Myself

Myself

Tuesday, 30 April 2013

Tugasan HBMT1203 : BUKU KERJA MATEMATIK PRASEKOLAH


PENGENALAN



Prasekolah merupakan peringkat awal dalam pendidikan awal kanak-kanak iaitu berumur 4 hingga 6 tahun sebelum beralih ke sekolah rendah. 80% perkembangan otak kanak-kanak mencapai kesempurnaan pada tahap pra sekolah ini. Mereka perlu dirangsang dengan baik untuk membangunkan kecerdasan pelbagai dan antaranya ialah dalam bidang Matematik. Oleh kerana itulah, maka perkembangan dunia pendidikan mula membuat orang dewasa sedar akan pentingnya pendidikan kanak-kanak sejak awal dan pelbagai sekolah turut menggunakan pelbagai model pendekatan pembelajaran untuk menarik perhatian kanak-kanak. Selaras dengan matlamat pendidikan prasekolah itu sendiri iaitu, menyuburkan potensi murid dalam semua bidang selain menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan memasuki sekolah rendah, beberapa objektif perlu dicapai dan antaranya ialah mempunyai kemahiran kognitif untuk berfikir dan menyelesaikan masalah. Dalam bidang matematik pula, penting bagi setiap guru agar memperkenalkan kepada kanak-kanak akan konsep asas matematik. Guru perlu membina pengetahuan dan pemahaman kanak-kanak dalam bidang matematik kerana matematik melibatkan nombor serta penyelesaian masalah.

Disamping itu, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) telah digubal dalam memastikan penghasilan produk negara yang berkualiti menerusi generasi baru seawal umur empat tahun didedahkan dengan pendidikan prasekolah yang merangkumi pelbagai aspek. Salah satunya adalah dalam matematik. Untuk pengajaran matematik bagi murid-murid prasekolah, pemilihan buku kerja yang sesuai adalah sangat penting. Guru perlu mencari buku yang menyeluruh dari segi konsep dan kemahiran agar murid-murid dapat memahami konsep matematik seterusnya dapat menguasai kemahiran yang diajar. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang terdapat di dalam buku tersebut pula mestilah menarik dari segi ilustrasinya agar murid-murid prasekolah merasa seronok menjawab soalan serta mampu mengekalkan tumpuan serta perhatian mereka ketika belajar. Buku kerja yang saya hasilkan ini adalah buku kerja Matematik khusus untuk murid-murid prasekolah. Terdapat tiga Topik dalam buku ini iaitu Operasi tambah dalam lingkungan nombor 10, Duit dan Bentuk Tiga Dimensi. Setiap set soalan mempunyai teknik dan cara menjawab yang berbeza serta perlu dikuasai oleh murid-murid prasekolah agar mudah untuk mereka meneruskan pembelajaran di sekolah rendah kelak. Setiap satu topik mengandungi dua aktiviti. Setiap aktiviti pula memenuhi kehendak atau matlamat dalam pembelajaran murid prasekolah.



Topik : OPERASI TAMBAH SEHINGGA NOMBOR 10

Operasi tambah merupakan operasi cepat dan efisien dalam pengiraan. Penambahan serta Pengiraan merupakan dua perkara yang sama namun operasi Penambahan adalah lebih cepat berbanding Pengiraan.


Objektif Aktiviti

Dalam topik ini, pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid akan dapat menyatakan hasil tambah dua himpunan objek. Sama ada secara lisan ataupun tulisan. Jika dalam tulisan, murid akan menulis jawapan yang betul pada buku manakala melalui lisan, murid akan menjawab soalan dengan menyatakan jawapan pada soalan yang diberikan. Murid juga akan dapat menyatakan ayat matematik operasi tambah secara lisan. Murid akan membaca soalan yang diberikan. Contohnya (2+2=4) dan dibaca sebagai dua tambah dua sama dengan empat. Dalam aktiviti satu yang saya buat, berdasarkan soalan yang diberikan, murid bukan sahaja menggunakan lisan tetapi juga tulisan untuk menjawab soalan tersebut. Konsep ‘lebih dari’, ‘dan satu lagi’ dan ‘tambah satu lagi’ diperkenalkan dalam soalan tersebut untuk menambah lagi kefahaman murid mengenai operasi tambah dan murid akan berupaya untuk menjawab soalan tersebut. Malah, dengan menggunakan konsep yang diperkenalkan itu juga, guru dapat menimbulkan satu situasi sebagai contoh kepada murid sebelum meminta mereka menjawab soalan yang diberikan di dalam aktiviti satu. Manakala dalam aktiviti dua juga sama, konsep-konsep tadi turut digunakan untuk menambah kefahaman murid.

Selain itu, aktiviti dalam kedua-dua set soalan topik ini akan dapat membantu murid memahami seterusnya dapat membantu murid-murid menguasai topik penambahan. Dengan memahami konsep terlebih dahulu, menggunakan alat bantu pengajaran dan pembelajaran, guru akan cuba membantu murid dengan menggunakan benda-benda maujud terlebih dahulu sebelum beralih ke soalan yang terdapat dalam buku kerja. Soalan tersebut juga merupakan soalan latih tubi untuk murid-murid menguasai topik penambahan dengan lebih cepat. Malahan, murid juga bukan sahaja belajar dengan menggunakan kertas dan pensil, tetapi juga pergerakan motor seperti penggunaan jari dan menyebut ayat matematik yang terdapat pada soalan yang diberikan.








Alat Bantu Pengajaran dan Pembelajaran

Dalam operasi pengiraan Matematik, memahami konsep adalah sangat penting kepada murid-murid sebelum mereka memulakan sesuatu operasi pengiraan. Dalam topik Operasi tambah dalam lingkungan nombor 10 ini, guru-guru boleh menggunakan teknik bercerita serta menggunakan benda maujud atau konkrit untuk dijadikan sebagai material dalam menunjukkan konsep yang ingin difahami oleh murid. Sebagai contoh, guru menggunakan guli, buah oren, buah epal dan sebagainya. Malah, paling penting sekali ialah, guru akan mengaitkan situasi pada soalan dengan situasi dalam kehidupan kita sebenar, agar mudah bagi murid untuk mengaplikasi operasi yang dipelajari itu. Selain itu, murid perlu dibiasakan menggunakan perkataan harian yang biasa dituturkan seperti ‘dan’, ‘buat’, dan ‘sama dengan’, iaitu antara perkataan yang berkaitan dengan operasi tambah. Guru juga boleh menggunakan papan pengiraan pelbagai bentuk seperti papan putih bersaiz sederhana dengan blok magnet berwarna-warni serta pelbagai bentuk agar mudah melekat pada papan putih.

Guru juga boleh menggunakan pelbagai kad nombor yang dicipta sendiri menggunakan kertas manila yang dipotong mengikut saiz segiempat sama sederhana besar kemudian ditulis dengan nombor. Dengan kad-kad nombor ini, guru boleh mengaplikasikan operasi tambah menggunakan bahan-bahan konkrit dan benda-benda maujud untuk menambah kefahaman murid.



Langkah dalam Mengendalikan Aktiviti

Dalam aktiviti satu pada soalan yang dibuat, guru perlu membuat penerangan terlebih dahulu untuk menjawab soalan yang diberikan. Murid perlu menyebut jumlah kucing yang terdapat pada kotak pertama secara lisan terlebih dahulu sebelum membuat penambahan. Guru meminta murid menyebut jumlah kucing yang terdapat dalam kotak yang kedua. Kemudian murid akan menambahkan jumlah kucing yang terdapat pada kedua-dua kotak untuk mendapatkan jumlah sebenar kucing menggunakan jari atau pengiraan nombor 1 hingga nombor 10 ataupun menggunakan benda maujud yang sesuai seperti guli atau batang aiskrim. Apabila mendapat jumlah sebenar kucing pada kedua-dua kotak, maka murid akan menyebut terlebih dahulu nombor jumlah atau jawapan penambahan tersebut dan kemudian menulis nombor atau jawapan pada kotak yang disediakan.

Dalam aktiviti dua pula, murid perlu menulis nombor pada kotak yang disediakan di bawah gambar basikal. Nombor yang perlu ditulis oleh murid pula ialah nombor yang mewakili jumlah basikal yang terdapat pada gambar atau pada gambar yang terdapat dalam soalan. Setelah menulis nombor jumlah basikal pada kotak yang disediakan, maka murid perlu menjumlahkan nombor tersebut dengan pengiraan menggunakan benda maujud atau konkrit seperti guli, lidi, batang aiskrim dan sebagainya untuk mendapatkan jumlah sebenar basikal yang terdapat pada gambar dalam soalan dan murid akan menulis jawapan atau nombor jumlah basikal yang telah dikiranya.



