Myself

Myself

Wednesday, 5 December 2012

Tugasan HBML1103 - Pengajaran Peribahasa dalam BM

  1. PENGENALAN
Secara amnya, aktiviti penulisan adalah merupakan satu proses luahan perasaan atau ekspresi kepada rakaman kejadian yang dilihat atau dialami. Penulisan merupakan cara untuk berkomunikasi melalui bentuk grafik. (Juriah Long, et.al, 1990). Penulisan bukan sahaja disampaikan melalui tulisan di atas sekeping kertas, tetapi juga boleh disampaikan melalui gambarajah dan beberapa jenis penulisan seperti cerpen, novel, karangan, sajak, puisi dan sebagainya. Penulisan bukan hanya melibatkan pergerakan jari yang memegang sebatang pen atau pensil, tetapi penulisan merangkumi beberapa aspek seperti berfikir, menaakul, menyusun dan mengolah idea sebelum ia menjadi sebuah karya. Pendek kata, proses penulisan turut sama melibatkan penggunaan minda. Bagi murid-murid sekolah rendah, bidang penulisan diperkenalkan ketika mereka berada di Tahun 4 iaitu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan atau Karangan. Ia merupakan lanjutan kepada proses membina ayat-ayat mudah dan proses menyambung ayat mudah kepada ayat yang lebih kompleks. Antara tujuan utamanya ialah agar murid-murid mampu mengolah idea atau pendapat berdasarkan situasi atau tajuk ke dalam sesuatu bentuk karangan. Secara tidak langsung, murid-murid akan dapat mengembangkan daya pemikiran mereka serta memperkayakan bahasa yang telah mereka pelajari.
Proses di dalam bidang penulisan ini membolehkan murid-murid dalam melahirkan idea. Idea yang dilahirkan itu akan dihujahkan atau dibahaskan untuk dikembangkan. Dengan satu tajuk yang mudah sahaja, murid akan dapat mengembangkan tajuk tersebut melalui idea-idea yang dilahirkan oleh murid untuk dikembangkan. Penulisan juga turut membentuk penggunaan bahasa yang gramatis dan betul berdasarkan sesuatu jenis karangan tertentu kerana dalam karangan, terdapat pelbagai jenis karangan yang menggunakan pelbagai laras bahasa yang berbeza-beza mengikut kesesuaian karangan. Disamping itu, bidang penulisan mampu meluaskan kosa kata di kalangan murid-murid. Malah, pengalaman menulis karangan mampu diadaptasi ke dalam situasi sebenar dalam kehidupan harian. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, karangan khususnya, penggunaan peribahasa adalah sangat penting untuk melengkapkan kemahiran menulis seseorang murid. Ini kerana, peribahasa yang terdiri daripada pelbagai jenis seperti simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, tamsil dan sebagainya lagi kaya dengan penggunaan laras bahasa yang penuh makna, gramatis dan keindahan bahasa yang terdapat di dalam peribahasa membantu murid-murid mengindahkan lagi karangan mereka. Justeru itu, berdasarkan peribahasa, kita mampu mengungkap falsafah yang mendalam tentang aspek-aspek ketamadunan, pemikiran, ethos dan moral bangsa melayu sejak sekian lama ( Abdul Samad Idris, 1990).


