Myself

Myself

Monday 29 July 2013

Tugasan HBML2103 : Pengajaran Tatabahasa Secara Tidak Langsung

  1. PENGENALAN
Dalam pengajaran bahasa terutamanya pengajaran Bahasa Melayu, bidang tatabahasa merupakan aspek penting yang perlu dititikberat serta diutamakan oleh guru-guru. Aspek tatabahasa merangkumi beberapa perkara yang mengajar murid-murid mahir dalam pembinaan ayat, penggunaan sesuatu perkataan yang sesuai dalam sesuatu ayat serta mengenali pelbagai jenis ayat dan kata. Itu hanya beberapa perkara yang saya nyatakan kerana dalam Bahasa Melayu sahaja ada pelbagai lagi aspek yang perlu diajar kepada murid dan murid perlu menguasainya atau sekurang-kurangnya perlu mengetahui tentang aspek-aspek tersebut. Pengajaran aspek tatabahasa secara amnya adalah mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Huraian Sukatan Pelajaran. Guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu akan mengajar tatabahasa secara langsung dan ada juga secara tidak langsung. Namun, walau apa juga cara pengajarannya samaada secara langsung atau tidak langsung, aspek tatabahasa perlu ada dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Ada pro dan kontranya pengajaran secara langsung atau tidak langsung itu kerana apa juga pengajaran mata pelajaran itu akan menghadapi masalah. Dari segi pronya, murid akan dapat menjana minda mereka secara automatik jika guru mengajar secara langsung. Murid akan mengetahui dan menyedari bahawa guru sedang mengajar tatabahasa contohnya membina ayat penyata atau ayat tanya. Manakala dari segi kontra pula, murid akan menjadi malas untuk berfikir sendiri kerana guru perlu menerangkan satu persatu. Berlainan pula jika pengajaran tatabahasa itu diajar secara tidak langsung. Sudah tentulah kebaikannya, guru dan murid akan dapat mengaitkan pembelajaran tersebut dengan situasi sebenar seperti contohnya, pembinaan ayat secara lisan tanpa ditulis dan ini akan membantu murid-murid dalam meningkatkan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK) mereka. Ironinya, terpulanglah kepada guru-guru itu melaksanakan pengajaran aspek tatabahasa ini secara langsung atau tidak langsung asalkan prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa perlu digunapakai dalam menentukan keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran tatabahasa. Menurut Kamus Dewan (1984: 1056), prinsip mendukung makna asas atau dasar yang menjadi pokok sesuatu pemikiran, kajian atau tindakan sesuatu teori. Maka dengan itu, sesuatu teori itu adalah penentu apakah prinsip yang harus dipegang dalam pengajaran. Dengan berpegang serta mengaplikasikan prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa, maka sesi pengajaran dan pembelajaran tatabahasa akan lebih berkesan dan efektik dalam menyampaikan isi pelajaran serta mencapai objektif pembelajaran yang ingin disasarkan oleh guru. Prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa adalah pelbagai dan terpulang kepada guru itu dalam mengaplikasikannya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran tatabahasa. Apapun teknik dan kaedah yang digunakan oleh guru, yang pasti prinsip-prinsip pengajaran perlu diutamakan agar penyampaian aspek tatabahasa dalam pengajaran dapat mencapai objektif. Penting agar semua guru dapat menggunakan prinsip-prinsip yang ada dalam pengajaran tatabahasa bagi membantu murid lebih memahami apa itu tatabahasa kerana pembelajaran tatabahasa bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi murid perlu mengetahui banyak perkara melalui tatabahasa seperti penggunaan tanda bacaan yang betul dan tepat pada ayat selain dapat membantu murid membezakan jenis-jenis ayat. Prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa ini juga boleh diperoleh seterusnya digunapakai berdasarkan teori-teori pembelajaran seperti Behavioris. Prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa ini penting sebagai garis panduan dalam pengajaran tatabahasa agar guru dapat mencapai objektif dengan cemerlang. Selain berdasarkan teori-teori pembelajaran, prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa juga adalah daripada prinsip-prinsip umum pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