Topik : DUIT

Kanak-kanak mendapat banyak pengetahuan matematik melalui penggunaan wang dalam kehidupan harian mereka. Belajar untuk mengira dan menggunakannya serta mengecam duit, penggunaan wang syiling adalah kemahiran asas yang penting untuk dikuasai pada usia murid-murid prasekolah. Penggunaan atau perbelanjaan duit merupakan cara yang menarik dalam memperkukuhkan kemahiran asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi selain kemahiran berbahasa. Memahami serta mengetahui pertukaran nilai wang ketika berbelanja dan pembelian barang adalah sangat penting.



Objektif Aktiviti

Lazimnya, duit sama ada syiling ataupun wang kertas mempunyai nilai-nilai tertentu yang tertera pada duit tersebut agar mudah untuk membezakan nilainya. Penting bagi murid-murid prasekolah untuk mengenali seterusnya mengetahui nilai wang syiling dan kertas untuk memudahkan mereka menggunakan wang dalam situasi kehidupan yang sebenar. Dalam topik ini, pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid akan dapat mengecam duit yang berlainan nilainya iaitu duit dalam bentuk wang kertas dan dalam bentuk duit syiling dalam mata wang Malaysia yang diwakili oleh simbol ‘RM’ dan ‘sen’. Dalam aktiviti satu untuk topik ini, murid akan dapat mengenal wang kertas bernilai RM1 iaitu dari segi bentuk dan warnanya. Manakala dalam aktiviti dua, murid akan dapat mengenal wang kertas RM5 setelah membuat penambahan lima keping wang kertas RM1.

Murid akan dapat mengenal wang kertas dengan mengetahui nilai setiap wang kertas menggunakan warna-warna yang berbeza. Murid juga akan dapat mengetahui ciri-ciri setiap wang kertas seperti RM1 berwarna biru, RM5 berwarna hijau dan RM10 berwarna merah. Murid juga akan dapat mengetahui wang mana yang mempunyai nilai yang paling tinggi dan nilai yang paling rendah.








Alat Bantu Pengajaran dan Pembelajaran

Penggunaan syiling contoh ataupun syiling sebenar adalah sangat penting dalam topik ini, agar murid lebih mengenali syiling tersebut. Begitu juga dengan wang kertas. Bagi aktiviti satu, iaitu mengecam wang kertas bernilai RM1, guru boleh menggunakan lagu bertajuk ‘Ten Little Sen’ iaitu menggunakan lirik lagu tersebut berserta syiling dan wang kertas untuk digunakan di dalam lagu ini. Terlebih dahulu, guru perlu mengajar murid-murid lagu tersebut dengan menyediakan liriknya untuk dihafal oleh murid-murid atau sekurang-kurangnya boleh dinyanyikan mengikut rentak lagu ‘Ten Little Indians’. Ketika murid-murid sedang menyanyikan lagu tersebut, guru perlu meletakkan setiap wang syiling yang disebut oleh murid pada papan bermagnet seperti contohnya, jika lima sen yang disebut, guru akan meletakkan syiling lima sen pada papan bermagnet. Untuk wang kertas pula, lirik yang menyebut ‘sen’ akan ditukar dengan perkatan ‘ringgit’ dan guru akan melakukan perkara yang sama iaitu meletakkan wang kertas pada papan bermagnet mengikut wang kertas yang disebut oleh murid ketika menyanyi.

Dalam aktiviti dua pula, guru akan menggunakan wang kertas sebenar bernilai RM1 beberapa keping serta RM5 dan RM10. Guru perlu menunjukkan kepada murid jumlah wang kertas RM1 sebanyak lima keping dan menjadikan nilai wang tersebut sebanyak RM5. Guru akan menggunakan wang kertas RM5 sebagai ganti kepada lima keping wang RM1 tadi dan bukannya wang kertas RM10 yang digunakan untuk lima keping wang RM1. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, dengan menggunakan syiling serta wang kertas sebenar, guru boleh membuat lakonan aplikasi aktiviti jual beli yang melibatkan murid-murid. Dengan cara ini, murid-murid akan dapat mengetahui nilai wang mereka ketika membeli.



Langkah dalam Mengendalikan Aktiviti

Dalam aktiviti satu, guru perlu meletakkan wang kertas bernilai RM1, RM5 dan RM10 terlebih dahulu pada papan bermagnet. Guru akan melabel wang-wang tersebut mengikut nilainya menggunakan nombor dan perkataan. Contohnya wang kertas RM1 di tulis ‘RM1’ dan ‘Satu Ringgit’. Begitu juga dengan wang kertas lain seperti wang kertas RM5 dan RM10. Murid akan menjawab soalan yang diberi berdasarkan wang-wang yang terdapat pada papan bermagnet. Murid akan menjawab soalan tersebut dengan menulis nombor nilai wang yang terdapat pada soalan serta menulis dengan perkataan nilai wang tersebut.

Bagi aktiviti dua, menggunakan wang-wang yang sama yang dilekatkan pada papan bermagnet juga, murid akan memilih nilai wang bagi hasil jumlah wang-wang yang disediakan pada sebelah kiri. Murid akan mengira dan membuat operasi penambahan untuk mendapatkan jumlah-jumlah wang kertas yang diberikan. Murid hanya perlu membulatkan sahaja jawapan pilihan mereka iaitu membulatkan pada wang kertas yang mewakili nilai jumlah wang di sebelah kiri.



Topik : Bentuk Tiga Dimensi

Kanak-kanak seawal umur empat hingga enam tahun kurang berkemampuan dalam menggambar atau membayangkan bentuk ataupun pepejal. Bagi mereka, kedua-duanya adalah sama dan mengelirukan. Kanak-kanak belajar mengenai bentuk geometri seperti bentuk tiga dimensi adalah melalui pendedahan sewajarnya dalam aktiviti pembelajaran dan pengalaman.



Objektif Aktiviti

Murid perlu mengetahui dan membezakan bentuk Dua Dimensi dan bentuk Tiga Dimensi. Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran topik ini, murid akan mengenali nama dan bentuk Tiga Dimensi. Dalam aktiviti satu, murid perlu mengenali nama-nama bentuk Tiga Dimensi dan bagaimana bentuknya agar murid mengingati bentuk dan nama objek-objek tiga demansi yang diajar oleh guru. Manakala dalam aktiviti dua pula, murid akan mewarnakan bentuk yang sama dengan objek contoh yang bertujuan untuk tidak mengelirukan murid-murid antara bentuk Dua Dimensi dan bentuk Tiga Dimensi agar murid bertambah ingat bentuk tiga dimensi selain akan dapat mengecam bentuk tiga dimensi di dalam kehidupan atau situasi sebenar mereka.

Disamping itu, murid akan lebih mengenali bentuk-bentuk dan ciri-ciri objek-objek dua dimensi dan tiga dimensi. Setiap bentuk objek tiga dimensi juga mempunyai nama tertentu, mengikut ciri-cirinya yang perlu diketahui oleh murid. Contohnya, kuboid mempunyai lapan bucu, empat segiempat tepat dan dua segiempat sama. Selain itu, murid-murid juga akan dapat membandingkan pelbagai benda yang mempunyai bentuk-bentuk yang sama dengan objek berbentuk tiga dimensi. Sebagai contoh, bola mempunyai persamaan dengan bentuk sfera dan kotak tisu pula mempunyai persamaan dengan bentuk kuboid.



Alat Bantu Pengajaran dan Pembelajaran

Dalam pembelajaran bentuk tiga dimensi ini, guru memerlukan benda maujud atau konkrit, iaitu objek sebenar bentuk-bentuk tiga dimensi utama seperti bentuk kuboid, bentuk kiub, piramid, sfera dan silinder. Dengan memperlihatkan objek-objek sebenar tiga dimensi, murid akan senang dan dapat mengingat bentuk-bentuk tersebut. Selain itu, bentuk-bentuk tersebut perlulah dilabel dengan namanya agar murid dapat menyebut namanya sambil memegang bentuk objek yang disebut itu. Dalam aktiviti satu untuk topik bentuk tiga dimensi ini, murid-murid perlu mengetahui nama dan memadankan dengan bentuknya.

Disamping itu, dengan menggunakan bentuk-bentuk objek yang telah dilabel dengan nama itu tadi, guru akan menerangkan ciri-ciri bentuk tiga dimensi tersebut. Guru juga perlu memberi persamaan bentuk objek tersebut dengan objek lain. Guru perlu menggunakan objek lain selain bentuk tiga dimensi seperti bola, buku, kotak tisu ataupun sandwich. Sekiranya tidak terdapat objek-objek berbentuk tiga dimensi, guru perlu kreatif dan bertindak bijak dengan membina objek-objek berbentuk tiga dimensi menggunakan kertas manila. Guru juga boleh menggunakan benda-benda yang berbentuk tiga dimensi seperti buku dan kotak sebagai alat bantu pengajaran dan pembelajaran. Guru juga boleh melakar bentuk-bentuk objek tersebut pada kertas manila dan melabelkan nama objek tersebut untuk memudahkan murid menghafal atau mengingati objek tersebut.



