Myself

Myself

Monday 29 July 2013

Tugasan HBML2103 : Pengajaran Tatabahasa Secara Tidak Langsung

  1. PENGENALAN
Dalam pengajaran bahasa terutamanya pengajaran Bahasa Melayu, bidang tatabahasa merupakan aspek penting yang perlu dititikberat serta diutamakan oleh guru-guru. Aspek tatabahasa merangkumi beberapa perkara yang mengajar murid-murid mahir dalam pembinaan ayat, penggunaan sesuatu perkataan yang sesuai dalam sesuatu ayat serta mengenali pelbagai jenis ayat dan kata. Itu hanya beberapa perkara yang saya nyatakan kerana dalam Bahasa Melayu sahaja ada pelbagai lagi aspek yang perlu diajar kepada murid dan murid perlu menguasainya atau sekurang-kurangnya perlu mengetahui tentang aspek-aspek tersebut. Pengajaran aspek tatabahasa secara amnya adalah mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Huraian Sukatan Pelajaran. Guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu akan mengajar tatabahasa secara langsung dan ada juga secara tidak langsung. Namun, walau apa juga cara pengajarannya samaada secara langsung atau tidak langsung, aspek tatabahasa perlu ada dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Ada pro dan kontranya pengajaran secara langsung atau tidak langsung itu kerana apa juga pengajaran mata pelajaran itu akan menghadapi masalah. Dari segi pronya, murid akan dapat menjana minda mereka secara automatik jika guru mengajar secara langsung. Murid akan mengetahui dan menyedari bahawa guru sedang mengajar tatabahasa contohnya membina ayat penyata atau ayat tanya. Manakala dari segi kontra pula, murid akan menjadi malas untuk berfikir sendiri kerana guru perlu menerangkan satu persatu. Berlainan pula jika pengajaran tatabahasa itu diajar secara tidak langsung. Sudah tentulah kebaikannya, guru dan murid akan dapat mengaitkan pembelajaran tersebut dengan situasi sebenar seperti contohnya, pembinaan ayat secara lisan tanpa ditulis dan ini akan membantu murid-murid dalam meningkatkan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK) mereka. Ironinya, terpulanglah kepada guru-guru itu melaksanakan pengajaran aspek tatabahasa ini secara langsung atau tidak langsung asalkan prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa perlu digunapakai dalam menentukan keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran tatabahasa. Menurut Kamus Dewan (1984: 1056), prinsip mendukung makna asas atau dasar yang menjadi pokok sesuatu pemikiran, kajian atau tindakan sesuatu teori. Maka dengan itu, sesuatu teori itu adalah penentu apakah prinsip yang harus dipegang dalam pengajaran. Dengan berpegang serta mengaplikasikan prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa, maka sesi pengajaran dan pembelajaran tatabahasa akan lebih berkesan dan efektik dalam menyampaikan isi pelajaran serta mencapai objektif pembelajaran yang ingin disasarkan oleh guru. Prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa adalah pelbagai dan terpulang kepada guru itu dalam mengaplikasikannya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran tatabahasa. Apapun teknik dan kaedah yang digunakan oleh guru, yang pasti prinsip-prinsip pengajaran perlu diutamakan agar penyampaian aspek tatabahasa dalam pengajaran dapat mencapai objektif. Penting agar semua guru dapat menggunakan prinsip-prinsip yang ada dalam pengajaran tatabahasa bagi membantu murid lebih memahami apa itu tatabahasa kerana pembelajaran tatabahasa bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi murid perlu mengetahui banyak perkara melalui tatabahasa seperti penggunaan tanda bacaan yang betul dan tepat pada ayat selain dapat membantu murid membezakan jenis-jenis ayat. Prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa ini juga boleh diperoleh seterusnya digunapakai berdasarkan teori-teori pembelajaran seperti Behavioris. Prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa ini penting sebagai garis panduan dalam pengajaran tatabahasa agar guru dapat mencapai objektif dengan cemerlang. Selain berdasarkan teori-teori pembelajaran, prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa juga adalah daripada prinsip-prinsip umum pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