  1. PRINSIP-PRINSIP PENGAJARAN TATABAHASA BAHASA MELAYU DI PERINGKAT SEKOLAH

Pengajaran tatabahasa Bahasa Melayu di peringkat sekolah mementingkan penguasaan murid terhadap beberapa perkara asas seperti pembinaan ayat yang betul dari segi konteks dan situasi. Selain itu, murid juga perlu didedahkan kepada beberapa jenis ayat, penggunaan tanda bacaan, penanda wacana, simpulan bahasa, peribahasa dan sebagainya lagi serta murid dapat menguasainya dengan baik. Pengajaran tatabahasa ini memerlukan beberapa prinsip yang perlu dijadikan sebagai garis panduan agar guru dapat mengajar dan mencapai objektifnya sementara murid dapat menguasai tatabahasa. Berikut adalah beberapa prinsip umum dalam pengajaran tatabahasa Bahasa Melayu.
Prinsip pertama pengajaran tatabahasa Bahasa Melayu ialah, guru perlu membuat perancangan yang rapi terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam aspek tatabahasa yang ingin disampaikan kepada murid. Guru perlu menyediakan satu Rancangan Pengajaran yang berkesan dan sesuai dalam pengajaran tatabahasa. Melalui Rancangan Pengajaran ini guru dapat merancang beberapa aktiviti yang dirasakan sesuai dengan aras murid-murid di dalam kelas yang berbeza-beza selain memanfaatkan masa yang diberikan adalah mencukupi untuk setiap aktiviti yang dirancang oleh guru itu. Contohnya Kuiz Membina Ayat atau perbincangan kum pulan membina ayat. Lazimnya, dalam penyediaan Rancangan Pengajaran ini, guru perlu memfokuskan beberapa perkara agar dapat mencapai target atau objektif pengajarannya sekurang-kurangnya tiga daripada lima atau dua daripada tiga objektif yang ingin dicapai. Guru juga perlu sedar bahawa perancangan yang rapi itu akan dapat menjamin keberkesanan penyampaian seorang guru dengan lebih bermakna dan berkesan. Sesi pengajaran dan pembelajaran juga akan menjadi lebih menarik dengan perkembangan idea oleh guru sebelum memulakan pengajaran.
Prinsip yang kedua ialah, guru perlu memulakan proses pengajaran dan pembelajaran tatabahasa daripada yang mudah kepada yang lebih susah atau lebih kompleks. Guru perlu mengelakkan diri daripada mengajar atau mendedahkan murid kepada sesuatu yang kompleks terlebih dahulu apatah lagi jika ianya berkaitan dengan tatabahasa. Pengajaran secara berperingkat daripada senang kepada susah merupakan satu langkah yang bijak kerana murid perlu memahami terlebih dahulu konsep tatabahasa yang diajar kemudian barulah mereka dapat mengaplikasi dan memahaminya. Selain itu, prinsip ini turut bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan dan kesukaran kepada murid dalam memahami isi pelajaran tatabahasa yang disampaikan oleh sesorang guru itu. Tambahan lagi, di dalam bilik darjah itu pula murid-muridnya adalah terdiri daripada pelbagai tahap atau aras kecerdasan mereka, iaitu ada murid yang dapat memahami pelajaran tatabahasa dengan mudah dan cepat manakala ada pula murid yang lambat (slow learner) dalam memahami atau menguasai tatabahasa. Oleh sebab itu, adalah penting agar guru menyampaikan isi pelajaran tatabahasa itu bermula dengan perkara-perkara asas dan yang mudah difahami oleh murid.
Prinsip ketiga pula ialah, persediaan oleh guru terhadap murid-murid dengan latih tubi dalam jumlah yang memadai atau banyak. Melalui latih tubi ini, murid bukan sahaja dapat memahami dan menguasai aspek tatabahasa dengan baik, malahan murid-murid dapat membantu diri mereka dalam memperkayakan lagi kosa kata. Kosa kata pula merupakan salah satu daripada aspek tatabahasa. Latih tubi ini boleh diberikan oleh guru samaada pada penghujung sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas ataupun sebagai kerja tambahan kepada murid ketika berada di rumah. Latihan latih tubi yang disediakan oleh guru kepada murid-murid boleh dibuat sama ada dalam bentuk tulisan ataupun lisan yang mampu mengekalkan ingatan murid-murid terhadap aspek tatabahasa yang mereka pelajari dengan lebih kukuh lagi. Bagi pihak guru pula, latihan latih tubi ini pula berfungsi sebagai alat yang akan mengesan kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh murid-murid. Maka, dengan adanya alat ini, bolehlah guru-guru membuat atau melakukan tindakan yang sewajarnya dalam membantu murid-murid tersebut, yang sudah dikenalpasti mempunyai kelemahan untuk dibantu agar dapat menguasai aspek tatabahasa dengan lebih baik lagi.
Prinsip yang keempat dalam pengajaran tatabahasa Bahasa Melayu ini ialah, pengajaran secara konkrit dengan penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan bahan rangsangan lain yang sesuai serta menarik dan berkesan. Penggunaan BBM dan bahan rangsangan lain yang sesuai ini bertujuan untuk menarik minat murid-murid agar lebih fokus terhadap isi pelajaran mengenai tatabahasa yang disampaikan oleh guru. Selain itu, sesi pengajaran dan pembelajaran pula tidak akan membosankan dengan adanya BBM yang menarik utnuk digunapakai sepanjang sesi berlangsung. Secara tidak langsung, murid akan lebih tertarik serta menambah atau meningkatkan kefahaman mereka terhadap isi pelajaran mengenai tatabahasa. Bagi guru pula, faedah penggunaan BBM ini bukan sahaja mampu menarik minat murid untuk belajar tatabahasa tetapi juga bahan-bahan tersebut dapat membantu guru-guru dalam proses penyampaian isi pelajaran kepada murid. Ia membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah serta dapat membantu guru mencapai objektif pengajaran pada hari tersebut.
Prinsip seterusnya ialah, guru perlu mahir tentang selok-belok aspek tatabahasa yang ingin diajarkan. Oleh itu, adalah penting bagi seorang guru Bahasa Melayu yang ingin mengajar tatabahasa itu supaya mengenalpasti struktur isi pelajaran dengan lebih jelas sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Apa yang pentingnya mengenai prinsip ini ialah, sebagai seorang guru, adalah amat penting agar guru dapat mengelakkan diri daripada menyampaikan atau memberikan maklumat berkaitan hukum-hukum dan peraturan tatabahasa yang disampaikan oleh guru itu adalah bersesuaian serta menepati kehendak sukatan dan mengelakkan kekeliruan dalam pemahaman murid dalam sesi pembelajaran tatabahasa. Sekiranya maklumat yang disampaikan itu bercanggah atau tidak menepati dan tidak bersesuaian dengan kehendak Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu, adalah menjadi kesalahan kepada guru yang mengajar itu kerana setiap isi pelajaran adalah berasakan kepada garispanduan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan itu sendiri. Murid bukan sahaja keliru atau mendapat maklumat yang salah, malah guru tidak akan dapat mencapai objektif pengajaran yang disasarkannya.
Prinsip keenam pula ialah berkaitan dengan rumus atau hukum bahasa yang terdapat di dalam aspek tatabahasa. Seperti mata pelajaran Sains atau Matematik yang mempunyai rumus atau hukum-hukum tertentu, tatabahasa Bahasa Melayu juga tidak terlepas daripada rumus atau hukum bahasa. Jika Sains dan Matematik menggalakkan agar rumus atau hukumnya perlu dihafal agar senang mengingatinya, berbeza dengan rumus dan hukum bahasa yang tidak menggalakkan agar murid-murid untuk menghafal rumus dan hukum tersebut. Sudah memadai sekiranya murid-murid hanya perlu memahami penggunaan tatabahasa dalam bahasa dengan betul kerana sudah menjadi prinsip dalam pengajaran tatabahasa yang turut menekankan aspek tatabahasa itu perlu diajar secara sistematik atau terancang. Selain itu, pengajaran aspek tatabahasa ini juga diajar dan digunakan mengikut kesesuaian atau dalam konteks situasi sebenar harian murid-murid. Sekiranya apa yang diajarkan itu diaplikasikan oleh murid dalam situasi sebenar, maka lebih mudah dan senanglah murid-murid memahami seterusnya dapat menguasai aspek tatabahasa dengan baik.
Prinsip seterusnya pula ialah proses menitikberatkan makna dan aspek tatabahasa itu mengikut konteks berdasarkan petikan yang digunakan. Lazimnya, sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu tidak akan lari daripada penggunaan petikan sebagai BBM. Dengan penggunaan petikan ini maka guru perlu mementingkan makna serta aspek tatabahasa yang terdapat di dalam petikan yang digunakan. Guru perlu mempastikan penggunaan aspek tatabahasa mengikut konteks berdasarkan petikan yang digunakan itu. Guru perlu tahu bahawa pemahaman dan penguasaan adalah sangat penting terhadap aspek tatabahasa kerana ia terdiri daripada kepelbagaian hukum-hukum bahasa serta beberapa peraturan atau undang-undangnya yang akan dapat membantu murid-murid menguasai aspek tatabahasa itu dengan lebih baik lagi.

