Langkah dalam Mengendalikan Aktiviti

Dalam aktiviti satu topik bentuk tiga dimensi ini, murid perlu menyebut nama bentuk pada sebelah kanan dan membacakan ciri-ciri bentuk nama objek yang disebut itu. Kemudian murid-murid memadankan nama yang tersenarai pada sebelah kanan kepada bentuk-bentuk tiga dimensi tersebut yang terdapat di sebelah kiri. Murid akan menyebut nama bentuk dan menunjukkan bentuk objek berdasarkan nama yang disebut itu. Manakala dalam aktiviti dua untuk topik bentuk tiga dimensi ini, murid perlu memilih apakah bentuk yang sesuai atau yang sama dengan objek yang disediakan, kemudian murid perlu mewarnakan bentuk tiga dimensi yang dipastikan sama bentuknya dengan objek yang berada di sebelah kiri. Objek-objek tersebut merupakan objek-objek yang biasa ditemui dalam situasi sebenar kehidupan murid-murid.



PENUTUP

Bidang pengajaran matematik tidak sama dengan pengajaran mata pelajaran yang lain. Apatah lagi pengajaran matematik untuk prasekolah yang jauh lebih mencabar berbanding murid-murid sekolah rendah. Untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran, guru perlu mempastikan bahawa murid-murid telah menguasai dua per tiga daripada objektif yang disenaraikan. Penggunaan lembaran kerja yang sesuai adalah penting agar murid-murid dapat menguasai konsep serta kemahiran yang diajar oleh guru. Banyak elemen yang perlu diambil kira jika ingin menggunakan beberapa buah buku kerja untuk kegunaan murid. Buku yang digunakan bukan sahaja perlu mengikut sukatan pelajaran yang sama dengan sukatan pelajaran semasa, malah perlu sesuai dan mencapai semua peringkat kemahiran yang dipelajari. Dari segi penghasilan buku tersebut pula, terutamanya elemen ilustrasi, buku tersebut perlu menarik dari segi penyampaian warna kerana murid-murid prasekolah lazimnya akan tertarik dengan buku-buku yang berwarna dan menarik.

Bagi guru pula, buku-buku kerja yang digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran sebagai buku kerja perlulah sesuai mengikut umur dan tahap kebolehan murid. Ini kerana, tahap setiap murid adalah berbeza-beza. Oleh itu, guru perlu memilih buku yang sesuai tahap atau arasnya untuk semua murid. Penggunaan buku yang berlainan boleh dipakai tetapi hanya sesuai digunakan untuk aktiviti pengukuhan. Buku yang digunakan sebagai buku kerja untuk murid-murid akan menjadi alat bantu pengajaran dan pembelajaran yang memudahkan tugas guru kerana guru tidak perlu mencetak atau mencari soalan daripada sumber-sumber lain lagi kerana sudah mempunyai buku kerja yang sesuai untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

Tugasan HBML1203 : Peristilahan Bahasa Melayu


  1. PENGENALAN



Peristilahan merupakan salah satu aspek terpenting dalam pembinaan Bahasa Melayu. Istilah serta perkataan baharu dicipta demi memperkayakan lagi kosa kata Bahasa Melayu. Kekurangan istilah telah menjadi masalah dalam pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan pada peringkat awalnya. Namun, ia berubah apabila timbul kesedaran akan keperluan dan kepentingan peristilahan. Maka, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menggubal sebanyak mungkin istilah-istilah dalam pelbagai bidang dalam memenuhi keperluan penggunaannya pada bidang-bidang berkaitan. Penggubalan istilah ini dilakukan melalui sistem Mesyuarat Jawatankuasa Istilah dengan ahlinya adalah dilantik oleh DBP daripada pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi dan Pusat Pendidikan dengan pelbagai latar belakang pendidikan. Secara amnya, peristilahan berkembang seiring bersama-sama perkembangan ilmu dan teknologi, namun peristilahan Bahasa Melayu terkebelakang daripada perkembangan ilmu dan teknologi tersebut. Situasi ini adalah disebabkan oleh penggubalan istilah dalam Bahasa Melayu lebih merupakan penggubalan istilah sekunder. Dalam konteks pembentukan budaya ilmu, penggubalan istilah dalam pelbagai bidang ilmu menjadi simbol telah berlakunya proses intelektualisasi dalam Bahasa Melayu. Istilah merupakan lambang linguistik berupa huruf, bentuk bebas atau gabungan beberapa bentuk bebas yang gramatis dan sistematik serta mengandungi timbunan konsep atau objek khas dalam bidang tertentu.

Usaha penggubalan istilah di Malaysia bermula selepas tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1956. Pada awalnya, tidak ada satu pun sistem organisasi yang memberi panduan dan mengawal kerja-kerja peristilahan. Penubuhan jawatankuasa istilah adalah berdasarkan permintaan individu yang berwibawa sebagai pemimpin masyarakat atau sebagai ahli akademik. Pertumbuhan konsep yang pesat dalam semua bidang kegiatan manusia telah menimbulkan masalah komunikasi yang begitu serius. Konsep yang jumlahnya tidak terkira banyaknya menyebabkan komunikasi yang taksa, sekaligus memberikan kesan yang maksimum terhadap komunikasi antara orang dengan mesin, mesin dengan mesin atau pun individu dengan individu. Namun begitu, walaupun istilah lazimnya dapat dikaitkan dengan kata tetapi kata itu sendiri tidak sentiasa dapat dikaitkan dengan istilah disebabkan oleh tidak semua kata itu adalah istilah. Perbezaan antara kata dan istilah diperlihatkan melalui huraian tentang kata dan istilah daripada beberapa sumber. Perbezaan antara istilah dan kata adalah melalui kekhususan sesuatu makna kerana kata mempunyai pelbagai makna bergantung kepada konteks penggunaannya manakala istilah pula mempunyai makna khusus yang tidak akan berubah walau dalam konteks yang berlainan. Setiap konsep baru perlu dilambangi dengan kata-kata yang dapat diperoleh menggunakan kaedah tertentu seperti, pembentukan kata dengan mengubah bunyi kata yang sedia ada. Contohnya, perkataan Lejas daripada Jelas, Legap daripada Gelap dan Jerap daripada Serap. Pembentukan perkataan baru dengan menggabungkan bahagian kata. Contohnya, Asbut daripada asap dank abut, Puyam daripada puyuh dan ayam, Selembu daripada Seladang dan Lembu. Peminjaman perkataan asing, contohnya, proses, material dan hos. Oleh itu, konsep merupakan asas dalam pembentukan kata dan istilah serta merupakan simbol yang digunakan untuk menggambarkan sesuatu konsep.



  1. SEJARAH PERKEMBANGAN PERISTILAHAN, PERANAN DBP DAN MABBIM SERTA AGENSI LAIN DALAM MEMBANGUN DAN MEMPERKEMBANG PERISTILAHAN MELAYU



2.1 Sejarah



Pada peringkat awalnya tidak ada satu sistem organisasi pun yang memberi panduan serta mengawal kerja-kerja peristilahan. Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan pengerak kepada pembinaan istilah Bahasa Melayu pada tahun 1957. Jawatankuasa Istilah, jawatan dan jabatannya telah ditubuhkan untuk mencipta nama jabatan dan jawatan kerajaan yang digunakan di seluruh Tanah Melayu. Jawatankuasa ini telah mengadakan sesi kerjanya yang pertama bermula pada 15 Januari 1957. Jawatankuasa istilah terawal ditubuhkan ialah Jawatankuasa Istilah Ekonomi yang dipengerusikan oleh Profesor Diraja Ungku A. Aziz. Malah beliau merupakan Pengerusi dan Pengarah pertama DBP selain pejuang bahasa.Hasil buku jawatankuasa ini ialah Istilah Jawatan dan Jabatan diterbitkan pada tahun 1960 dengan terciptanya 2 514 istilah baru. Kerja-kerja peristilahan secara terancang atau sistematik bermula pada tahun 1975.

Buku berjudul Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPIBM) merupakan hasil kerjasama berkaitan bahasa diantara Malaysia, Brunei dan Indonesia menerusi Majlis Bahasa Indonesia, Brunei dan Malaysia (MABBIM). Bahagian peristilahan terus diberi mandat dalam mengumpul, membentuk, menggubal, memperbanyakkan istilah seterusnya menerbitkan istilah Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu. Pelaksanaan mandat ini adalah menerusi pelantikan ratusan profesional ilmuan yang rata-rata mempunyai pengalaman dan kepakaran. Malah mereka yang dilantik itu dianggap sebagai pakar bidang yang mewakili Institusi Pengajian Tinggi, Sektor Swasta, Sektor Awam dan Sektor Pendidikan negara. Sehingga kini, Bahagian Peristilahan telah berjaya menerbitkan sebanyak 207 daftar glosari istilah dengan sejumlah 1 002 438 istilah yang dibentuk dalam pelbagai bidang. Penubuhan MABBIM pada peringkat serantau juga diberi mandat dalam menyelaraskan sejumlah 123 885 istilah ilmu pengajian tinggi dan profesional untuk penggunaan bahasa di ketiga-tiga negara anggota MABBIM.