  1. DEFINISI DAN KONSEP PERIBAHASA DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU

Menurut Za’ba (1965), peribahasa adalah susunan kata yang pendek tetapi dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Penggunaan peribahasa dalam pertuturan mahupun dalam penulisan simboliknya adalah salah satu cara dalam menjaga batas-batas pertuturan agar tampak lebih sopan dan sedap didengar. Penggunaan susunan katanya yang indah kadang-kala disampaikan berdasarkan persamaan dengan alam sekitar seperti haiwan dan tumbuhan. Walaupun ringkas dan mudah ayatnya, namun maksudnya adalah mendalam dan luas serta mempunyai unsur-unsur nasihat yang berguna sebagai panduan hidup. Selain itu, penggunaan peribahasa yang sering menggunakan persamaan dengan benda hidup seperti haiwan dan tumbuhan juga bertujuan agar ia lebih menarik, sedap didengar, malah boleh dijadikan sebagai hiburan serta tidak menyakitkan hati. Dalam pengajaran Bahasa Melayu khasnya, penggunaan peribahasa sangat sesuai sebagai pendahuluan kepada sesuatu karangan. Ini kerana, peribahasa yang terdiri daripada pelbagai jenis seperti perumpamaan dan simpulan bahasa mampu menarik perhatian pembaca dan juga pemeriksa kertas peperiksaan. Malah, penggunaannya di dalam isi-isi penting sesuatu karangan juga sesuai untuk membantu memperkembangkan lagi ayat-ayat agar tampak lebih gramatis dan berkesan serta meyakinkan pembaca. Sebagai contoh, Seperti Kacang Lupakan kulit. Penggunaan kacang di dalam peribahasa tersebut dapat difahami dengan memikirkan bahawa kecantikan kacang tersebut terpelihara disebalik kulitnya yang kasar diluar serta kotor dengan tanah. Selain itu, penggunaan peribahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu turut membantu dalam membina minda murid agar lebih kreatif dalam penggunaan ayat-ayat yang lebih menarik serta mampu memperkayakan lagi kosa kata mereka.
Melalui pemerhatian individu terhadap individu yang lain juga menyebabkan terciptanya bait-bait ayat yang membentuk peribahasa. Menurut Luqman Ariffin & Abu Khair Atan (2009), peribahasa didefinisikan sebagai mencerminkan ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan realiti kehidupan dan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling. Memang tidak dinafikan lagi bahawa bahasa-bahasa yang digunakan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi adalah bahasa-bahasa yang indah, gramatis dan berada pada larasnya yang tersendiri. Berdasarkan realiti kehidupan, insan-insan terdahulu mampu membuat pemerhatian yang tajam untuk dibuat perumpamaan dengan keadaan dan situasi seseorang individu itu, tidak kira dari segi perangai dan personalitinya, mahupun dari segi cara hidupnya. Malah, apa yang dikatakan itu disamakan pula dengan alam sekeliling sama ada haiwan, mahupun tumbuhan yang menggambarkan ketajaman pemikiran orang zaman dahulu dalam bidang bahasa. Jika diteliti, ada bahasa yang digunakan agak keras dan mungkin boleh juga menyinggung perasaan, namun itulah hakikatnya apabila perangai atau personaliti seseorang itu apabila digambarkan menggunakan persamaan atau ungkapan yang menggantikan manusia kepada haiwan ataupun tumbuhan ataupun alam sekeliling sama ada benda yang hidup atau mati. Sebagai contoh, penggunaan bagai kerbau dicucuk hidung, yang menggambarkan seorang suami hanya mengikut sahaja apa yang diperkatakan oleh isterinya. Penggunaan peribahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sebenarnya mampu membantu murid-murid dalam memperkayakan kosa kata mereka serta mengindahkan lagi hasil penulisan atau karangan mereka. Apabila sesuatu peribahasa itu dikupas dengan lebih dalam, secara tidak langsung ia membantu murid-murid memperkembangkan lagi idea yang mereka ada agar lebih kreatif dalam mengolah ayat.