  1. RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN BAHASA MELAYU BERKAITAN PENGAJARAN TATABAHASA SECARA TIDAK LANGSUNG

Tarikh : 28. 06. 2013
Hari : Jumaat
Mata pelajaran : Bahasa Melayu
Masa : 8.10 – 9.10 pagi (60 minit)
Kelas : Tahun 5
Bilangan pelajar : 29 orang
Tajuk : Pesan Nenek

Objektif Pembelajaran:
  • Pada akhir proses pembelajaran, murid akan dapat :
  1. Melaksanakan sesuatu arahan dengan tindakan yang wajar
  2. Membina ayat perintah dengan betul
  3. Menjawab dengan betul empat daripada lima soalan kefahaman.

Pengetahuan Sedia Ada Murid :
Murid sudah pernah diarah melakukan sesuatu tugasan atau aktiviti

Fokus Utama :
1.3 Memberikan dan memahami arahan serta pesanan tentang sesuatu perkara

Aras 3
  1. Meneliti arahan dan pesanan untuk membuat tindakan wajar

Fokus Sampingan :
8.1 Membina dan menulis perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk

Aras 1
  1. Menulis perkataan dan pelbagai jenis ayat

Sistem Bahasa :
Tatabahasa : Ayat Perintah

Pengisisan Kurikulum:
Ilmu : Pendidikan Moral
Nilai : Berani, Rajin, Patuh, Kerjasama

Kemahiran Bernilai Tambah:
Kemahiran Berfikir : Menjana idea, menganalisis
Kemahiran Belajar Cara Belajar : Membaca, perbincangan
Kecerdasan Pelbagai : Interpersonal, Intrapersonal
Kontekstual : Menghubungkait pengalaman dengan pembelajaran

Bahan Bantu Mengajar (BBM):
Lembaran kerja, kad manila, kad situasi, pen marker, kad ayat

Langkah /
Masa
Isi
Pelajaran
Aktiviti
P & P
Catatan
Set induksi
(5 minit)
1.Permainan :
- Menyampaikan maklumat
2. Sampul Rahsia
1. Guru meminta ketua kumpulan tampil ke depan untuk mencabut pesanan yang terdapat di dalam sampul rahsia.
2. Ketua kumpulan diberi masa mengingati maklumat dan menyampaikan pesanan kepada setiap ahli kumpulan.
3. Ahli kumpulan terakhir akan menyatakan maklumat yang diterima.
4. Guru mengaitkan set induksi dengan isi pelajaran pada hari ini.
Nilai:
-Yakin

Kemahiran Berfikir:
-Menjana idea

BBM:
-Kad ayat
Langkah 1
(15 minit)
1.Permainan :
- ‘Pesan Nenek’ – membuat simulasi berdasarkan situasi yang dipilih
2. Simulasi
1. Guru meminta ketua kumpulan tampil ke depan untuk mencabut sampul rahsia yang mengandungi kad situasi.
2. Berdasarkan situasi yang diberi, murid diminta membuat simulasi terhadap arahan yang tertera pada kad situasi.
3. Guru membimbing perbincangan murid.
Kemahiran Berfikir:
-Menjana idea
-Menganalisis

Nilai:
-Berani

BBM:
-Kad situasi
Langkah 2
(10 minit )
1.Tatabahasa :
- Ayat Perintah
1. Berdasarkan simulasi yang dilakukan, murid diminta membina 2 ayat perintah yang mengandungi adegan simulasi
2. Guru membimbing tugasan murid.
Nilai:
-Rajin

Kemahiran Berfikir:
-Menganalisis
Langkah 3
(15 minit)
1.Perbincangan Kumpulan:
- Membina 4 ayat majmuk yang mengandung kata perintah
2. Pembentangan
1. Guru meminta ketua kumpulan tampil ke depan untuk mengambil kertas manila dan pen marker.
2. Guru memberi arahan tajuk perbincangan
3. Guru membimbing perbincangan murid
4. Wakil setiap kumpulan akan membentang hasil perbincangan
Kemahiran Belajar Cara Belajar :
-Perbincangan

BBM:
-Kad Manila
-Pen marker

Kemahiran Berfikir:
-Menjana idea

Nilai:
-Berani
Langkah 4
(10 minit)
1.Soalan kefahaman
1. Murid dipilih secara rawak untuk mengedarkan lembaran kerja
2. Guru meminta murid menjawab soalan kefahaman
3. Guru membimbing tugasan murid-murid.
Nilai:
-Rajin

BBM:
-Lembaran kerja

Kemahiran Berfikir:
-Menjana idea
Penutup
(5 minit)
1.Rumusan 1. Guru merumuskan pelajaran pada hari tersebut
Nilai:
-Patuh






























  1. MASALAH-MASALAH YANG DIHADAPI OLEH MURID SEMASA PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN ASPEK TATABAHASA