2.2 Peranan DBP dan MABBIM



Pelaksanaan perancangan bahasa yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui bahagian-bahagian di dalam operasinya adalah bersifat revolusi tetapi teratur dan sitematik. Antara peranan-peranan penting DBP ialah membina korpus dan menyebarkannya melalui buku istilah, tatabahasa dan perkamusan. Melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa pula tugasnya ialah memnina dan memperkembangkan istilah, mengadakan penyelidikan dan menyebarkan hasil pemerolehan mereka selain mengawal penggunaan bahasa dengan mengeluarkan risalah dan panduan umum kepada sektor awam dan swasta disamping menyediakan khidmat nasihat. Pada tahun 1980, satu lagi unit telah ditubuhkan iaitu Unit Pelaksanaan Bahasa yang bertanggungjawab menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dengan mengadakan ceramah, taklimat, forum, kursus, rancangan Dewan Bahasa di radio, menyebarkan panduan bahasa, khidmat nasihat, mengadakan kempen Cintai Bahasa Kita serta mengawasi penggunaan Bahasa Melayu di sektor awam mahupun swasta.

Disamping itu, antara peranan-peranan utama DBP dalam Peristilahan ini ialah, mengumpul, membentuk, memperbanyak dan menerbitkan istilah Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu. DBP turut mewujudkan Pangkalan Data Peristilahan yang bersistem serta sesuai dengan matlamat penyebaran dan pemasyarakatan istilah. Menyelaraskan istilah dan penggunaan istilah Bahasa Melayu selain mengadakan kerjasama dengan Indonesi dan Brunei Darussalam melalui MABBIM. Manakala peranan MABBIM pula ialah membina dan mengembangkan bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan di tiga buah negara anggota tetap berkenaan. MABBIM juga bertanggungjawab dalam mendaulat, menyebar dan mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban yang tinggi bukan sahaja di rantau ini malah di persada dunia. Usaha MABBIM adalah meliputi semua bidang keilmuan seperti Sains, Teknologi, Komunikasi Maklumat, Perubatan, Perundangan, Perekonomian, Kesusasteraan dan sebagainya.



  1. PRINSIP-PRINSIP PEMBENTUKAN ISTILAH



Selepas 1975, usaha-usaha dalam memajukan istilah melayu telah menjadi lebih proaktif. Penubuhan Jawatankuasa Pedoman Umum Pembentukan Istilah oleh kerjasama antara DBP dan MABBIM bertanggungjawab dalam menghasilkan istilah yang seragam antara Malaysia dan Indonesia selain memperkembangkan istilah melayu yang lebih khusus, abstrak, dan tepat serta bersesuaian dengan bidang ilmu di Malaysia. Keutamaan terhadap asas bahasa melayu dan bahasa-bahasa serumpun menjadi keutamaan kepada jawatankuasa ini. Diantara prinsip-prinsip dalam pembentukan istilah itu ialah:



3.1 Istilah Kata Tunggal

Istilah kata ini merupakan kata tanpa imbuhan iaitu hanya kata dasar. Ia dipilih antara golongan kata utama, seperti Kata Nama, Kata Kerja dan Kata Adjektif. Contohnya,



Kata Kerja: pecut accelerate

Imbas scan reka invent



Kata Adjektif: kenyal elastic rawak random cemas anxious



Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (2004), Akronim juga tergolong sebagai Kata Tunggal Tanpa Imbuhan kerana ianya ditulis dan dilafazkan sebagai kata. Contohnya: cereka, cerpen, tabika, tadika, pawagam, kugiran, MARA, ADUN, BERNAMA, PLUS, KOBENA, BERNAS.



3.2 Istilah Kata Terbitan

Kata yang terbina daripada Kata Dasar dengan Imbuhan Awalan, Akhiran, Sisipan atau Apitan. Istilah ini malahan termasuk sebagai Kata Dasar yang menerima Imbuhan Bahasa Sanskrit, Arab dan Jawa.

Paradigma kata dengan imbuhan ber- contohnya: belajar pelajar pelajaran bertapa pertapa pertapaan bertani patani pertanian

Paradigma dengan penambahan me(N)- contohnya: menulis penulis penulisan tulisan mengajar pengajar pengajaran ajaran mengamal pengamal pengamalan amalan membesar pembesar pembesaran mengubah pengubah pengubahan mengairi pengairan

Paradigma dengan me(N)-, ber- contohnya: memberhentikan pemberhentian perhentian perkecualian pembelajaran pelajaran

Paradigma kata dengan me(N)-, per- contohnya: mempersatukan pemersatu pemersatuan persatuan memperoleh pemeroleh pemerolehan perolehan mempelajari pelajar pelajaran

Paradigma kata dengan ke – an contohnya: saksi kesaksian bermakna kebermaknaan terbuka keterbukaan penduduk kependudukan sesuai kesesuaian

Paradigma kata dengan sisipan –en-, -er-, -el-, -em-, -in- contohnya: gigi gerigi susu tenusu tapak telapak kuncup kemuncup sambung sinambung



3.3 Istilah Kata Ganda

Istilah yang terdiri daripada Kata Ganda boleh juga merupakan gandaan kepada Kata Dasar sepenuhnya atau sebahagian sahaja dengan atau tanpa imbuhan ataupun perubahan bunyi.

Ganda Penuh, contohnya: langit-langit kanak-kanak labi-labi paru-paru buku-buku guru-guru

Ganda Suku Kata Awal, contohnya: tetikus rerongga cecair rerambut gegua jejari

Ganda Suku Kata Awal dengan Imbuhan, contohnya: dedaunan pepohonan jejarian

Kata Ganda Berentak, contohnya: warna-warni batu-batan serta-merta bengkang-bengkok bolak-balik hingar-bingar dolak-dalih mundar-mandir pupu-poyang rempah-ratus



3.4 Istilah Bentuk Gabungan (Majmuk)

Istilah boleh dibentuk hanya dengan membuat penggabungan dua kata atau lebih. Semua unsur yang terdapat dalam gabungan ini adalah terdiri daripada yang berbentuk bebas tanpa mengira samaada sudah ataupun belum ditambah dengan imbuhan.

Tanpa Imbuhan, contohnya: garis lintang atas aras laut daftar masuk mesin atur huruf mesin kira tangan segi empat tepat ganda tiga kamera laut dalam

Dengan Imbuhan pada salah satu unsurnya, contohnya: saksi pendakwa pelarasan gaji dalam talian atas talian mengambil alih menerima pakai penerima janji gelombang melintang

Dengan Imbuhan pada kedua-dua unsur, contohnya: jagaan perlindungan kedudukan anggaran perjanjian meluluskan perbelanjaan terealisasi

  1. FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN ISTILAH


Secara amnya, proses pembentukan istilah itu dapat ditentukan melalui beberapa faktor. Mari kita lihat beberapa faktor dalam pembentukan istilah ini. Antaranya ialah, Pemilihan kata daripada Bahasa Melayu. Pembentukan Istilah merupakan proses mengambil kata daripada perbendaharaan kata umum Bahasa Melayu termasuklah kata dari dialek-dialek ataupun bahasa-bahasa lama. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa syarat perlu dipatuhi sebelum pemilihan sesuatu kata itu dibuat. Antara syarat-syarat tersebut ialah, kata yang akan diambil perlu tepat dalam memberi makna, konsep, proses, keadaan atau ciri-ciri yang dimaksudkan, kata yang dipilih pula perlu atau merupakan kata yang paling singkat seandainya wujud sekelompok sinonim. Contohnya: hospital dan rumah sakit, dipilih hospital. Fisiologi dan Kaji Tugas Organ, dipilih Fisiologi. Selain itu, kata tersebut juga perlu tidak mempunyai konotasi buruk atau sebutan yang sumbang. Faktor seterusnya ialah Pemilihan Kata daripada Rumpun Melayu. Pembentukan Istilah sebenarnya boleh dibentuk daripada Perbendaharaan Kata bahasa serumpun dengan Bahasa Melayu seandainya tidak terdapat istilah yang diperlukan daripada Bahasa Melayu. Contoh-contohnya ialah gambut (daripada bahasa Banjar) – peat, nyeri (daripada bahasa Sunda) – pain dan engkabang (daripada bahasa Iban) – ellipenut.

