atau rakan setugas yang lain. Kemahiran Kepimpinan sebenarnya telah dipupuk ketika menuntut di universiti di kalangan para bakal graduan, samaada secara langsung mahupun tidak langsung.


Kemahiran Pengurusan

Seterusnya, bakal graduan perlu memiliki Kemahiran Pengurusan. Melalui kemahiran ini, majikan akan menilai samaada graduan itu mampu menguruskan sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya. Malah, majikan juga akan mempastikan juga samaada graduan itu mampu melakukan kerja secara efisien dan produktif, untuk menjamin kualiti kerja yang baik serta pada tahap yang diingini. Dalam kemahiran pengurusan ini, perkara yang sangat penting juga ialah pengurusan masa. Kemampuan mengurus yang baik terutamanya di dalam memutuskan untuk melakukan kerja yang perlu diberi keutamaan dan fokus serta perlu diselesaikan mengikut masa juga akan diambil kira oleh majikan. Kemahiran pengurusan yang baik adalah bonus buat sesuatu organisasi kerana bukan sahaja mempunyai pekerja yang cekap dan efisien dalam melakukan tugasan yang diberi, tetapi juga sebagai jaminan kepada penghasilan kerja yang berkualiti, malah mampu memuaskan hati pelanggan.

Cadangan kepada bakal graduan, Badan Kerajaan atau Institusi Pendidikan di Malaysia bagi mempastikan bakal graduan dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan

Berdasarkan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh bakal graduan seperti yang terdapat di atas, maka adalah perlu bagi para bakal graduan itu sendiri, dengan inisiatif yang ada, agar dapat menambah kelengkapan di dalam memiliki kemahiran-kemahiran tersebut. Selain itu, pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti badan-badan kerajaan dan institusi-institusi pendidikan rendah atau tinggi perlu mengambil langkah dan insiatif agar dapat mempersiapkan bakal graduan dalam menghadapi cabaran dalam globalisasi pencarian kerjaya agar mampu bersaing, malah setanding dengan tenaga-tenaga mahir yang terdapat di luar sana serta di lahirkan oleh universiti-universiti lain. Secara amnya, bakal graduan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab itu perlu menitikberatkan penguasaan Kemahiran Insaniah di kalangan bakal graduan, kerana kemahiran ini adalah merupakan rangkuman kepada aspek kemahiran generik, iaitu aspek kemahiran yang sangat diperlukan dalam dunia pekerjaan yang bersifat global. Maka wajiblah bagi bakal graduan perlu menilai dan menepati kehendak pasaran kerja yang kian mencabar. Apatah lagi dengan perubahan teknologi pada masa ini yang sangat pantas.