Proses pengajaran dan pembelajaran aspek tatabahasa merupakan satu proses yang berterusan dilakukan oleh guru sekiranya guru ingin mempastikan murid-murid memahami dan dapat mengaplikasikan tatabahasa dengan betul. Ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah berlangsung, tugasan guru lebih mencabar kerana dia perlu berkebolehan dalam mengaplikasikan teknik-teknik dan prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa agar murid dapat memahami tatabahasa dengan lebih baik. Namun, tidak dinafikan bahawa, setiap sesi pengajaran dan pembelajaran itu pasti akan timbul beberapa masalah yang dihadapi oleh guru ataupun murid. Berikut saya nyatakan, beberapa masalah yang dihadapi oleh murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran aspek tatabahasa ini.
Masalah yang pertama ialah, kesalahan penggunaan imbuhan. Dalam pengajaran aspek tatabahasa, elemen seperti imbuhan itu adalah sangat penting untuk dikuasai oleh murid-murid agar mereka tidak terpengaruh dengan bahasa pasar atau bahasa campuran yang tidak sesuai digunakan ketika berada di dalam acara atau majlis formal. Dengan menguasai atau memahami aspek imbuhan, murid akan dapat menambahkan lagi pemahaman orang lain berkaitan ayat yang dituturkan atau yang disampaikan oleh mereka. Kadangkala, masalah berkaitan imbuhan ini bukanlah berpunca daripada pengajaran oleh guru itu tetapi lebih kepada murid yang kurang atau tidak memahami konsep penggunaan imbuhan di dalam ayat. Kita sedia maklum bahawa, dalam imbuhan itu wujudnya kata dasar. Tujuan penambahan imbuhan terhadap kata dasar itu pula lebih kepada membezakan maksud ayat yang menggunakan kata dasar itu. Contohnya,penggunaan kata pakai. Jika kita meletakkan imbuhan di hadapan kata tersebut, iaitu imbuhan awalan di-‘, maka kata pakai tadi akan menjadi dipakai. Contoh penggunaannya dalam ayat ialah, kasut hitam itu dipakai oleh Liza. Contoh seterusnya meletakkan imbuhan pada belakang kata dasar iaitu imbuhan akhiran ‘-kan’ dan menjadi pakaikan. Contoh dalam penggunaan ayat ialah, ‘Pakaikan dia baju itu’, kata ibu kepada Amin. Manakala penggunaan imbuhan pada awalan dan akhiran kata dasar pakai ialah imbuhan apitan di – kan’ menjadi dipakaikan. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti berikut, robot itu dipakaikan dengan sut yang mewah. Ada dikalangan murid yang tidak tahu membezakan penggunaan perkataan berimbuhan tersebut di dalam ayat yang mereka bina. Lazimnya masalah ini hanya berlaku dikalangan murid-murid yang lembab atau slow learner dan juga murid di kelas Pemulihan. Bagi kes seperti ini, guru perlu bijak menanganinya dengan memberikan seberapa banyak latihan latih tubi berkaitan dengan imbuhan agar murid tersebut dapat memahami konsep imbuhan dengan lebih baik lagi. Selain memberikan latihan latih tubi yang berterusan, guru juga perlu menggunakan kaedah secara lisan untuk melatih murid agar dapat menguasai atau sekurang-kurangnya tahu menggunakan imbuhan dengan baik.
Masalah yang kedua pula ialah, kesalahan penggunaan kata hubung. Murid-murid akan berasa sukar untuk mengikis kebiasaan mereka menggunakan kata hubung dalam pertuturan atau perbualan dalam situasi formal dengan penggunaan ayat yang betul. Dalam kata hubung, konsep yang perlu diketahui dan difahami oleh murid ialah, fungsi kata hubung itu iaitu sebagai penghubung atau penyambung kepada dua atau lebih lebih sama ada perkataan, frasa, klausa atau ayat untuk menjadi satu ayat sahaja. Namun, kebanyakan murid lebih suka menggunakan kata hubung contohnya yang. Ada murid lebih suka dan selesa menggunakan perkataan yang diletakkan pada permulaan ayat semasa bertutur ataupun ketika menjawab soalan kefahaman. Oleh itu, untuk mengurangkan kebiasaan ini seterusnya menghilangkannya sekaligus daripada keterbiasaan, guru perlu bijak memainkan peranan sebagai pembimbing murid-murid untuk menggunakan kata hubung dengan betul, sesuai dengan fungsinya sebagai penghubung kepada dua ayat untuk dijadikan kepada satu ayat sahaja. Guru perlu memperbanyakkan latih tubi berkaitan dengan kata hubung agar murid dapat menguasai seterusnya mengaplikasikan penggunaan kata hubung yang betul sama ada ketika bertutur mahupun menjawab soalan kefahaman.
Masalah yang ketiga ialah, masalah yang berkaitan dengan kesalahan penggunaan aspek frasa nama, frasa kerja dan frasa sendi nama. Apabila murid mempelajari aspek tatabahasa yang berkaitan dengan kata nama seperti tempat atau arah selain kata kerja atau adjektif, murid akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan ayat dengan situasi atau sukar membina ayat yang betul dan tepat jika terdapat elemen-elemen tersebut. Contohnya, jika di dalam ayat itu ada menunjukkan arah atau tempat, maka murid perlu menjarakkan kata imbuhannya. Contohnya di sini, di sana, di dalam, ke Komplek Sukan, di Kedai Serbaneka. Begitu juga dengan dengan ayat-ayat yang melibatkan penggunaan kata sendi. Murid juga mengalami masalah untuk membina ayat dengan baik. Guru perlu menerangkan kepada murid satu persatu mengenai maksud dan fungsi frasa-frasa tersebut kerana dengan penerangan yang diberikan sebelum meminta murid membina ayat, maka murid akan lebih mengetahui dan memahami konsep frasa-frasa tersebut. Selain latih tubi yang berterusan sama ada ketika berlangsungnya sesi pengajaran dan pembelajaran, guru juga perlu meminta murid untuk membina ayat secara lisan sebagai latihan kepada mereka untuk mengaplikasikan frasa-frasa tersebut serta tahu membezakannya mengikut fungsinya.
Manakala masalah yang keempat pula ialah, masalah penggunaan sendi nama. Penggunaan kata sendi nama seperti di, ke, kepada, daripada, pada, bagi, tentang juga adakalanya mengelirukan murid. Masalah keliru dan tidak tahu menggunakan kata sendi mana yang harus digunakan sering membelenggu murid dalam menghasilkan ayat yang betul. Oleh itu, penerangan daripada guru mengenai fungsi dan konsep penggunaannya adalah sangat penting agar murid mengetahuinya serta dapat membantu murid menguasai atau memahami penggunaan sendi nama di dalam ayat yang mereka bina. Guru perlu memperbanyakkan latihan latih tubi tatabahasa berkaitan sendi nama agar murid dapat membezakan fungsi dan konsep antara pada, kepada dan daripada dan sebagainya lagi. Latihan lisan juga penting agar murid dapat membiasakan diri menggunakan kata sendi nama yang sesuai untuk digunakan dalam perbualan. Malah, murid juga perlu digalakkan membina ayat setiap hari sekurang-kurangnya satu ayat dalam sehari sebagai latih tubi untuk mereka menguasai dan memahamai aspek tatabahasa tersebut.