  1. PRINSIP-PRINSIP PENGAJARAN TATABAHASA BAHASA MELAYU DI PERINGKAT SEKOLAH

Pengajaran tatabahasa Bahasa Melayu di peringkat sekolah mementingkan penguasaan murid terhadap beberapa perkara asas seperti pembinaan ayat yang betul dari segi konteks dan situasi. Selain itu, murid juga perlu didedahkan kepada beberapa jenis ayat, penggunaan tanda bacaan, penanda wacana, simpulan bahasa, peribahasa dan sebagainya lagi serta murid dapat menguasainya dengan baik. Pengajaran tatabahasa ini memerlukan beberapa prinsip yang perlu dijadikan sebagai garis panduan agar guru dapat mengajar dan mencapai objektifnya sementara murid dapat menguasai tatabahasa. Berikut adalah beberapa prinsip umum dalam pengajaran tatabahasa Bahasa Melayu.
Prinsip pertama pengajaran tatabahasa Bahasa Melayu ialah, guru perlu membuat perancangan yang rapi terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam aspek tatabahasa yang ingin disampaikan kepada murid. Guru perlu menyediakan satu Rancangan Pengajaran yang berkesan dan sesuai dalam pengajaran tatabahasa. Melalui Rancangan Pengajaran ini guru dapat merancang beberapa aktiviti yang dirasakan sesuai dengan aras murid-murid di dalam kelas yang berbeza-beza selain memanfaatkan masa yang diberikan adalah mencukupi untuk setiap aktiviti yang dirancang oleh guru itu. Contohnya Kuiz Membina Ayat atau perbincangan kum pulan membina ayat. Lazimnya, dalam penyediaan Rancangan Pengajaran ini, guru perlu memfokuskan beberapa perkara agar dapat mencapai target atau objektif pengajarannya sekurang-kurangnya tiga daripada lima atau dua daripada tiga objektif yang ingin dicapai. Guru juga perlu sedar bahawa perancangan yang rapi itu akan dapat menjamin keberkesanan penyampaian seorang guru dengan lebih bermakna dan berkesan. Sesi pengajaran dan pembelajaran juga akan menjadi lebih menarik dengan perkembangan idea oleh guru sebelum memulakan pengajaran.
Prinsip yang kedua ialah, guru perlu memulakan proses pengajaran dan pembelajaran tatabahasa daripada yang mudah kepada yang lebih susah atau lebih kompleks. Guru perlu mengelakkan diri daripada mengajar atau mendedahkan murid kepada sesuatu yang kompleks terlebih dahulu apatah lagi jika ianya berkaitan dengan tatabahasa. Pengajaran secara berperingkat daripada senang kepada susah merupakan satu langkah yang bijak kerana murid perlu memahami terlebih dahulu konsep tatabahasa yang diajar kemudian barulah mereka dapat mengaplikasi dan memahaminya. Selain itu, prinsip ini turut bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan dan kesukaran kepada murid dalam memahami isi pelajaran tatabahasa yang disampaikan oleh sesorang guru itu. Tambahan lagi, di dalam bilik darjah itu pula murid-muridnya adalah terdiri daripada pelbagai tahap atau aras kecerdasan mereka, iaitu ada murid yang dapat memahami pelajaran tatabahasa dengan mudah dan cepat manakala ada pula murid yang lambat (slow learner) dalam memahami atau menguasai tatabahasa. Oleh sebab itu, adalah penting agar guru menyampaikan isi pelajaran tatabahasa itu bermula dengan perkara-perkara asas dan yang mudah difahami oleh murid.
Prinsip ketiga pula ialah, persediaan oleh guru terhadap murid-murid dengan latih tubi dalam jumlah yang memadai atau banyak. Melalui latih tubi ini, murid bukan sahaja dapat memahami dan menguasai aspek tatabahasa dengan baik, malahan murid-murid dapat membantu diri mereka dalam memperkayakan lagi kosa kata. Kosa kata pula merupakan salah satu daripada aspek tatabahasa. Latih tubi ini boleh diberikan oleh guru samaada pada penghujung sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas ataupun sebagai kerja tambahan kepada murid ketika berada di rumah. Latihan latih tubi yang disediakan oleh guru kepada murid-murid boleh dibuat sama ada dalam bentuk tulisan ataupun lisan yang mampu mengekalkan ingatan murid-murid terhadap aspek tatabahasa yang mereka pelajari dengan lebih kukuh lagi. Bagi pihak guru pula, latihan latih tubi ini pula berfungsi sebagai alat yang akan mengesan kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh murid-murid. Maka, dengan adanya alat ini, bolehlah guru-guru membuat atau melakukan tindakan yang sewajarnya dalam membantu murid-murid tersebut, yang sudah dikenalpasti mempunyai kelemahan untuk dibantu agar dapat menguasai aspek tatabahasa dengan lebih baik lagi.