Faktor yang seterusnya ialah, Perbendaharaan Kata Bahasa Asal. Kata-kata daripada bahasa asal atau bahasa asing adalah dibenarkan pengambilannya sekiranya istilah yang diperlukan itu tidak diperoleh daripada Bahasa Melayu dan bahasa serumpun dengan Bahasa Melayu. Keutamaan terhadap ejaannya dalam bahasa sumber adalah penting dan perlu disesuaikan dalam penulisan istilah tersebut, namun penyebutannya pula perlu mengikut sistem bunyi Bahasa Melayu. Manakala Bahasa Inggeris pula dianggap paling internasional bagi tujuan penyeragaman untuk tujuan sebagai bahasa sumber melainkan konsep yang berkenaan tidak wujud istilahnya dalam Bahasa Inggeris. Contoh-contohnya ialah television dalam Bahasa Asal manakala televisyen dalam Bahasa Melayu, Structure dalam Bahasa Asal manakala struktur dalam Bahasa Melayu.

Seterusnya pula ialah Penyerapan Istilah Asing. Peminjaman terhadap istilah asing ini dibuat apabila sesuai penggunaanya dari segi makna kata itu, singkat dari segi terjemahan bahasa melayunya dan mempermudahkan penyelarasan bagi istilah asing yang diserap itu sekiranya istilah bahasa melayunya mempunyai banyak sinonim. Bentuk-bentuk Serapan. Pengambilan kata daripada Bahasa Asing itu hanya terdiri daripada bentuk akarnya atau terbitannya. Namun, ia bergantung pada konteks situasi dan penggunaanya dalam ayat, kemudahan untuk belajar bahasa dan dari segi kepraktisannya. Oleh itu, bentuk tunggal adalah digunakan. Contohnya spectrum kecuali jika bentuk jamaknya merupakan lebih biasa dipakai.

Disamping itu, Istilah Asing yang sudah lazim juga adalah antara faktor-faktor dalam Pembentukan Istilah. Penggunaannya boleh terus digunapakai walaupun penggunaanya kadangkala tidak sesuai dengan peraturan. Walaubagaimanapun, ia dilakukan hanya untuk mengelakan daripada berlakunya kekeliruan. Contohnya, campaign (Istilah Asing) dan kempen (Istilah Bahasa Melayu). Pension (Istilah Asing) dan Pencen (Istilah Bahasa Melayu). Faktor seterusnya ialah, Ejaan Istilah (Ungkapan) Asing yang tetap. Penggunaan Istilah Asing atau ungkapan-ungkapan tertentu yang mana sebutan dan ejaannya adalah dikekalkan dalam semua bahasa malah turut digunapakai dalam Bahasa Melayu dengan syarat diletakkan dengan garisan bawah ataupun dicetak miring (italic). Contohnya 9.2.2 bona fide dan 9.2.5 weltanschauung.





  1. PEMBENTUKAN ISTILAH DALAM PELBAGAI BIDANG



Menurut Datuk Abdul Aziz Deraman, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bahasa yang maju turut sama mencerminkan sebuah bangsa yang maju dalam pelbagai bidang kehidupan. Malah, menurut beliau lagi, pembentukan istilah-istilah baru akan menjadikan sesuatu bahasa itu lebih dinamik. Dalam bidang Pembentukan Istilah pula, pelbagai istilah telah digubal dan dibentuk dalam pelbagai bidang. Antara tujuan dan matlamat DBP dalam menggubal dan membentuk istilah dalam pelbagai bidang ini adalah memudahkan dan membantu seseorang dalam proses pembelajaran untuk mempelajari sesuatu bidang selain menjadi rujukan dalam pembelajaran. Berikut adalah contoh-contoh istilah-istilah mengikut bidang-bidang tertentu.

Istilah Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Dalam bidang ini, bukan hanya pelajar dalam bidang ICT yang mempunyai kepentingan utama mengapa diwujudkan istilah ini, tetapi juga kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Penting dan perlu adanya atau wujudnya istilah dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi kerana ia dapat membezakan penggunaan sesuatu istilah itu. Contohnya audioconferencing (Bahasa Inggeris) manakala sidang audio (Bahasa Melayu), connection-oriented network (Bahasa Inggeris) manakala rangkaian berorientasikan sambungan (Bahasa Melayu) dan data scrambler (Bahasa Inggeris) manakala pengarau data (Bahasa Melayu).

Istilah Undang-undang. Istilah ini penting kepada peguam-peguam. Mudah untuk mereka memberi penerangan tentang sesuatu terma di dalam istilah-istilah mereka. Manakala orang awam pula boleh mengetahui dan memahami apa yang dinyatakan oleh peguam-peguam yang menggunakan istilah undang-undang tidak kira samaada di dalam mahkamah ataupun bilik soal-siasat. Contohnya, administrative order (Bahasa Inggeris) manakala perintah pentadbiran (Bahasa Melayu), fugitive offender (Bahasa Inggeris) manakala pesalah buruan (Bahasa Melayu). Dalam Bidang ICT atau Komputer pula, terdapat banyak penggunaan istilah-istilah Bahasa Inggeris yang kompleks dan sekiranya tidak menggunakan istilah-istilah dalam Bahasa Melayu, akan menyukarkan pengguna, apatah lagi, penggunaan teknologi dalam ICT dan komputer pada era globalisasi ini semakin meluas. Antara contoh Istilah Komputer ialah, access (Bahasa Inggeris) manakala capaian (Bahasa Melayu), Cursor (Bahasa Inggeris) manakala Kursor (Bahasa Melayu), integrated circuit (Bahasa Inggeris) manakala litar bersepadu (Bahasa Melayu).

Istilah Ekonomi atau Pentadbiran Perniagaan merupakan istilah-istilah yang dicipta bagi memudahkan bahasa bidang perniagaan mahupun bidang Pentadbiran Perniagaan. Istilah-istilah dalam bidang ini membantu memudahkan orang ramai dan peniaga agar memahami beberapa perkara atau kata yang berkaitan dengan ekonomi dan bidang Pentadbiran Perniagaan. Contohnya, balance sheet (Bahasa Inggeris) manakala kunci kira-kira (Bahasa Melayu), cash flow (Bahasa Inggeris) manakala aliran tunai (Bahasa Melayu) dan investment climate (Bahasa Inggeris) manakala iklim pelaburan (Bahasa Melayu). Bidang Perhotelan juga tidak ketinggalan dalam pembentukan istilahnya. Bidang Perhotelan mempunyai istilah-istilah yang biasanya digunakan dalam surat-surat jemputan rasmi VIP atau VVIP yang menunjukkan tempat di dalam sesebuah hotel. Antara contoh-contoh Istilah Bidang Perhotelan ialah, ballroom (Bahasa Inggeris) manakala dewan besar (Bahasa Melayu), deluxe room (Bahasa Inggeris) manakala bilik mewah (Bahasa Melayu), banquet (Bahasa Inggeris) manakala bankuet (Bahasa Melayu).

Istilah Fotografi merupakan istilah-istilah yang biasanya adalah istilah lazim dikalangan jurukamera. Dengan adanya istilah-istilah dalam fotografi, maka mudah bagi jurukamera untuk melakukan tugasan mereka. Antara contoh-contoh istilah bidang ini ialah abstract photography (Bahasa Inggeris) manakala fotografi abstrak (Bahasa Melayu), camera angle (Bahasa Inggeris) manakala sudut kamera (Bahasa Melayu) dan half-length potrait (Bahasa Inggeris) manakala potret separuh (Bahasa Melayu). Manakala dalam Istilah Matematik dan Statistik pula, istilah-istilah yang terdapat dalam bidang ini ialah istilah yang sangat berguna kepada pelajar-pelajar terutama dalam pembelajaran Matematik dan Statistik. Antara contoh-contoh istilah dalam bidang ini ialah affine geometry (Bahasa Inggeris) manakala geometri afin (Bahasa Melayu), affine (Bahasa Inggeris) manakala afin (Bahasa Melayu) dan aggregative index (Bahasa Inggeris) manakala indeks pengagregatan (Bahasa Melayu).



  1. PENUTUP



Pembentukan serta pembinaan istilah-istilah baru dalam Bahasa Melayu telah berlangsung sejak awal 1960-an lagi. Ia mencerminkan keupayaan Bahasa Melayu itu dalam mencorak budaya dan pemikiran bangsa Malaysia. Tugas dan tanggungjawab yang digalas oleh jawatankuasa istilah adalah sesuatu yang sangat mencabar. Pelbagai kritikan terutamanya dari kalangan mereka yang kurang arif mengenai perkara ini menjadi inti dalam tugasan mereka. Pembentukan Peristilahan merupakan perkara yang berkait rapat dengan proses pemodenan bahasa malah penting dalam pembinaan budaya ilmu. Oleh kerana kepentingan itulah, maka diwujudkan jawatankuasa istilah serta kerjasama serumpun antara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam atau gabungan yang dikenali sebagai MABBIM bagi merealisasikan kerja-kerja pembentukan istilah. Melalui kerjasama ini dapat kita ketahui secara tersirat bahawa bidang Pembentukan Istilah merupakan suatu perkara yang serius kerana ia merupakan antara usaha-usaha dalam memartabatkan penggunaan serta pentingnya Bahasa Melayu. Dalam memajukan bidang peristilahan di Malaysia, usaha pembangunannya adalah berterusan di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta seiring dengan kemajuan teknologi masakini. Bak kata pepatah, ibarat dayung sudah di tangan dan perahu sudah di air, segala usaha dan prasarana telah disediakan khusus untuk dimanfaatkan oleh pengguna bahasa dalam membantu usaha DBP dan MABBIM dalam pembentukan istilah.