  1. PENUTUP

Secara amnya, proses pengajaran aspek tatabahasa Bahasa Melayu adalah satu proses yang berterusan, sama ada ia disampaikan atau diajarkan baik secara langsung mahupun secara tidak langsung dan perlu mengikut prinsip-prinsip pengajarannya agar apa yang disampaikan oleh guru itu dapat diterima oleh murid dengan lebih berkesan lagi. Murid bukan sahaja dapat memahami malah dapat mengaplikasikan aspek tatabahasa ini dengan baik sama ada dalam pertuturan secara lisan mahupun secara bertulis. Perancangan lebih awal oleh guru adalah penting agar guru dapat memikirkan langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan serta menarik melalui Rancangan Pengajaran Harian. Walaupun setiap proses pengajaran itu akan berhadapan dengan masalah terutamanya berkaitan dengan murid, namun sebagai seorang pendidik, guru perlu lebih kreatif dan terbuka dalam mengajar murid aspek tatabahasa ini agar dapat mencapai objektif. Guru juga perlu memikirkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid dengan memikirkan cara yang sesuai agar murid sekurang-kurangnya dapat memahami konsep sesuatu elemen tatabahasa itu.

Tugasan HBMT2103 V2 : PENGGUNAAN BAHAN MANIPULATIF DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

PENGENALAN

Setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran apa-apa sahaja mata pelajaran akan memerlukan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang berfungsi sebagai alat pembantu kepada guru dalam mencapai objektif pembelajaran seterusnya membantu murid-murid agar lebih memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Selain itu, BBM juga turut berfungsi sebagai satu medium yang akan menarik perhatian dan minat murid untuk terus menumpukan perhatian terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung. Seperti mana kita sedia maklum bahawa, murid akan mudah untuk berasa bosan, mengantuk malah kurang tumpuan sekiranya sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung itu tidak menarik. Sebagai guru, sudah menjadi tugas kita untuk merancang satu sesi pengajaran yang menarik serta berkesan. Namun, dalam konteks penggunaan bahan manipulatif sesi pengajaran dan pembelajaran matematik pula, bahan-bahan manipulatif tersebut lebih kepada bermotifkan untuk mencapai objektif pembelajaran seterusnya menghasilkan satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam mata pelajaran matematik. Sepertimana yang telah dikatakan oleh Sowell 1989, Suydam dan Higgins 1977 iaitu pembelajaran yang efektif terhadap konsep dan teknik matematik ialah dengan penggunaan bahan-bahan manipulasi. Maka, penggunaan bahan-bahan manipulatif seperti attributes block, colorful unifix cubes, kiub saling pautan dan bongkah atau blok kayu adalah sangat penting. Ini kerana, ia bukan sahaja sebagai BBM tetapi juga sebagai satu teknik yang digunakan oleh guru agar murid dapat menguasai atau sekurang-kurangnya menguasai konsep sesuatu topik matematik yang diajarkan.
Bahan manipulatif didefinisikan sebagai model konkrit yang melibatkan konsep matematik untuk menarik kepada beberapa deria serta boleh disentuh dan digerakkan oleh murid-murid, Heddens (2005). Ironinya, penggunaan bahan manipulatif ini dalam sesi pengajaran dan pembelajaran matematik pada ketika ini telah diguna pakai sebagai satu kaedah dalam membantu murid-murid belajar matematik dengan lebih bermakna. Penggunaannya juga malah turut membantu dalam pembinaan imej mental yang lebih jelas dalam memahami idea-idea dan konsep-konsep matematik, Weiss (2006). Manakala Swan dan Marshall (2010) pula menyatakan bahawa bahan manipulatif matematik merupakan objek yang dikendalikan individu melalui deria iaitu pemikiran matematik akan dipupuk dalam keadaan individu itu sedar atau tidak. Penggunaan deria tersebut ialah deria sentuh dan lihat dan bahan manipulatif ini mampu mendorong ke arah kesedaran, pembangunan konsep dan idea yang dikaitkan dengan matematik sementara setiap bahan manipulatif yang direka itu mempunyai kegunaan dan tujuan khas atau tersendiri berdasarkan topik yang diajar. Antara contoh-contoh bahan manipulatif yang lazim digunakan ialah:
Gambar 1 : Attribute blocks



Gambar 2 : Base Ten Blocks



Gambar 3 : Cuisenaire Rods


Gambar 4 : Multilinks Cubes


Gambar 5 : Pattern blocks


Gambar 6 : Polydron shape





Gambar 7 : Square Tiles
Gambar 8 : Geoshapes




Selain itu, para pengkaji juga turut sependapat bahawa penggunaan bahan-bahan manipulasi atau bahan maujud ini secara berterusan dalam jangka masa yang panjang dalam pembelajaran membawa kesan positif dalam matematik terutamanya dalam pencapaian murid-murid (Sowell 1989, Suydam and Higgins 1977). Di bawah tajuk berkaitan pengajaran matematik berasaskan bahan-bahan manipulasi ini, saya akan menyatakan beberapa peranan serta kesan penggunaan bahan-bahan tersebut selain pemilihan beberapa topik mata pelajaran Matematik Tahun 2 sekolah rendah yang akan saya kaitkan dengan penggunaan bahan-bahan manipulasi tersebut. Sebagai seorang pendidik, kreativiti dalam sesi pengajaran dan pembelajaran itu adalah sangat penting agar murid lebih memahami seterusnya menguasai isi pelajaran dengan lebih baik lagi. Ini kerana, pembelajaran berdasarkan bahan-bahan manipulasi ini adalah sebagai satu pakej yang memberikan pengalaman kepada murid untuk menguasai konsep matematik dengan lebih baik lagi, terutamanya di kalangan murid-murid sekolah rendah berumur 7 – 11 tahun yang masih berada di dalam peringkat operasi konkrit (Jean Piaget, 1954).