Prinsip yang keempat dalam pengajaran tatabahasa Bahasa Melayu ini ialah, pengajaran secara konkrit dengan penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan bahan rangsangan lain yang sesuai serta menarik dan berkesan. Penggunaan BBM dan bahan rangsangan lain yang sesuai ini bertujuan untuk menarik minat murid-murid agar lebih fokus terhadap isi pelajaran mengenai tatabahasa yang disampaikan oleh guru. Selain itu, sesi pengajaran dan pembelajaran pula tidak akan membosankan dengan adanya BBM yang menarik utnuk digunapakai sepanjang sesi berlangsung. Secara tidak langsung, murid akan lebih tertarik serta menambah atau meningkatkan kefahaman mereka terhadap isi pelajaran mengenai tatabahasa. Bagi guru pula, faedah penggunaan BBM ini bukan sahaja mampu menarik minat murid untuk belajar tatabahasa tetapi juga bahan-bahan tersebut dapat membantu guru-guru dalam proses penyampaian isi pelajaran kepada murid. Ia membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah serta dapat membantu guru mencapai objektif pengajaran pada hari tersebut.
Prinsip seterusnya ialah, guru perlu mahir tentang selok-belok aspek tatabahasa yang ingin diajarkan. Oleh itu, adalah penting bagi seorang guru Bahasa Melayu yang ingin mengajar tatabahasa itu supaya mengenalpasti struktur isi pelajaran dengan lebih jelas sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Apa yang pentingnya mengenai prinsip ini ialah, sebagai seorang guru, adalah amat penting agar guru dapat mengelakkan diri daripada menyampaikan atau memberikan maklumat berkaitan hukum-hukum dan peraturan tatabahasa yang disampaikan oleh guru itu adalah bersesuaian serta menepati kehendak sukatan dan mengelakkan kekeliruan dalam pemahaman murid dalam sesi pembelajaran tatabahasa. Sekiranya maklumat yang disampaikan itu bercanggah atau tidak menepati dan tidak bersesuaian dengan kehendak Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu, adalah menjadi kesalahan kepada guru yang mengajar itu kerana setiap isi pelajaran adalah berasakan kepada garispanduan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan itu sendiri. Murid bukan sahaja keliru atau mendapat maklumat yang salah, malah guru tidak akan dapat mencapai objektif pengajaran yang disasarkannya.
Prinsip keenam pula ialah berkaitan dengan rumus atau hukum bahasa yang terdapat di dalam aspek tatabahasa. Seperti mata pelajaran Sains atau Matematik yang mempunyai rumus atau hukum-hukum tertentu, tatabahasa Bahasa Melayu juga tidak terlepas daripada rumus atau hukum bahasa. Jika Sains dan Matematik menggalakkan agar rumus atau hukumnya perlu dihafal agar senang mengingatinya, berbeza dengan rumus dan hukum bahasa yang tidak menggalakkan agar murid-murid untuk menghafal rumus dan hukum tersebut. Sudah memadai sekiranya murid-murid hanya perlu memahami penggunaan tatabahasa dalam bahasa dengan betul kerana sudah menjadi prinsip dalam pengajaran tatabahasa yang turut menekankan aspek tatabahasa itu perlu diajar secara sistematik atau terancang. Selain itu, pengajaran aspek tatabahasa ini juga diajar dan digunakan mengikut kesesuaian atau dalam konteks situasi sebenar harian murid-murid. Sekiranya apa yang diajarkan itu diaplikasikan oleh murid dalam situasi sebenar, maka lebih mudah dan senanglah murid-murid memahami seterusnya dapat menguasai aspek tatabahasa dengan baik.
Prinsip seterusnya pula ialah proses menitikberatkan makna dan aspek tatabahasa itu mengikut konteks berdasarkan petikan yang digunakan. Lazimnya, sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu tidak akan lari daripada penggunaan petikan sebagai BBM. Dengan penggunaan petikan ini maka guru perlu mementingkan makna serta aspek tatabahasa yang terdapat di dalam petikan yang digunakan. Guru perlu mempastikan penggunaan aspek tatabahasa mengikut konteks berdasarkan petikan yang digunakan itu. Guru perlu tahu bahawa pemahaman dan penguasaan adalah sangat penting terhadap aspek tatabahasa kerana ia terdiri daripada kepelbagaian hukum-hukum bahasa serta beberapa peraturan atau undang-undangnya yang akan dapat membantu murid-murid menguasai aspek tatabahasa itu dengan lebih baik lagi.

