        






Wednesday, 5 December 2012

Tugasan HBML1103 - Pengajaran Peribahasa dalam BM

  1. PENGENALAN
Secara amnya, aktiviti penulisan adalah merupakan satu proses luahan perasaan atau ekspresi kepada rakaman kejadian yang dilihat atau dialami. Penulisan merupakan cara untuk berkomunikasi melalui bentuk grafik. (Juriah Long, et.al, 1990). Penulisan bukan sahaja disampaikan melalui tulisan di atas sekeping kertas, tetapi juga boleh disampaikan melalui gambarajah dan beberapa jenis penulisan seperti cerpen, novel, karangan, sajak, puisi dan sebagainya. Penulisan bukan hanya melibatkan pergerakan jari yang memegang sebatang pen atau pensil, tetapi penulisan merangkumi beberapa aspek seperti berfikir, menaakul, menyusun dan mengolah idea sebelum ia menjadi sebuah karya. Pendek kata, proses penulisan turut sama melibatkan penggunaan minda. Bagi murid-murid sekolah rendah, bidang penulisan diperkenalkan ketika mereka berada di Tahun 4 iaitu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan atau Karangan. Ia merupakan lanjutan kepada proses membina ayat-ayat mudah dan proses menyambung ayat mudah kepada ayat yang lebih kompleks. Antara tujuan utamanya ialah agar murid-murid mampu mengolah idea atau pendapat berdasarkan situasi atau tajuk ke dalam sesuatu bentuk karangan. Secara tidak langsung, murid-murid akan dapat mengembangkan daya pemikiran mereka serta memperkayakan bahasa yang telah mereka pelajari.
Proses di dalam bidang penulisan ini membolehkan murid-murid dalam melahirkan idea. Idea yang dilahirkan itu akan dihujahkan atau dibahaskan untuk dikembangkan. Dengan satu tajuk yang mudah sahaja, murid akan dapat mengembangkan tajuk tersebut melalui idea-idea yang dilahirkan oleh murid untuk dikembangkan. Penulisan juga turut membentuk penggunaan bahasa yang gramatis dan betul berdasarkan sesuatu jenis karangan tertentu kerana dalam karangan, terdapat pelbagai jenis karangan yang menggunakan pelbagai laras bahasa yang berbeza-beza mengikut kesesuaian karangan. Disamping itu, bidang penulisan mampu meluaskan kosa kata di kalangan murid-murid. Malah, pengalaman menulis karangan mampu diadaptasi ke dalam situasi sebenar dalam kehidupan harian. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, karangan khususnya, penggunaan peribahasa adalah sangat penting untuk melengkapkan kemahiran menulis seseorang murid. Ini kerana, peribahasa yang terdiri daripada pelbagai jenis seperti simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, tamsil dan sebagainya lagi kaya dengan penggunaan laras bahasa yang penuh makna, gramatis dan keindahan bahasa yang terdapat di dalam peribahasa membantu murid-murid mengindahkan lagi karangan mereka. Justeru itu, berdasarkan peribahasa, kita mampu mengungkap falsafah yang mendalam tentang aspek-aspek ketamadunan, pemikiran, ethos dan moral bangsa melayu sejak sekian lama ( Abdul Samad Idris, 1990).


  1. DEFINISI DAN KONSEP PERIBAHASA DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU

Menurut Za’ba (1965), peribahasa adalah susunan kata yang pendek tetapi dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Penggunaan peribahasa dalam pertuturan mahupun dalam penulisan simboliknya adalah salah satu cara dalam menjaga batas-batas pertuturan agar tampak lebih sopan dan sedap didengar. Penggunaan susunan katanya yang indah kadang-kala disampaikan berdasarkan persamaan dengan alam sekitar seperti haiwan dan tumbuhan. Walaupun ringkas dan mudah ayatnya, namun maksudnya adalah mendalam dan luas serta mempunyai unsur-unsur nasihat yang berguna sebagai panduan hidup. Selain itu, penggunaan peribahasa yang sering menggunakan persamaan dengan benda hidup seperti haiwan dan tumbuhan juga bertujuan agar ia lebih menarik, sedap didengar, malah boleh dijadikan sebagai hiburan serta tidak menyakitkan hati. Dalam pengajaran Bahasa Melayu khasnya, penggunaan peribahasa sangat sesuai sebagai pendahuluan kepada sesuatu karangan. Ini kerana, peribahasa yang terdiri daripada pelbagai jenis seperti perumpamaan dan simpulan bahasa mampu menarik perhatian pembaca dan juga pemeriksa kertas peperiksaan. Malah, penggunaannya di dalam isi-isi penting sesuatu karangan juga sesuai untuk membantu memperkembangkan lagi ayat-ayat agar tampak lebih gramatis dan berkesan serta meyakinkan pembaca. Sebagai contoh, Seperti Kacang Lupakan kulit. Penggunaan kacang di dalam peribahasa tersebut dapat difahami dengan memikirkan bahawa kecantikan kacang tersebut terpelihara disebalik kulitnya yang kasar diluar serta kotor dengan tanah. Selain itu, penggunaan peribahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu turut membantu dalam membina minda murid agar lebih kreatif dalam penggunaan ayat-ayat yang lebih menarik serta mampu memperkayakan lagi kosa kata mereka.
Melalui pemerhatian individu terhadap individu yang lain juga menyebabkan terciptanya bait-bait ayat yang membentuk peribahasa. Menurut Luqman Ariffin & Abu Khair Atan (2009), peribahasa didefinisikan sebagai mencerminkan ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan realiti kehidupan dan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling. Memang tidak dinafikan lagi bahawa bahasa-bahasa yang digunakan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi adalah bahasa-bahasa yang indah, gramatis dan berada pada larasnya yang tersendiri. Berdasarkan realiti kehidupan, insan-insan terdahulu mampu membuat pemerhatian yang tajam untuk dibuat perumpamaan dengan keadaan dan situasi seseorang individu itu, tidak kira dari segi perangai dan personalitinya, mahupun dari segi cara hidupnya. Malah, apa yang dikatakan itu disamakan pula dengan alam sekeliling sama ada haiwan, mahupun tumbuhan yang menggambarkan ketajaman pemikiran orang zaman dahulu dalam bidang bahasa. Jika diteliti, ada bahasa yang digunakan agak keras dan mungkin boleh juga menyinggung perasaan, namun itulah hakikatnya apabila perangai atau personaliti seseorang itu apabila digambarkan menggunakan persamaan atau ungkapan yang menggantikan manusia kepada haiwan ataupun tumbuhan ataupun alam sekeliling sama ada benda yang hidup atau mati. Sebagai contoh, penggunaan bagai kerbau dicucuk hidung, yang menggambarkan seorang suami hanya mengikut sahaja apa yang diperkatakan oleh isterinya. Penggunaan peribahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sebenarnya mampu membantu murid-murid dalam memperkayakan kosa kata mereka serta mengindahkan lagi hasil penulisan atau karangan mereka. Apabila sesuatu peribahasa itu dikupas dengan lebih dalam, secara tidak langsung ia membantu murid-murid memperkembangkan lagi idea yang mereka ada agar lebih kreatif dalam mengolah ayat.
Manakala menurut G. Soosai (2009) pula, peribahasa adalah bahasa halus yang mengandungi kata-kata sindiran tajam yang lekas berkesan di dalam jiwa. Peribahasa sebenarnya adalah bait-bait bahasa yang mempunyai isi penting yang sangat mendalam terutamanya dalam konsep memberi pengajaran. Walaupun penggunaan ayat-ayatnya yang sinis dan tajam, terutamanya di dalam kata-kata sindiran, namun disebaliknya adalah sebuah pengajaran yang sangat berharga. Ada logiknya penggunaan kata-kata tajam dan sinis dalam sindiran tersebut kerana sesuatu yang menyakitkan hati itu akan kekal di dalam ingatan dan di dalam hati sebagai peringatan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama suatu hari nanti. Dalam pengajaran Bahasa Melayu, penggunaan ayat-ayat yang sinis dan tajam maksudnya sangat sesuai dalam latihan penulisan, terutama sekali karangan yang memerlukan fakta serta kebaikan atau keburukan sesuatu perkara. Apabila penggunaannya wujud di dalam penulisan, maka tidak hairanlah, pemeriksa pasti akan tertarik untuk membaca karangan, malah sekiranya digunakan di dalam bidang penulisan seperti esei atau jurnal, ia pasti akan mampu menarik minat pembaca.
Walaubagaimanapun, Ghazali Dunia (1969) pula menyatakan bahawa peribahasa ialah bentuk pengucapan yang banyak dijumpai dalam kesusasteraan lama yang mewakili cara berfikir bangsa kita pada zaman dahulu. Memang tidak dinafikan bahawa, penggunaan peribahasa pada zaman dahulu lebih meluas terutamanya dalam pertuturan lisan serta penulisan kreatif. Peribahasa bukan sahaja digunakan sebagai pelambangan kata semata-mata, malah lebih kepada nadi di dalam penulisan orang pada zaman dahulu. Namun, pengertian yang ditakrifkan oleh Ghazali Dunia ini telah disimpulkan oleh Mohd. Adnan Mohd. Ariffin sebagai fakta yang seharusnya tidak berlebihan sehinggakan ada yang mengenggap bahawa peribahassa itu milik sastera lama dan masyarakat lampau. Dengan kenyataan tersebut, maka generasi kini pasti memandang remeh peribahasa. Peribahasa sebenarnya adalah milik generasi sejak zaman berzaman yang diperturunkan dari satu generasi kepada generasi yang berikutnya. Penggunaan peribahasa di dalam bidang penulisan adalah merupakan elemen penting dalam menegaskan ayat serta sebagai kekuatan kepada dasar penulisan malahan percakapan. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, guru sering menggunakan pelbagai kaedah, antaranya komunikasi dua hala. Penggunaan peribahasa di dalam ayat pertuturan mampu membantu murid memahami maksud percakapan yang disampaikan dengan mudah serta menghasilkan ayat yang gramatis dan menarik.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) pula menakrifkan peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian tertentu. Setiap peribahasa yang digubah adalah mengikut susunan yang tetap serta indah dan mudah difahami kerana ia dicipta dengan perkaitan terhadap benda hidup yang terdapat di sekeliling kita. Sebagai contoh, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Selain penggunaan ayat yang menarik, peribahasa juga mengandungi makna tertentu yang tersirat, berkemungkinan sebagai sindiran mahupun sebagai nasihat, bergantung kepada penggunaannya di dalam ayat dan situasi penggunaannya ketika dituturkan. Maka tidak hairanlah bahawa penggunaan peribahasa dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu akan membantu murid menghasilkan ayat yang menarik untuk dibaca.