PERANAN DAN KESAN PENGGUNAAN BAHAN-BAHAN MANIPULATIF DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK BERDASARKAN TOPIK YANG DIPILIH

Saya memilih 2 topik daripada Sukatan Pelajaran Matematik Sekolah Rendah Tahun 2 sebagai topik pilihan untuk melihat sejauh mana bahan-bahan manipulasi ini sesuai digunakan selain peranan serta kesan penggunaannya terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran matematik di dalam bilik darjah. Bahan Manipulatif merupakan kunci keberkesanan kepada pengajaran terhadap kanak-kanak, terutamanya mata pelajaran matematik. Apatah lagi ia berdasarkan kepada teori oleh Jean Piaget (1952), yang menyatakan bahawa kanak-kanak memerlukan pengalaman konkrit untuk memahami istilah dan simbol matematik. Kanak-kanak yang berada di sekolah rendah berumur antara 7 – 11 tahun umumnya berada dalam kategori Peringkat Operasi Konkrit. Pemikiran mereka adalah secara abstrak dan hypotetikal serta belum terbina sepenuhnya dan oleh sebab itulah kesemua bahan manipulatif itu dicipta dengan mempunyai fungsinya tersendiri untuk konsep matematik yang berlainan.
Berbeza dengan BBM, bahan manipulatif merupakan alat atau bahan yang bersifat konkrit atau maujud dengan penglibatan penggunaan tangan atau sentuhan tangan murid-murid dengan cekap terhadap objek yang dapat dipegang dan dimanipulasi untuk membantu murid-murid yang berada dalam kategori pra operasi yang baru sahaja mula membina pengetahuan dan konsep matematik secara langsung atau tidak langsung.
Topik : Nombor bulat hingga 1000

3
=
Berdasarkan topik ini, murid akan mempelajari perkara-perkara asas berkaitan dengan nombor. Bermula dengan mengenali iaitu menamakan dan menentukan nilai nombor, menulis nombor, nilai tempat, membundar, menambah dan menolak. Untuk mengenali konsep nombor, guru perlu mempastikan agar murid dapat memahaminya sebelum beralih kepada tajuk yang lain. Konsep matematik dalam mengenali nombor ialah seriasi dan padanan satu dengan satu secara logik. Guru perlu menunjuk cara kepada murid bagaimana untuk melakukan seriasi terhadap nombor yang diberikan oleh guru. Contohnya dengan menggunakan kad gambar dan kad nombor, untuk nombor 3 murid akan memadankannya dengan 3 jenis objek yang sama atau berlainan jenis yang terdapat pada kad gambar asalkan jumlahnya adalah 3. Kita lihat contoh gambar di bawah :

Selain itu, guru juga boleh menggunakan pelbagai bahan manipulatif yang ada dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk topik ini. Bagi contoh di atas, guru boleh menggunakan kad nombor dan menggunakan bahan maujud atau bahan manipulatif seperti guli, gula-gula, bola ataupun Attribute Blocks. Jika menggunakan Attribute blocks pula, murid boleh menggunakan blok yang sama bentuk atau blok yang berbeza warna asalkan jumlahnya adalah sama dengan nombor yang disebutkan oleh guru atau yang terdapat pada kad nombor.
Guru juga boleh menggunakan Polydron Shapes untuk membentuk sesuatu nombor atau membentuk jumlah nombor yang mewakili nilainya menggunakan polydron. Dengan menggunakan pelbagai jenis bahan manipulatif, guru akan dapat melakukan banyak aktiviti yang berkaitan dengan topik ini. Guru boleh mengadakan kuiz dan juga permainan agar murid dapat memahami konsep mengenali nombor. Berdasarkan penggunaan bahan manipulatif ini juga, murid akan lebih memahami serta dapat mengaplikasi konsep ini dalam hidup seharian. Ini kerana, murid dapat melakukan aktiviti pembelajaran dengan sendirinya melalui sentuhan. Oleh itu, mudah bagi murid tersebut untuk mengaplikasi dan memahami konsep kerana dia melakukannya sendiri. Ada perbezaannya jika guru menggunakan bahan manipulatif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran berbanding hanya menggunakan teknik soal jawab. Oleh kerana murid pada tahap umur 7 tahun hingga 11 tahun adalah dalam peringkat operasi konkrit, iaitu pemikiran berdasarkan situasi, maka pengajaran menggunakan bahan manipulatif adalah sangat bersesuaian dan guru akan dapat menilai pencapaian murid di akhir sesi pembelajaran sama ada objektif pembelajarannya dapat dicapai atau tidak.

Topik : Jisim

Dalam topik ini pula, berdasarkan Sukata Pelajaran Matematik Tahun 2, murid akan belajar tentang sukatan dan geometri iaitu murid akan berkenalan dengan unit piawai yang digunakan untuk mengukur sesuatu jisim. Murid juga akan belajar dan melakukan aktiviti menimbang dan merekod berat sesuatu jisim menggunakan unit piawai yang sesuai contohnya untuk menyukat berat sesuatu jisim, unit gram (G) dan kilogram (KG) akan digunakan. Seperti biasa, sesi pengajaran dan pembelajaran untuk topik ini akan menjadi lebih menarik jika guru menggunakan bahan manipulatif yang ada agar pembelajaran tersebut menjadi lebih berkesan manakala murid akan lebih memahami konsep topik ini iaitu menyukat dan merekod jisim. Untuk menyukat jisim, guru akan menggunakan bahan manipulatif seperti di dalam gambar dibawah ini :

Gambar 9 : Alat penimbang berat

Dengan menggunakan bahan manipulatif di atas, iaitu Alat Penimbang Berat, murid bukan sahaja dapat merasai pengalaman dalam melakukan aktiviti pembelajaran seperti menyukat atau menimbang tetapi juga tahu cara menggunakan alat tersebut. Murid juga akan memahami konsep mempelajari topik ini. Alat ini turut berperanan sebagai BBM dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran malah lebih sesuai digunakan oleh murid-murid tahap satu iaitu tahun 1 hingga tahun 3. Guru juga dapat membantu meningkatkan kemahiran kognitif murid kerana dengan menggunakan alat tersebut, murid berpeluang belajar melalui pengalaman atau learning by doing.