  1. RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN BAHASA MELAYU BERKAITAN PENGAJARAN TATABAHASA SECARA TIDAK LANGSUNG

Tarikh : 28. 06. 2013
Hari : Jumaat
Mata pelajaran : Bahasa Melayu
Masa : 8.10 – 9.10 pagi (60 minit)
Kelas : Tahun 5
Bilangan pelajar : 29 orang
Tajuk : Pesan Nenek

Objektif Pembelajaran:
  • Pada akhir proses pembelajaran, murid akan dapat :
  1. Melaksanakan sesuatu arahan dengan tindakan yang wajar
  2. Membina ayat perintah dengan betul
  3. Menjawab dengan betul empat daripada lima soalan kefahaman.

Pengetahuan Sedia Ada Murid :
Murid sudah pernah diarah melakukan sesuatu tugasan atau aktiviti

Fokus Utama :
1.3 Memberikan dan memahami arahan serta pesanan tentang sesuatu perkara

Aras 3
  1. Meneliti arahan dan pesanan untuk membuat tindakan wajar

Fokus Sampingan :
8.1 Membina dan menulis perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk

Aras 1
  1. Menulis perkataan dan pelbagai jenis ayat

Sistem Bahasa :
Tatabahasa : Ayat Perintah

Pengisisan Kurikulum:
Ilmu : Pendidikan Moral
Nilai : Berani, Rajin, Patuh, Kerjasama

Kemahiran Bernilai Tambah:
Kemahiran Berfikir : Menjana idea, menganalisis
Kemahiran Belajar Cara Belajar : Membaca, perbincangan
Kecerdasan Pelbagai : Interpersonal, Intrapersonal
Kontekstual : Menghubungkait pengalaman dengan pembelajaran

Bahan Bantu Mengajar (BBM):
Lembaran kerja, kad manila, kad situasi, pen marker, kad ayat

Langkah /
Masa
Isi
Pelajaran
Aktiviti
P & P
Catatan
Set induksi
(5 minit)
1.Permainan :
- Menyampaikan maklumat
2. Sampul Rahsia
1. Guru meminta ketua kumpulan tampil ke depan untuk mencabut pesanan yang terdapat di dalam sampul rahsia.
2. Ketua kumpulan diberi masa mengingati maklumat dan menyampaikan pesanan kepada setiap ahli kumpulan.
3. Ahli kumpulan terakhir akan menyatakan maklumat yang diterima.
4. Guru mengaitkan set induksi dengan isi pelajaran pada hari ini.
Nilai:
-Yakin

Kemahiran Berfikir:
-Menjana idea

BBM:
-Kad ayat
Langkah 1
(15 minit)
1.Permainan :
- ‘Pesan Nenek’ – membuat simulasi berdasarkan situasi yang dipilih
2. Simulasi
1. Guru meminta ketua kumpulan tampil ke depan untuk mencabut sampul rahsia yang mengandungi kad situasi.
2. Berdasarkan situasi yang diberi, murid diminta membuat simulasi terhadap arahan yang tertera pada kad situasi.
3. Guru membimbing perbincangan murid.
Kemahiran Berfikir:
-Menjana idea
-Menganalisis

Nilai:
-Berani

BBM:
-Kad situasi
Langkah 2
(10 minit )
1.Tatabahasa :
- Ayat Perintah
1. Berdasarkan simulasi yang dilakukan, murid diminta membina 2 ayat perintah yang mengandungi adegan simulasi
2. Guru membimbing tugasan murid.
Nilai:
-Rajin

Kemahiran Berfikir:
-Menganalisis
Langkah 3
(15 minit)
1.Perbincangan Kumpulan:
- Membina 4 ayat majmuk yang mengandung kata perintah
2. Pembentangan
1. Guru meminta ketua kumpulan tampil ke depan untuk mengambil kertas manila dan pen marker.
2. Guru memberi arahan tajuk perbincangan
3. Guru membimbing perbincangan murid
4. Wakil setiap kumpulan akan membentang hasil perbincangan
Kemahiran Belajar Cara Belajar :
-Perbincangan

BBM:
-Kad Manila
-Pen marker

Kemahiran Berfikir:
-Menjana idea

Nilai:
-Berani
Langkah 4
(10 minit)
1.Soalan kefahaman
1. Murid dipilih secara rawak untuk mengedarkan lembaran kerja
2. Guru meminta murid menjawab soalan kefahaman
3. Guru membimbing tugasan murid-murid.
Nilai:
-Rajin