  1. CIRI-CIRI KEPENTINGAN PENGAJARAN PERIBAHASA BAHASA MELAYU

Penerapan penggunaan peribahasa di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sangat penting, sama seperti pentingnya pengajaran peribahasa itu sendiri di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh kerana itulah, di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu penggunaan peribahasa tidak dilupakan, malah mempunyai skop tertentu di dalam topik-topik yang diajar, contohnya membina ayat berdasarkan peribahasa yang diberi ataupun penggunaan peribahasa di dalam bidang penulisan seperti karangan dan nilai-nilai murni seperti yang terdapat di dalam format kertas soalan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Di antara ciri-ciri kepentingan pengajaran peribahasa bahasa melayu ialah, membantu murid menghasilkan karya penulisan yang baik seperti dalam membina karangan. Guru perlu mengajar murid bagaimana membina sebuah karangan yang baik. Dengan bantuan peribahasa, sesuatu karangan bukan sahaja mampu menarik minat pembaca atau pemeriksa kertas jawapan, tetapi juga mampu menegaskan maksud yang ingin disampaikan di dalam karangan. Oleh kerana peribahasa itu sendiri mempunyai susunan ayat yang menarik tetapi juga mempunyai makna yang mendalam, maka karangan yang akan dihasilkan pasti menjadi bertambah menarik. Sebagai contoh, murid akan menggunakan peribahasa pada permulaan atau pendahuluan penulisannya dengan mengaitkan tajuk yang diberi. Selain itu, murid boleh juga menggunakan peribahasa sebagai penutup kepada karangannya kerana peribahasa itu sendiri mempunyai maksud tersirat dan mendalam untuk membantu murid menegaskan lagi apa yang ingin disampaikannya di dalam karangannya itu. Malah, penggunaan peribahasa juga dapat membantu murid menjelaskan sesuatu peristiwa itu dengan mudah berdasarkan kesesuaian tajuk karangan.
Disamping itu, pengajaran peribahasa bahasa melayu juga dapat membantu murid-murid dalam membentuk jati diri bangsa yang memiliki serta mengamalkan nilai-nilai murni. Berasaskan peribahasa, murid dapat menjaga tingkah laku serta disiplin yang baik ketika berada di sekolah dan di luar sekolah. Namun, guru perlu memulakan langkah tersebut, dengan mengajar kepada murid-murid tentang penggunaan peribahasa di dalam mata pelajaran bahasa melayu khasnya, agar murid dapat menerapkan nilai-nilai murni yang terdapat di dalam peribahasa ke dalam kehidupan harian mereka. Contohnya, penggunaan peribahasa bagai aur dengan tebing dan bagai isi dengan kuku. Peribahasa tersebut bermaksud permuafakatan diantara satu sama lain adalah penting dalam keharmonian hidup bermasyarakat serta berkawan. Nilai-nilai murni yang terbentuk melalui peribahasa tersebut juga perlu diterapkan oleh guru ketika menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas agar murid-murid dapat mengamalkannya ketika berada di luar sekolah.
Pengajaran peribahasa bahasa melayu juga penting terutamanya dalam membantu memperkayakan lagi kosa kata murid-murid. Kosa kata bukan sahaja penting dalam pertuturan lisan, malah penting dalam penulisan dan tatabahasa. Oleh kerana peribahasa itu terdiri daripada pelbagai jenis, maka murid-murid akan dapat memperkaya atau menambah aset mereka dalam kosa kata. Malah, dalam Kamus Dewan sahaja sudah terdapat lebih kurang 270 ribu patah perkataan yang membentuk himpunan kosa kata atau perbendaharaan kata bahasa melayu. Sebagai contoh, aktiviti seperti membina ayat berdasarkan peribahasa yang diberi seperti dengar guruh dilangit, air ditempayan dicurahkan, secra tidak langsung akan menambah koleksi kosa kata murid-murid yang sedia ada.
Selain itu, pengajaran peribahasa bahasa melayu juga penting dalam memahirkan serta menjadikan murid-murid lebih cekap dalam penggunaan ayat-ayat bahasa melayu yang betul serta gramatis. Oleh kerana peribahasa itu sendiri bermaksud rangkai kata atau ayat yang tersusun, maka melalui pengajaran peribahasa murid dapat melatih diri mereka menggunakan rangkai kata atau ayat yang betul, terutamanya dalam penulisan. Ayat yang dibina bukan sahaja tersusun, malah gramatis kerana berdasarkan peribahasa. Contohnya, mencari peribahasa yang sesuai dengan ayat yang diberikan. Sudah tentu murid perlu menggunakan kebolehan mereka dalam bahasa untuk menggambarkan maksud ayat yang sesuai dengan peribahasa yang ingin diletakkan sebagai jawapan.


  1. STRATEGI DAN TEKNIK MENGAJAR BAHASA MELAYU MENGGUNAKAN PERIBAHASA

Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, guru perlu mempunyai perancangan sebelum memulakan sesi tersebut. Guru perlu bijak menggunakan strategi dan teknik yang dirasakan sesuai dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, terutamanya dalam mengajar Bahasa Melayu menggunakan peribahasa. Penggunaan strategi dan teknik yang sesuai serta pelbagai adalah penting dalam menarik perhatian murid-murid agar mereka tidak merasa bosan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, selain menarik minat mereka untuk terus kekal fokus dalam aktiviti yang dijalankan oleh guru kelak.