Cadangan kepada bakal graduan

Cadangan yang pertama ialah kepada bakal graduan itu sendiri, iaitu dengan memastikan agar mereka perlu lebih aktif dan rajin dalam menyertai pelbagai aktiviti atau program yang dapat membantu mereka dalam menguasai kemahiran berkomunikasi, terutamanya di dalam bahasa inggeris. Secara amnya, penguasaan kemahiran berkomunikasi merupakan kriteria utama yang akan dinilai dan diperlukan oleh majikan terhadap graduan yang mencari pekerjaan. Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Sam Haggag, Pengurus Negara Manpower Staffing Services (M) Sdn. Bhd. bahawa kurang penguasaan bahasa inggeris menyebabkan kebolehan para graduan dalam berkomunikasi di luar sempadan Malaysia, membolehkan mereka kurang yakin dan upaya dalam penambahan nilai di tempat kerja. Melalui kenyataan tersebut maka bakal graduan perlu lebih komited dalam penguasaan bahasa inggeris. Penguasaan kemahiran berkomunikasi ini, terutamanya penguasaan dalam bahasa inggeris juga membolehkan bakal graduan dapat mempertingkatkan lagi tahap keyakinan berkomunikasi mereka dengan orang luar, iaitu pelabur-pelabur atau peniaga-peniaga dari negara luar. Malahan, dengan keyakinan yang tinggi apabila dapat menguasai kemahiran berkomunikasi, terutamanya dari aspek lisan, maka mereka akan dapat menyalurkan pelbagai idea yang kritis dan kreatif disebabkan kemampuan mereka berkomunikasi dengan baik menggunakan bahasa inggeris. Oleh itu, para bakal graduan perlu berusaha dengan mengambil peluang yang sedia ada sekiranya mereka ingin menguasai bahasa tersebut dengan lebih baik lagi disamping perlu lebih komited dengan memilih inisiatif sendiri untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi karenah majikan yang menginginkan penguasaan komunikasi dalam bahasa inggeris pada tahap yang tinggi atau standard.
Cadangan yang kedua pula ialah, bakal graduan perlu atau wajib menyertai aktiviti-aktiviti persatuan samaada di dalam, mahupun di luar kampus, dengan pihak universiti perlu memantau atau menghadkan penglibatan bakal graduan sekiranya terlibat dengan persatuan luar kampus. Penglibatan di dalam aktiviti persatuan ini kepada bakal graduan ialah, melaluinya, bakal graduan akan dapat meningkatkan keyakinan ketika berdepan dengan orang ramai, selain mengasah kemahiran berkomunikasi mereka dengan komuniti yang ada di dalam persatuan yang disertai. Dari aspek individual pula, penglibatan ini akan membantu bakal graduan memupuk semangat dalam kerja berpasukan. Malah, ianya merupakan pendedahan kepada bakal graduan sebelum memasuki alam kerjaya yang sebenar dalam perkongsian idea dan mengemukakan idea yang kritis untuk sesuatu maklumat sekiranya ingin menyelesaikan masalah. Dari itu, bakal graduan juga dapat menggunakan kesempatan tersebut untuk membiasakan diri dengan perkongsian idea dengan komuniti yang terlibat di dalam persatuan tersebut. Selain itu, bakal graduan juga dapat memupuk diri dengan sifat kepimpinan dalam diri mereka dengan menjadi pemimpin kepada rakan yang lain. Ini kerana, kemahiran-kemahiran tersebut, seperti kemahiran kerja berpasukan dan kemahiran kepimpinan merupakan aspek dan kriteria yang dicari oleh majikan. Penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti persatuan juga merupakan satu batu loncatan buat bakal graduan dalam mempuku seterusnya membiasakan dri mereka dengan kemahiran pengurusan organisasi. Ianya umpama suatu pendedahan kepada bakal graduan dalam salah seorang daripada pekerja yang bakal menguruskan sesuatu organisasi.
Cadangan yang ketiga pula ialah aplikasi praktikal. Cadangan ini melibatkan penglibatan institusi-institusi pendidikan yang menjadi pengeluar kepada bakal-bakal graduan yang akan berdepan dengan cabaran global pasaran kerja kelak. Aplikasi praktikal membolehkan bakal graduan lebih bersedia dalam berdepan dengan situasi sebenar di dalam pekerjaan yang bakal diceburi kelak. Melalui pengaplikasian ini juga, bakal graduan akan dapat mempersiapkan diri dengan kehendak dan keperluan yang perlu dipenuhi oleh pelanggan. Selain itu, melalui aplikasi praktikal ini juga, bakal graduan akan mempunyai lebih kesedaran lagi terhadap tugas yang bakal dilaksanakan dan digalas kelak. Sebagai contohnya, dalam bidang perubatan dimana pengalaman dan pengetahuan klinikal adalah lebih diutamakan berbanding amali, ini kerana, situasi yang bakal dihadapi kelak adalah berbeza dan sekiranya aplikasi praktikal kurang dilakukan, maka bakal graduan perubatan akan menghadapi kesukaran dalam menghadapi situasi di tempat mereka bekerja kelak. Malah, mereka juga tidak akan dapat mempersiapkan diri menguasai sesuatu prosedur. Begitu juga halnya dengan bidang praktikal kerja yang lain, seperti bidang kejuruteraan, perbankan dan pendidikan. Pendek kata, aplikasi praktikal adalah perlu diutamakan oleh institusi pendidikan kepada bakal graduan. Disamping itu, kaedah ini turut dapat meningkatkan kualiti kerja mereka kelak kerana sudah biasa dalam melakukan tugasan yang diberikan ketika menjalani sesi praktikal. Malahan, aplikasi praktikal ini juga akan melahirkan tenaga kerja mahir yang menjadi antara kriteria pilihan majikan.