BBM:
-Lembaran kerja

Kemahiran Berfikir:
-Menjana idea
Penutup
(5 minit)
1.Rumusan 1. Guru merumuskan pelajaran pada hari tersebut
Nilai:
-Patuh






























  1. MASALAH-MASALAH YANG DIHADAPI OLEH MURID SEMASA PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN ASPEK TATABAHASA

Proses pengajaran dan pembelajaran aspek tatabahasa merupakan satu proses yang berterusan dilakukan oleh guru sekiranya guru ingin mempastikan murid-murid memahami dan dapat mengaplikasikan tatabahasa dengan betul. Ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah berlangsung, tugasan guru lebih mencabar kerana dia perlu berkebolehan dalam mengaplikasikan teknik-teknik dan prinsip-prinsip pengajaran tatabahasa agar murid dapat memahami tatabahasa dengan lebih baik. Namun, tidak dinafikan bahawa, setiap sesi pengajaran dan pembelajaran itu pasti akan timbul beberapa masalah yang dihadapi oleh guru ataupun murid. Berikut saya nyatakan, beberapa masalah yang dihadapi oleh murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran aspek tatabahasa ini.
Masalah yang pertama ialah, kesalahan penggunaan imbuhan. Dalam pengajaran aspek tatabahasa, elemen seperti imbuhan itu adalah sangat penting untuk dikuasai oleh murid-murid agar mereka tidak terpengaruh dengan bahasa pasar atau bahasa campuran yang tidak sesuai digunakan ketika berada di dalam acara atau majlis formal. Dengan menguasai atau memahami aspek imbuhan, murid akan dapat menambahkan lagi pemahaman orang lain berkaitan ayat yang dituturkan atau yang disampaikan oleh mereka. Kadangkala, masalah berkaitan imbuhan ini bukanlah berpunca daripada pengajaran oleh guru itu tetapi lebih kepada murid yang kurang atau tidak memahami konsep penggunaan imbuhan di dalam ayat. Kita sedia maklum bahawa, dalam imbuhan itu wujudnya kata dasar. Tujuan penambahan imbuhan terhadap kata dasar itu pula lebih kepada membezakan maksud ayat yang menggunakan kata dasar itu. Contohnya,penggunaan kata pakai. Jika kita meletakkan imbuhan di hadapan kata tersebut, iaitu imbuhan awalan di-‘, maka kata pakai tadi akan menjadi dipakai. Contoh penggunaannya dalam ayat ialah, kasut hitam itu dipakai oleh Liza. Contoh seterusnya meletakkan imbuhan pada belakang kata dasar iaitu imbuhan akhiran ‘-kan’ dan menjadi pakaikan. Contoh dalam penggunaan ayat ialah, ‘Pakaikan dia baju itu’, kata ibu kepada Amin. Manakala penggunaan imbuhan pada awalan dan akhiran kata dasar pakai ialah imbuhan apitan di – kan’ menjadi dipakaikan. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti berikut, robot itu dipakaikan dengan sut yang mewah. Ada dikalangan murid yang tidak tahu membezakan penggunaan perkataan berimbuhan tersebut di dalam ayat yang mereka bina. Lazimnya masalah ini hanya berlaku dikalangan murid-murid yang lembab atau slow learner dan juga murid di kelas Pemulihan. Bagi kes seperti ini, guru perlu bijak menanganinya dengan memberikan seberapa banyak latihan latih tubi berkaitan dengan imbuhan agar murid tersebut dapat memahami konsep imbuhan dengan lebih baik lagi. Selain memberikan latihan latih tubi yang berterusan, guru juga perlu menggunakan kaedah secara lisan untuk melatih murid agar dapat menguasai atau sekurang-kurangnya tahu menggunakan imbuhan dengan baik.
Masalah yang kedua pula ialah, kesalahan penggunaan kata hubung. Murid-murid akan berasa sukar untuk mengikis kebiasaan mereka menggunakan kata hubung dalam pertuturan atau perbualan dalam situasi formal dengan penggunaan ayat yang betul. Dalam kata hubung, konsep yang perlu diketahui dan difahami oleh murid ialah, fungsi kata hubung itu iaitu sebagai penghubung atau penyambung kepada dua atau lebih lebih sama ada perkataan, frasa, klausa atau ayat untuk menjadi satu ayat sahaja. Namun, kebanyakan murid lebih suka menggunakan kata hubung contohnya yang. Ada murid lebih suka dan selesa menggunakan perkataan yang diletakkan pada permulaan ayat semasa bertutur ataupun ketika menjawab soalan kefahaman. Oleh itu, untuk mengurangkan kebiasaan ini seterusnya menghilangkannya sekaligus daripada keterbiasaan, guru perlu bijak memainkan peranan sebagai pembimbing murid-murid untuk menggunakan kata hubung dengan betul, sesuai dengan fungsinya sebagai penghubung kepada dua ayat untuk dijadikan kepada satu ayat sahaja. Guru perlu memperbanyakkan latih tubi berkaitan dengan kata hubung agar murid dapat menguasai seterusnya mengaplikasikan penggunaan kata hubung yang betul sama ada ketika bertutur mahupun menjawab soalan kefahaman.