Manakala menurut G. Soosai (2009) pula, peribahasa adalah bahasa halus yang mengandungi kata-kata sindiran tajam yang lekas berkesan di dalam jiwa. Peribahasa sebenarnya adalah bait-bait bahasa yang mempunyai isi penting yang sangat mendalam terutamanya dalam konsep memberi pengajaran. Walaupun penggunaan ayat-ayatnya yang sinis dan tajam, terutamanya di dalam kata-kata sindiran, namun disebaliknya adalah sebuah pengajaran yang sangat berharga. Ada logiknya penggunaan kata-kata tajam dan sinis dalam sindiran tersebut kerana sesuatu yang menyakitkan hati itu akan kekal di dalam ingatan dan di dalam hati sebagai peringatan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama suatu hari nanti. Dalam pengajaran Bahasa Melayu, penggunaan ayat-ayat yang sinis dan tajam maksudnya sangat sesuai dalam latihan penulisan, terutama sekali karangan yang memerlukan fakta serta kebaikan atau keburukan sesuatu perkara. Apabila penggunaannya wujud di dalam penulisan, maka tidak hairanlah, pemeriksa pasti akan tertarik untuk membaca karangan, malah sekiranya digunakan di dalam bidang penulisan seperti esei atau jurnal, ia pasti akan mampu menarik minat pembaca.
Walaubagaimanapun, Ghazali Dunia (1969) pula menyatakan bahawa peribahasa ialah bentuk pengucapan yang banyak dijumpai dalam kesusasteraan lama yang mewakili cara berfikir bangsa kita pada zaman dahulu. Memang tidak dinafikan bahawa, penggunaan peribahasa pada zaman dahulu lebih meluas terutamanya dalam pertuturan lisan serta penulisan kreatif. Peribahasa bukan sahaja digunakan sebagai pelambangan kata semata-mata, malah lebih kepada nadi di dalam penulisan orang pada zaman dahulu. Namun, pengertian yang ditakrifkan oleh Ghazali Dunia ini telah disimpulkan oleh Mohd. Adnan Mohd. Ariffin sebagai fakta yang seharusnya tidak berlebihan sehinggakan ada yang mengenggap bahawa peribahassa itu milik sastera lama dan masyarakat lampau. Dengan kenyataan tersebut, maka generasi kini pasti memandang remeh peribahasa. Peribahasa sebenarnya adalah milik generasi sejak zaman berzaman yang diperturunkan dari satu generasi kepada generasi yang berikutnya. Penggunaan peribahasa di dalam bidang penulisan adalah merupakan elemen penting dalam menegaskan ayat serta sebagai kekuatan kepada dasar penulisan malahan percakapan. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, guru sering menggunakan pelbagai kaedah, antaranya komunikasi dua hala. Penggunaan peribahasa di dalam ayat pertuturan mampu membantu murid memahami maksud percakapan yang disampaikan dengan mudah serta menghasilkan ayat yang gramatis dan menarik.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) pula menakrifkan peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian tertentu. Setiap peribahasa yang digubah adalah mengikut susunan yang tetap serta indah dan mudah difahami kerana ia dicipta dengan perkaitan terhadap benda hidup yang terdapat di sekeliling kita. Sebagai contoh, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Selain penggunaan ayat yang menarik, peribahasa juga mengandungi makna tertentu yang tersirat, berkemungkinan sebagai sindiran mahupun sebagai nasihat, bergantung kepada penggunaannya di dalam ayat dan situasi penggunaannya ketika dituturkan. Maka tidak hairanlah bahawa penggunaan peribahasa dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu akan membantu murid menghasilkan ayat yang menarik untuk dibaca.