    1. Strategi pengajaran dan pembelajaran
Terdapat pelbagai strategi dalam pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru dalam mengajar menggunakan peribahasa. Antaranya ialah strategi Penyerapan. Dalam strategi ini, guru akan menyerapkan segala unsur-unsur ilmu dan nilai-nilai murni yang sesuai bagi memudahkan murid memahami konsep peribahasa itu. Penyerapan yang mengandungi mata pelajaran lain juga penting agar peribahasa itu mempunyai kaitan dengan kehidupan sebenar dikalangan murid-murid. Selain mempunyai unsur-unsur ilmu yang terkandung ketika pengajaran peribahasa dilakukan oleh guru, penerapan terhadap nilai-nilai murni juga dapat diserapkan oleh guru. Sebagai contoh, guru akan menerapkan nilai-nilai murni kepada murid berdasarkan maksud peribahasa yang diberikan seperti, masa itu emas. Malah, guru juga dapat menerapkan bidang ilmu lainnya sepert matematik dan sains. Contohnya, guru memberikan satu contoh peribahasa dan mengaitkan peribahasa tersebut dengan mata pelajaran seperti matematik atau sains.
Selain itu, Strategi Pengayaan juga penting dalam pengajaran peribahasa bahasa melayu. Dengan penggunaan strategi ini, maka murid dapat menambah pengetahuan mereka mengenai peribahasa selain dapat mengaplikasikan peribahasa dalam banyak perkara. Situasi murid yang berbeza-beza aras di dalam kelas merupakan konsep paling utama, mengapa strategi pengayaan itu penting. Sekiranya guru memberikan latihan kepada murid-murid, tentunya murid-murid yang mempunyai aras tinggi dapat menyiapkan kerja terlebih dahulu. Maka, strategi pengayaan akan memainkan peranan dalam hal tersebut. Guru perlu menggunakan bahan-bahan berbeza untuk membantu murid dalam strategi pengayaan seperti bahan bacaan tambahan dan bahan-bahan aktiviti yang boleh membantu penguasaan mereka dalam peribahasa.
Strategi Penggabungjalinan pula turut membantu dalam penguasaan peribahasa dikalangan murid-murid. Melalui strategi ini, murid akan memperoleh kemahiran berganda secara serentak apabila beberapa kemahiran digabungjalinkan seperti kemahiran berbahasa akan digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran lain yang sesuai. Strategi ini turut dapat membantu agar sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tidak bertukar membosankan. Contohnya dalam Kemahiran Berbahasa, murid diminta membacakan ayat yang telah dibina berdasarkan peribahasa yang diberi, kemudian murid diminta menyenaraikan pula nilai-nilai murni daripada peribahasa tersebut secara lisan, iaitu Kemahiran Mencari Maklumat yang merupakan kemahiran di dalam mata pelajaran Kajian Tempatan.
Selain itu, Strategi Penilaian juga sangat penting di dalam pengajaran peribahasa. Strategi ini perlu dilakukan secara berterusan sama ada sebelum, semasa ataupun selepas sesi pengajaran dan pembelajaran. Strategi ini juga dapat membantu guru dalam menentukan sama ada objektif pembelajaran guru dapat dicapai atau sebaliknya disamping dapat mempastikan tindakan susulan yang perlu dilakukan oleh guru. Maka, guru juga dapat mengetahui kelemahan murid-muridnya. Contohnya, guru perlu menggunakan peribahasa sebagai soalan sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan bertanya apakah peribahasa yang mereka pernah dengar dan ketahui, semasa sesi pengajaran dan pembelajaran pula, guru boleh bertanya soalan berkaitan peribahasa seperti maksudnya, berapakah peribahasa yang telah dipelajari dan di akhir sesi pengajaran dan pembelajaran guru juga boleh bertanya soalan yang sama, disamping menyediakan lembaran kerja berkaitan peribahasa sebagai pengukuhan dan sebagai penilaian pencapaian objektif pengajaran oleh guru.

    1. Teknik pengajaran dan pembelajaran

Teknik pengajaran dan pembelajaran di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah pelbagai serta menarik, terpulang pada kebijaksanaan guru yang mengajar untuk menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran itu lebih menarik dan berkesan. Antaranya ialah Teknik Bercerita. Teknik ini merupakan pendekatan yang sesuai dalam membina kecekapan berbahasa murid-murid disamping dapat menarik minat dan perhatian pelajar. Malah, melalui pendekatan ini juga, guru dapat membantu meningkatkan penguasaan murid-murid terhadap kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis di kalangan murid-murid. Guru hanya perlu menggunakan peribahasa yang sesuai sebagai tajuk, kemudian dengan menggunakan nama-nama murid yang terdapat di dalam kelas sebagai watak, selain menerapkan nilai-nilai murni di dalam cerita yang ingin disampaikan. Guru boleh juga menggunakan gambar atau kad-kad ayat sebagai Bahan Bantu Mengajar (BBM) selain objek-objek atau benda maujud. Apabila selesai, guru boleh meminta murid menulis beberapa pengajaran dan nilai-nilai murni yang diperoleh daripada cerita guru dan murid diminta membacakannya.
Teknik Drama juga dapat menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran peribahasa itu lebih menarik dikalangan murid-murid serta tidak membosankan. Pendekatan ini merupakan ragam pembelajaran sebagai Alat Bantu pengajaran dan pembelajaran. Melalui teknik ini, murid-murid terlebih dahulu dibahagi kepada kumpulan yang terdiri daripada beberapa orang murid. Mereka akan diberikan satu tajuk yang diambil daripada peribahasa, kemudian mencari maksud peribahasa tersebut, sebelum membina dialog kemudian melakonkan dialog yang dibina berdasarkan maksud peribahasa yang telah diberi kepada mereka.
Selain itu, salah satu daripada teknik pengajaran dan pembelajaran yang sering digunapakai ialah, Teknik Perbincangan. Dalam mana-mana sesi pengajaran dan pembelajaran, pendekatan ini seringkali menjadi pilihan guru-guru kerana ia melibatkan semua murid yang terdapat di dalam kelas dengan pembahagian tugas yang khusus setiap ahli. Pendekatan ini akan dapat memberi peluang dan ruang kepada murid-murid mengeluarkan idea-idea mereka untuk dikongsi, malah dapat mempertajamkan minda serta melatih mereka bercakap dan mengeluarkan pendapat dengan bernas. Guru perlu membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan kecil untuk membincangkan tajuk peribahasa yang diberikan kepada mereka, kemudian mereka diminta berbincang memberikan maksud peribahasa yang diberi, membina ayat daripada peribahasa tersebut serta menyenaraikan nilai-nilai murni yang sesuai kemudian membentangkan hasil perbincangan mereka di depan kumpulan yang lain.
Disamping itu, Teknik Soal jawab juga boleh digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran peribahasa. Teknik ini juga sama seperti Teknik Perbincangan, iaitu merupakan pendekatan yang sangat popular dan sangat banyak digunapakai oleh guru-guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Teknik ini boleh dikategorikan sebagai lagenda atau senior diantara teknik-teknik yang lain. Walaupun teknik ini dianggap yang paling mudah, namun teknik ini adalah teknik yang berupaya mewujudkan interaksi dua hala antara murid dan guru dengan berkesan. Pendekatan ini bertujuan dalam mengesan kemahiran berbahasa di kalangan murid-murid selain merangsang murid-murid berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis. Guru akan bertanya kepada murid, dengan menyebut nama murid-murid agar tidak timbul situasi tiada murid yang menjawab soalan yang dikemukakan. Soalan yang dilontarkan oleh guru pula mestilah berkaitan dengan isi pelajaran yang diajar, contohnya berkaitan peribahasa dan murid akan memberi tindak balas yang sewajarnya.


  1. RUMUSAN

Peribahasa bahasa melayu merupakan salah satu elemen penting dalam bidang penulisan, sama ada di sekolah rendah, menengah, media-media massa ataupun media cetak. Penggunaan peribahasa adalah besar pengaruhnya sebagai perisa di dalam konteks penulisan dan pertuturan. Pengajaran peribahasa bahasa melayu dikalangan murid-murid adalah penting dalam memelihara kepentingannya sebagai elemen bahasa yang seringkali digunapakai dalam pertuturan dan penulisan, disamping sebagai alat dalam memberikan pengajaran dan nasihat. Pengajaran peribahasa bahasa melayu adalah penting terutamanya dalam mata pelajaran bahasa melayu kerana ia merupakan alat yang dapat membantu murid-murid dalam bidang penulisan seperti karangan khasnya. Malah, penggunaannya juga dapat membantu murid-murid mempertingkatkan penguasaan kemahiran berbahasa di dalam bahasa melayu. Elemen nilai murni dan pengajaran berguna juga dapat diterapkan melalui peribahasa dan mendidik murid-murid mengamalkan kehidupan yang berlandaskan sesuatu yang baik. Pengajaran peribahasa dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu berdasarkan strategi-strategi dan teknik-teknik tertentu pasti akan dapat membantu guru-guru dalam menyampaikan peribahasa sebagai salah satu cabang kemahiran berbahasa yang perlu dikuasai. Bidang penulisan seperti karangan di kalangan murid-murid sekolah rendah pula memerlukan huraian fakta-fakta yang perlu ditegaskan dan peribahasa adalah salah satu daripada elemen yang boleh digunakan dalam menyokong fakta atau memperindahkan lagi bahasa atau ayat yang digunakan. Apatah lagi dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu itu sendiri menegaskan bahawa pengajaran peribahasa perlu diajar dan seterusnya dikuasai oleh murid-murid.