Masalah yang ketiga ialah, masalah yang berkaitan dengan kesalahan penggunaan aspek frasa nama, frasa kerja dan frasa sendi nama. Apabila murid mempelajari aspek tatabahasa yang berkaitan dengan kata nama seperti tempat atau arah selain kata kerja atau adjektif, murid akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan ayat dengan situasi atau sukar membina ayat yang betul dan tepat jika terdapat elemen-elemen tersebut. Contohnya, jika di dalam ayat itu ada menunjukkan arah atau tempat, maka murid perlu menjarakkan kata imbuhannya. Contohnya di sini, di sana, di dalam, ke Komplek Sukan, di Kedai Serbaneka. Begitu juga dengan dengan ayat-ayat yang melibatkan penggunaan kata sendi. Murid juga mengalami masalah untuk membina ayat dengan baik. Guru perlu menerangkan kepada murid satu persatu mengenai maksud dan fungsi frasa-frasa tersebut kerana dengan penerangan yang diberikan sebelum meminta murid membina ayat, maka murid akan lebih mengetahui dan memahami konsep frasa-frasa tersebut. Selain latih tubi yang berterusan sama ada ketika berlangsungnya sesi pengajaran dan pembelajaran, guru juga perlu meminta murid untuk membina ayat secara lisan sebagai latihan kepada mereka untuk mengaplikasikan frasa-frasa tersebut serta tahu membezakannya mengikut fungsinya.
Manakala masalah yang keempat pula ialah, masalah penggunaan sendi nama. Penggunaan kata sendi nama seperti di, ke, kepada, daripada, pada, bagi, tentang juga adakalanya mengelirukan murid. Masalah keliru dan tidak tahu menggunakan kata sendi mana yang harus digunakan sering membelenggu murid dalam menghasilkan ayat yang betul. Oleh itu, penerangan daripada guru mengenai fungsi dan konsep penggunaannya adalah sangat penting agar murid mengetahuinya serta dapat membantu murid menguasai atau memahami penggunaan sendi nama di dalam ayat yang mereka bina. Guru perlu memperbanyakkan latihan latih tubi tatabahasa berkaitan sendi nama agar murid dapat membezakan fungsi dan konsep antara pada, kepada dan daripada dan sebagainya lagi. Latihan lisan juga penting agar murid dapat membiasakan diri menggunakan kata sendi nama yang sesuai untuk digunakan dalam perbualan. Malah, murid juga perlu digalakkan membina ayat setiap hari sekurang-kurangnya satu ayat dalam sehari sebagai latih tubi untuk mereka menguasai dan memahamai aspek tatabahasa tersebut.

  1. PENUTUP

Secara amnya, proses pengajaran aspek tatabahasa Bahasa Melayu adalah satu proses yang berterusan, sama ada ia disampaikan atau diajarkan baik secara langsung mahupun secara tidak langsung dan perlu mengikut prinsip-prinsip pengajarannya agar apa yang disampaikan oleh guru itu dapat diterima oleh murid dengan lebih berkesan lagi. Murid bukan sahaja dapat memahami malah dapat mengaplikasikan aspek tatabahasa ini dengan baik sama ada dalam pertuturan secara lisan mahupun secara bertulis. Perancangan lebih awal oleh guru adalah penting agar guru dapat memikirkan langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan serta menarik melalui Rancangan Pengajaran Harian. Walaupun setiap proses pengajaran itu akan berhadapan dengan masalah terutamanya berkaitan dengan murid, namun sebagai seorang pendidik, guru perlu lebih kreatif dan terbuka dalam mengajar murid aspek tatabahasa ini agar dapat mencapai objektif. Guru juga perlu memikirkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid dengan memikirkan cara yang sesuai agar murid sekurang-kurangnya dapat memahami konsep sesuatu elemen tatabahasa itu.

No comments:

Post a Comment