  1. CIRI-CIRI KEPENTINGAN PENGAJARAN PERIBAHASA BAHASA MELAYU

Penerapan penggunaan peribahasa di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sangat penting, sama seperti pentingnya pengajaran peribahasa itu sendiri di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh kerana itulah, di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu penggunaan peribahasa tidak dilupakan, malah mempunyai skop tertentu di dalam topik-topik yang diajar, contohnya membina ayat berdasarkan peribahasa yang diberi ataupun penggunaan peribahasa di dalam bidang penulisan seperti karangan dan nilai-nilai murni seperti yang terdapat di dalam format kertas soalan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Di antara ciri-ciri kepentingan pengajaran peribahasa bahasa melayu ialah, membantu murid menghasilkan karya penulisan yang baik seperti dalam membina karangan. Guru perlu mengajar murid bagaimana membina sebuah karangan yang baik. Dengan bantuan peribahasa, sesuatu karangan bukan sahaja mampu menarik minat pembaca atau pemeriksa kertas jawapan, tetapi juga mampu menegaskan maksud yang ingin disampaikan di dalam karangan. Oleh kerana peribahasa itu sendiri mempunyai susunan ayat yang menarik tetapi juga mempunyai makna yang mendalam, maka karangan yang akan dihasilkan pasti menjadi bertambah menarik. Sebagai contoh, murid akan menggunakan peribahasa pada permulaan atau pendahuluan penulisannya dengan mengaitkan tajuk yang diberi. Selain itu, murid boleh juga menggunakan peribahasa sebagai penutup kepada karangannya kerana peribahasa itu sendiri mempunyai maksud tersirat dan mendalam untuk membantu murid menegaskan lagi apa yang ingin disampaikannya di dalam karangannya itu. Malah, penggunaan peribahasa juga dapat membantu murid menjelaskan sesuatu peristiwa itu dengan mudah berdasarkan kesesuaian tajuk karangan.
Disamping itu, pengajaran peribahasa bahasa melayu juga dapat membantu murid-murid dalam membentuk jati diri bangsa yang memiliki serta mengamalkan nilai-nilai murni. Berasaskan peribahasa, murid dapat menjaga tingkah laku serta disiplin yang baik ketika berada di sekolah dan di luar sekolah. Namun, guru perlu memulakan langkah tersebut, dengan mengajar kepada murid-murid tentang penggunaan peribahasa di dalam mata pelajaran bahasa melayu khasnya, agar murid dapat menerapkan nilai-nilai murni yang terdapat di dalam peribahasa ke dalam kehidupan harian mereka. Contohnya, penggunaan peribahasa bagai aur dengan tebing dan bagai isi dengan kuku. Peribahasa tersebut bermaksud permuafakatan diantara satu sama lain adalah penting dalam keharmonian hidup bermasyarakat serta berkawan. Nilai-nilai murni yang terbentuk melalui peribahasa tersebut juga perlu diterapkan oleh guru ketika menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas agar murid-murid dapat mengamalkannya ketika berada di luar sekolah.
Pengajaran peribahasa bahasa melayu juga penting terutamanya dalam membantu memperkayakan lagi kosa kata murid-murid. Kosa kata bukan sahaja penting dalam pertuturan lisan, malah penting dalam penulisan dan tatabahasa. Oleh kerana peribahasa itu terdiri daripada pelbagai jenis, maka murid-murid akan dapat memperkaya atau menambah aset mereka dalam kosa kata. Malah, dalam Kamus Dewan sahaja sudah terdapat lebih kurang 270 ribu patah perkataan yang membentuk himpunan kosa kata atau perbendaharaan kata bahasa melayu. Sebagai contoh, aktiviti seperti membina ayat berdasarkan peribahasa yang diberi seperti dengar guruh dilangit, air ditempayan dicurahkan, secra tidak langsung akan menambah koleksi kosa kata murid-murid yang sedia ada.
Selain itu, pengajaran peribahasa bahasa melayu juga penting dalam memahirkan serta menjadikan murid-murid lebih cekap dalam penggunaan ayat-ayat bahasa melayu yang betul serta gramatis. Oleh kerana peribahasa itu sendiri bermaksud rangkai kata atau ayat yang tersusun, maka melalui pengajaran peribahasa murid dapat melatih diri mereka menggunakan rangkai kata atau ayat yang betul, terutamanya dalam penulisan. Ayat yang dibina bukan sahaja tersusun, malah gramatis kerana berdasarkan peribahasa. Contohnya, mencari peribahasa yang sesuai dengan ayat yang diberikan. Sudah tentu murid perlu menggunakan kebolehan mereka dalam bahasa untuk menggambarkan maksud ayat yang sesuai dengan peribahasa yang ingin diletakkan sebagai jawapan.


  1. STRATEGI DAN TEKNIK MENGAJAR BAHASA MELAYU MENGGUNAKAN PERIBAHASA

Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, guru perlu mempunyai perancangan sebelum memulakan sesi tersebut. Guru perlu bijak menggunakan strategi dan teknik yang dirasakan sesuai dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, terutamanya dalam mengajar Bahasa Melayu menggunakan peribahasa. Penggunaan strategi dan teknik yang sesuai serta pelbagai adalah penting dalam menarik perhatian murid-murid agar mereka tidak merasa bosan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, selain menarik minat mereka untuk terus kekal fokus dalam aktiviti yang dijalankan oleh guru kelak.