KESESUAIAN AKTIVITI DAN KESAN PENGGUNAAN BAHAN MANIPULATIF

Saya memilih untuk menggunakan bahan manipulatif Pattern Blocks untuk mengajar topik Nombor bulat hingga 1000 untuk Standard Pembelajaran (ii) Menentukan nilai nombor hingga 1000, bahagian B iaitu memadankan kumpulan objek dengan nombor. Sebelum itu, murid sudah pun mempelajari dan mengetahui untuk membaca, menyebut dan memadan nombor dalam angka dan perkataan. Aktiviti seperti meneka nombor dan meneka nilai nombor dapat membantu murid menguasai konsep mengenali nombor ini. Guru menggunakan kad nombor untuk menentukan nilai yang diingini manakala murid pula menggunakan Pattern Blocks untuk dipadankan dengan kumpulan objek atau jumlah yang mewakili nilai pada nombor dalam kad nombor tersebut. Apabila jawapan murid betul, guru perlu menukar nombor kad dan meminta murid melakukan perkara yang sama sehingga murid boleh memahami konsep nombor. Kesan daripada aktiviti ini ialah murid akan tahu dan boleh memadankan bilangan objek dengan simbol nombor. Murid juga dapat menguasai aktiviti ini dalam tempoh yang sekejap kerana bantuan penggunaan bahan manipulatif.
Selain itu, penggunaan Square Tiles juga boleh membantu guru dalam aktiviti pembelajaran untuk topik Nombor bulat hingga 1000 ini. Oleh kerana konsep pengkelasan adalah merupakan peringkat yang paling asas dalam kemahiran kognitif, guru boleh menggunakan bahan manipulatif untuk aktiviti pengkelasan. Contohnya berdasarkan Standard Pembelajaran (ii) iaitu Menentukan nilai nombor hingga 1000 di bawah bahagian B iaitu Memadan kumpulan objek dengan nombor. Guru perlu menggunakan bahan manipulatif yang sesuai kerana nilai yang akan dipelajari oleh murid adalah sehingga nilai 1000. Maka, guru perlu menggunakan Base Ten Blocks. Bahan tersebut akan digunakan untuk mewakili nilai yang dikehendaki oleh guru. Jika guru menyebutkan nilai 500, maka murid akan menggunakan Base Ten Blocks tadi untuk menyatakan nilai yang diwakili oleh nombor yang disebutkan oleh guru. Bahan ini senang digunakan walaupun jumlah yang disebutkan adalah melebihi 500 kerana setiap satu blok diwakili oleh nilai-nilai yang berlainan antaranya 10, 50, 100 dan sebagainya lagi. Apabila murid telah melakukan aktiviti ini iaitu teknik learning by doing, murid akan lebih memahami konsep memadan kumpulan objek dengan nombor. Murid juga akan dapat mengaplikasi kemahiran tersebut dengan baik.
Disamping itu, guru juga boleh menggunakan bahan manipulatif seperti Pattern Blocks untuk aktiviti melengkapkan sebarang rangkaian nombor. Oleh kerana Pattern Blocks mempunyai banyak warna, guru perlu menyatakan nilai sebiji blok setiap warna itu adalah berlainan. Contohnya warna Biru bernilai 10, warna Merah bernilai 50 dan seterusnya. Murid akan menyusun blok-blok tersebut mengikut kehendak soalan yang diberi oleh guru. Dalam aktiviti ini, murid bukan sahaja dapat memahami konsep susunan nombor tetapi juga dapat mengaplikasikannya ketika dalam peperiksaan untuk menjawab soalan berkaitan.
Bagi topik jisim, saya dapati bahawa aktiviti ini juga memerlukan kaedah learning by doing. Ini kerana, murid perlu mengetahui penggunaan sesuatu bahan agar mereka dapat memahami konsep matematik yang sedang dipelajari. Dalam topik jisim, untuk Standard Kandungan 11.2 Menimbang dalam unit gram dan kilogram di bawah tajuk (i) Menimbang dan merekod jisim sesuatu objek dalam gram dan kilogram, guru akan menggunakan Alat Penimbang Berat dan akan menimbang apa sahaja objek ringan yang terdapat di dalam bilik darjah contohnya pemadam papan tulis, buku teks, botol air, kasut, buku tulis dan sebagainya lagi. Guru akan menunjuk cara terlebih dahulu kemudian murid akan diajar bagaimana melakukannya dan bagaimana merekodkan hasil dapatan masing-masing. Dengan kaedah learning by doing ini juga, murid akan dapat menguasai, memahami malah mengaplikasi konsep jisim ini dengan baik.