Cadangan kepada Institusi-institusi pendidikan

Cadangan yang keempat ialah, pendedahan awal aspek kerjaya kepada bakal graduan. Institusi-institusi pendidikan perlu mengambil kesempatan, agar memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah khasnya tentang kerjaya yang ditawarkan kelak dengan mengikuti pengajian yang ditawarkan di universiti-universiti tempatan. Dengan adanya pendedahan ini kepada murid-murid sekolah, maka secara tidak langsung, ini akan dapat membantu mereka lebih bersedia sedari awal apakah bidang yang ingin diceburi kelak ketika menuntut di universiti. Mereka akan dapat mengumpul seberapa banyak keperluan yang penting, seperti kemahiran-kemahiran insaniah yang perlu dikuasai dan dimiliki sebelum melangkahkan kaki ke gerbang kerjaya kelak. Sebagai contoh, ekspo kerjaya yang diadakan di sekolah-sekolah menengah saban tahun adalah bertujuan dalam memperkenalkan bidang kerjaya yang memerlukan tenaga mahir kelak sekaligus memberi mereka persediaan agar dapat bersedia berdepan dengan situasi sebenar alam kerjaya yang mencabar. Pihak institusi-institusi pendidikan yang berkaitan juga perlu mengadakan program berkaitan dengan keusahawanan, kerana melalui program ini bakal-bakal graduan akan dapat mengaplikasikan kebolehan yang mereka ada untuk menghasilkan produk atau menjual produk. Dengan adanya lebih banyak lagi program keusahawanan ini, lebih banyak manfaat serta kemahiran insaniah yang dapat dipupuk serta dikuasai oleh bakal graduan.
Cadangan kelima pula ialah institusi-institusi pendidikan juga perlu memperbanyakkan dan mempelbagaikan program-program ilmiah yang dapat membantu penguasaan kemahiran berkomunikasi bakal graduan, terutama sekalai dalam bahasa inggeris. Hal ini kerana, penggunaan bahasa inggeris khasnya secara lisan di kalangan graduan universiti luar lebih baik berbanding graduan universiti-universiti tempatan. Ini dapat dibuktikan melalui kenyataan oleh Dr Marie Aimee Tourres, iaitu Pengkaji Senior di Jabatan Pembangunan Pelajaran Universiti Malaya (UM), walaupun orang-orang di Pakistan, terutamanya graduan-graduan di sana menggunakan pelbagai jenis dialek selain bahasa Urdu, namun penggunaan bahasa inggeris mereka adalah lebih bagus berbanding graduan di Malaysia. Dengan mempelbagaikan program ilmiah berkaitan kemahiran komunikasi ini, maka sedikit sebanyak ia akan dapat membantu meningkatkan penguasaan kemahiran berkomunikasi, terutamanya bahasa inggeris ke tahap yang lebih baik lagi. Maka pihak-pihak berkenaan perlu menggubal kurikulum mereka agar dapat dibuat penambahbaikan ke arah menghasilkan bakal graduan yang dapat menguasai bahasa inggeris, setanding graduan-graduan luar.

Cadangan kepada Badan kerajaan

Seterusnya, cadangan keenam pula ialah, perlu wujud kerjasama antara badan kerajaan yang berkaitan dengan institusi-institusi pendidikan tempatan. Badan kerajaan yang berkenaan ialah Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran, selain badan-badan kerajaan lain yang berkaitan dengan pelbagai bidang. Dengan adanya kerjasama ini, maka akan lebih banyak lagi program dapat diadakan dalam membantu bakal graduan meningkatkan lagi tahap kreativiti mereka, sekaligus dapat mengetengahkan bakat serta membantu mereka mempersiapkan diri berdepan cabaran global pasaran kerja dan menguasai malahan mengasah kemahiran insaniah yang perlu ada dalam diri untuk mencari pekerjaan kelak dengan berasaskan program-program yang mampu merangsang kemahiran berfikir mereka. Sebagai contoh pada masa ini, pihak berkenaan menganjurkan Pertandingan Robotik, yang antara lainnya bertujuan mendidik bakal graduan dalam menghasilkan karya yang canggih untuk manfaat generasi akan datang. Pihak-pihak berkenaan juga perlu memperbanyakkan lagi program-program seperti rekacipta dan program-program yang dapat membantu meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi bakal graduan ini terutamanya dalam bahasa inggeris, program-program yang mengutamakan kepimpinan dikalangan bakal-bakal graduan serta program-program yang memerlukan bakal graduan berhadapan dengan orang ramai bagi meningkatkan tahap keyakinan diri mereka.

Rumusan

Kemahiran insaniah atau soft skills merupakan intipati utama dalam pengajian di universiti-universiti tempatan, samaada secara langsung ataupun tidak, merupakan kemahiran yang perlu dimiliki serta dikuasai oleh bakal graduan sekiranya mereka ingin mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan segulung ijazah yang dimiliki. Malahan, kemahiran insaniah ini turut mampu melahirkan graduan yang kompeten serta mampu mendepani masa depan dengan baik. Berdasarkan situasi global pasaran kerja pada masa ini, yang mana majikan-majikan yang akan mengambil bakal-bakal graduan bekerja kelak, maka adalah sangat penting agar bakal-bakal graduan mempunyai kemahiran-kemahiran insaniah, kerana selain menjadi keutamaan kepada majikan, ia juga mampu menjadikan seseorang itu lebih bijak dan memiliki kebolehan berfikir dan bertindak, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohammad Khaled Nordin kepada Berita Harian (2010), iaitu graduan berkualiti akan menyumbang kepada kekuatan modal insan atau bakat yang diperlukan negara. Oleh yang demikian, kemahiran insaniah bukan sahaja berfungsi dalam membantu bakal graduan mendapatkan kerja, tetapi juga berfungsi sebagai alat dalam melahirkan modal insan yang cemerlang. Dengan kerjasama semua pihak berkaitan, terutamanya dalam penganjuran pelbagai program, maka bakal graduan akan dapat mempersiapkan diri mereka melalui kemahiran insaniah yang menjadi keutamaan seperti penguasaan bahasa inggeris dengan baik di dalam kemahiran berkomunikasi. Sekiranya semua kemahiran insaniah itu dapat dimiliki oleh bakal graduan, maka statistik pengangguran dikalangan graduan akan berkurangan saban tahun, kerana keupayaan graduan kelahiran universiti-universiti tempatan yang mampu bersaing serta setanding dengan graduan universiti luar. (3, 039 patah perkataan).













No comments:

Post a Comment