    1. Strategi pengajaran dan pembelajaran
Terdapat pelbagai strategi dalam pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru dalam mengajar menggunakan peribahasa. Antaranya ialah strategi Penyerapan. Dalam strategi ini, guru akan menyerapkan segala unsur-unsur ilmu dan nilai-nilai murni yang sesuai bagi memudahkan murid memahami konsep peribahasa itu. Penyerapan yang mengandungi mata pelajaran lain juga penting agar peribahasa itu mempunyai kaitan dengan kehidupan sebenar dikalangan murid-murid. Selain mempunyai unsur-unsur ilmu yang terkandung ketika pengajaran peribahasa dilakukan oleh guru, penerapan terhadap nilai-nilai murni juga dapat diserapkan oleh guru. Sebagai contoh, guru akan menerapkan nilai-nilai murni kepada murid berdasarkan maksud peribahasa yang diberikan seperti, masa itu emas. Malah, guru juga dapat menerapkan bidang ilmu lainnya sepert matematik dan sains. Contohnya, guru memberikan satu contoh peribahasa dan mengaitkan peribahasa tersebut dengan mata pelajaran seperti matematik atau sains.
Selain itu, Strategi Pengayaan juga penting dalam pengajaran peribahasa bahasa melayu. Dengan penggunaan strategi ini, maka murid dapat menambah pengetahuan mereka mengenai peribahasa selain dapat mengaplikasikan peribahasa dalam banyak perkara. Situasi murid yang berbeza-beza aras di dalam kelas merupakan konsep paling utama, mengapa strategi pengayaan itu penting. Sekiranya guru memberikan latihan kepada murid-murid, tentunya murid-murid yang mempunyai aras tinggi dapat menyiapkan kerja terlebih dahulu. Maka, strategi pengayaan akan memainkan peranan dalam hal tersebut. Guru perlu menggunakan bahan-bahan berbeza untuk membantu murid dalam strategi pengayaan seperti bahan bacaan tambahan dan bahan-bahan aktiviti yang boleh membantu penguasaan mereka dalam peribahasa.
Strategi Penggabungjalinan pula turut membantu dalam penguasaan peribahasa dikalangan murid-murid. Melalui strategi ini, murid akan memperoleh kemahiran berganda secara serentak apabila beberapa kemahiran digabungjalinkan seperti kemahiran berbahasa akan digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran lain yang sesuai. Strategi ini turut dapat membantu agar sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tidak bertukar membosankan. Contohnya dalam Kemahiran Berbahasa, murid diminta membacakan ayat yang telah dibina berdasarkan peribahasa yang diberi, kemudian murid diminta menyenaraikan pula nilai-nilai murni daripada peribahasa tersebut secara lisan, iaitu Kemahiran Mencari Maklumat yang merupakan kemahiran di dalam mata pelajaran Kajian Tempatan.
Selain itu, Strategi Penilaian juga sangat penting di dalam pengajaran peribahasa. Strategi ini perlu dilakukan secara berterusan sama ada sebelum, semasa ataupun selepas sesi pengajaran dan pembelajaran. Strategi ini juga dapat membantu guru dalam menentukan sama ada objektif pembelajaran guru dapat dicapai atau sebaliknya disamping dapat mempastikan tindakan susulan yang perlu dilakukan oleh guru. Maka, guru juga dapat mengetahui kelemahan murid-muridnya. Contohnya, guru perlu menggunakan peribahasa sebagai soalan sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan bertanya apakah peribahasa yang mereka pernah dengar dan ketahui, semasa sesi pengajaran dan pembelajaran pula, guru boleh bertanya soalan berkaitan peribahasa seperti maksudnya, berapakah peribahasa yang telah dipelajari dan di akhir sesi pengajaran dan pembelajaran guru juga boleh bertanya soalan yang sama, disamping menyediakan lembaran kerja berkaitan peribahasa sebagai pengukuhan dan sebagai penilaian pencapaian objektif pengajaran oleh guru.