CADANGAN PENGGUNAAN BAHAN MANIPULATIF DALAM PENGAJARAN MATEMATIK

Penggunaan bahan manipulatif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran matematik adalah sangat penting dan perlu diamalkan oleh setiap guru matematik. Ini kerana, penggunaan bahan manipulatif ini bukan sahaja membantu murid memahami konsep sesuatu topik matematik yang diajarkan oleh guru, malah dapat membantu memudahkan guru dalam bilik darjah. Guru hanya bertindak sebagai pemudahcara dengan melakukan demo aktiviti terlebih dahulu sebelum murid melakukannya dalam aktiviti pembelajaran menggunakan kaedah learning by doing. Untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran berasaskan bahan manipulatif ini, guru perlu peka akan keperluan murid serta peredaran zaman. Murid memerlukan satu sesi pembelajaran yang berkesan untuk memahami konsep yang diajarkan manakala guru pula perlu mengikut peredaran masa dengan menggunakan pelbagai Bahan Bantu Mengajar dan bahan manipulatif untuk membantu murid memahami dan menguasai konsep matematik yang diajarkan.
Pihak atasan seperti Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah perlu berusaha memberi kesedaran kepada semua guru matematik akan kepentingan penggunaan bahan manipulatif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Dengan mengadakan beberapa kursus atau ceramah berkaitan penggunaan bahan manipulatif ini, guru akan lebih terbuka dan berminat untuk menggunakannya serta beralih kepada strategi pengajaran yang lebih berkesan berbanding cara lama chalk and talk. Guru-guru perlu diberi kursus bagaimana penggunaan bahan manipulatif ini boleh merangsang minda murid-murid terutamanya murid tahap 1 iaitu tahun 1 hingga tahun 3 dalam mempelajari matematik. Walaubagaimanapun, pihak berkenaan perlulah mengadakan kursus-kursus atau ceramah-ceramah berkenaan berdasarkan Sukatan Pelajaran Matematik yang terkini. Contohnya, topik-topik yang berkaitan dengan matematik tahun 2 dan penggunaan bahan manipulatif yang sesuai mengikut topik-topik tersebut.
Bagi guru-guru pula, sebagai pendidik mereka mestilah lebih inovatif dan kreatif dalam bidang pengajaran, apatah lagi bidang matematik adalah mata pelajaran yang sangat mencabar minda di kalangan kanak-kanak, terutamanya murid-murid di luar bandar dan pedalaman. Maka, adalah menjadi tugas guru agar dapat mempastikan murid-muridnya juga tidak ketinggalan dalam merasai sesi pembelajaran menggunakan bahan manipulatif. Guru perlu menggunakan bahan-bahan maujud disekitar agar dapat digunakan dalam aktiviti pengajaran dan dapat membantu murid memahami konsep matematik yang diajar oleh guru. Contohnya, guru perlu memikirkan bahan manipulatif yang sesuai untuk mengajar topik nombor bulat hingga 1000 dengan lebih berkesan. Menggunakan tutup botol, klip kertas, pensil, cawan kertas pakai buang dan sebagainya.
Untuk memberi galakan kepada guru-guru yang lain turut sama mengamalkan sesi pengajaran dan pembelajaran matematik menggunakan bahan manipulatif, maka guru yang lain iaitu yang telah menggunakan kaedah tersebut perlu menunjukkan atau membuktikan kepada guru-guru lain akan kesan penggunaan kaedah tersebut. Contohnya keputusan ujian yang meningkat, peratusan lulus atau yang boleh melakukan aktiviti dengan betul adalah lebih tinggi, malah guru juga boleh menunjukkan kepada guru-guru lain sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahan manipulatif ini di dalam bilik darjah dan melihat atau menilai sendiri keberkesanannya. Contohnya, guru hanya perlu memilih topik yang ingin diajar dan menggunakan bahan manipulatif untuk mengajar.
Selain itu, guru-guru juga perlu mengadakan mesyuarat atau bengkel yang bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan, kecekapan selain bertukar-tukar pendapat dan berkongsi idea sesama guru berkaitan dengan penggunaan bahan manipulatif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran matematik. Dengan adanya aktiviti seperti ini maka guru-guru dapat menggalakkan penggunaan bahan manipulatif itu di kalangan guru-guru yang lain. Apatah lagi dalam kurikulum pada masa kini telah bertukar daripada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menitikberatkan aspek LINUS dan dalam aspek tersebut guru adalah digalakkan dalam penggunaan bahan manipulatif dalam pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran matematik amnya. Maka, guru perlu menggunakan bahan manipulatif dalam setiap topik yang berkaitan serta bersesuaian.
Bagi pihak sekolah pula, keprihatinan pihak pentadbir adalah sangat penting bagi mempastikan agar setiap sesi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran teras itu adalah berkesan serta memberi impak positif terhadap murid. Justeru, pihak pentadbiran perlu memperuntukkan sejumlah sumber kewangan bagi menampung pembelian bahan-bahan manipulatif yang terdapat di pasaran. Walaupun kosnya agak tinggi namun ia sangat berbaloi dengan hasil yang diperoleh oleh murid serta guru-guru terutamanya dalam mata pelajaran matematik.





PENUTUP

Dalam apa juga sesi pengajaran dan pembelajaran apa-apa sahaja mata pelajaran, sasaran guru adalah untuk mencapai objektif pembelajarannya. Contohnya, menjawab dengan tepat empat daripada lima soalan yang diberikan. Selain itu, guru juga mengharapkan bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran yang dirancang serta yang telah dilaksanakannya itu adalah berkesan serta mampu membantu meningkatkan kefahaman murid terutamanya berkaitan dengan topik yang diajarkan itu. Malahan, guru juga mahu agar murid dapat memahami konsep topik yang diajar serta mampu mengaplikasikannya dengan betul. Justeru, penggunaan bahan manipulatif merupakan jalan paling mudah untuk mencapai hasrat tersebut, terutamanya dalam proses pembelajaran matematik di kalangan murid-murid tahun 1, 2 dan 3. Dengan menggunakan bahan-bahan manipulatif ini, murid akan lebih memahami konsep sesuatu topik yang diajar oleh guru. Bahan manipulatif ini berperanan sebagai medium yang akan membantu guru meningkatkan kefahaman murid terhadap konsep-konsep matematik yang agak kompleks bagi murid-murid berumur 7 hingga 11 tahun. Selain itu, penggunaan bahan manipulatif ini juga dapat membantu murid-murid menguasai Kemahiran Kognitif seperti dalam pengkelasan, konsep ruang, konsep nombor, melakukan proses sains dan membuat penyelesaian masalah. Bagi murid pemulihan matematik khasnya, penggunaan bahan manipulasi ini sememangnya memberi impak yang sangat besar terhadap pemahaman dan pencapaian mereka. Oleh itu, pihak-pihak seperti Jabatan Pelajaran Negeri dan Daerah serta pihak pentadbir sekolah perlulah peka akan kepentingan penggunaan bahan-bahan manipulatif ini dalam sesi pengajaran dan pembelajaran matematik khasnya. Pihak-pihak tersebut juga perlu menyedari bahawa penggunaannya juga akan mampu membawa kepada impak yang positif.