    1. Teknik pengajaran dan pembelajaran

Teknik pengajaran dan pembelajaran di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah pelbagai serta menarik, terpulang pada kebijaksanaan guru yang mengajar untuk menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran itu lebih menarik dan berkesan. Antaranya ialah Teknik Bercerita. Teknik ini merupakan pendekatan yang sesuai dalam membina kecekapan berbahasa murid-murid disamping dapat menarik minat dan perhatian pelajar. Malah, melalui pendekatan ini juga, guru dapat membantu meningkatkan penguasaan murid-murid terhadap kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis di kalangan murid-murid. Guru hanya perlu menggunakan peribahasa yang sesuai sebagai tajuk, kemudian dengan menggunakan nama-nama murid yang terdapat di dalam kelas sebagai watak, selain menerapkan nilai-nilai murni di dalam cerita yang ingin disampaikan. Guru boleh juga menggunakan gambar atau kad-kad ayat sebagai Bahan Bantu Mengajar (BBM) selain objek-objek atau benda maujud. Apabila selesai, guru boleh meminta murid menulis beberapa pengajaran dan nilai-nilai murni yang diperoleh daripada cerita guru dan murid diminta membacakannya.
Teknik Drama juga dapat menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran peribahasa itu lebih menarik dikalangan murid-murid serta tidak membosankan. Pendekatan ini merupakan ragam pembelajaran sebagai Alat Bantu pengajaran dan pembelajaran. Melalui teknik ini, murid-murid terlebih dahulu dibahagi kepada kumpulan yang terdiri daripada beberapa orang murid. Mereka akan diberikan satu tajuk yang diambil daripada peribahasa, kemudian mencari maksud peribahasa tersebut, sebelum membina dialog kemudian melakonkan dialog yang dibina berdasarkan maksud peribahasa yang telah diberi kepada mereka.
Selain itu, salah satu daripada teknik pengajaran dan pembelajaran yang sering digunapakai ialah, Teknik Perbincangan. Dalam mana-mana sesi pengajaran dan pembelajaran, pendekatan ini seringkali menjadi pilihan guru-guru kerana ia melibatkan semua murid yang terdapat di dalam kelas dengan pembahagian tugas yang khusus setiap ahli. Pendekatan ini akan dapat memberi peluang dan ruang kepada murid-murid mengeluarkan idea-idea mereka untuk dikongsi, malah dapat mempertajamkan minda serta melatih mereka bercakap dan mengeluarkan pendapat dengan bernas. Guru perlu membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan kecil untuk membincangkan tajuk peribahasa yang diberikan kepada mereka, kemudian mereka diminta berbincang memberikan maksud peribahasa yang diberi, membina ayat daripada peribahasa tersebut serta menyenaraikan nilai-nilai murni yang sesuai kemudian membentangkan hasil perbincangan mereka di depan kumpulan yang lain.
Disamping itu, Teknik Soal jawab juga boleh digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran peribahasa. Teknik ini juga sama seperti Teknik Perbincangan, iaitu merupakan pendekatan yang sangat popular dan sangat banyak digunapakai oleh guru-guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Teknik ini boleh dikategorikan sebagai lagenda atau senior diantara teknik-teknik yang lain. Walaupun teknik ini dianggap yang paling mudah, namun teknik ini adalah teknik yang berupaya mewujudkan interaksi dua hala antara murid dan guru dengan berkesan. Pendekatan ini bertujuan dalam mengesan kemahiran berbahasa di kalangan murid-murid selain merangsang murid-murid berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis. Guru akan bertanya kepada murid, dengan menyebut nama murid-murid agar tidak timbul situasi tiada murid yang menjawab soalan yang dikemukakan. Soalan yang dilontarkan oleh guru pula mestilah berkaitan dengan isi pelajaran yang diajar, contohnya berkaitan peribahasa dan murid akan memberi tindak balas yang sewajarnya.


  1. RUMUSAN

Peribahasa bahasa melayu merupakan salah satu elemen penting dalam bidang penulisan, sama ada di sekolah rendah, menengah, media-media massa ataupun media cetak. Penggunaan peribahasa adalah besar pengaruhnya sebagai perisa di dalam konteks penulisan dan pertuturan. Pengajaran peribahasa bahasa melayu dikalangan murid-murid adalah penting dalam memelihara kepentingannya sebagai elemen bahasa yang seringkali digunapakai dalam pertuturan dan penulisan, disamping sebagai alat dalam memberikan pengajaran dan nasihat. Pengajaran peribahasa bahasa melayu adalah penting terutamanya dalam mata pelajaran bahasa melayu kerana ia merupakan alat yang dapat membantu murid-murid dalam bidang penulisan seperti karangan khasnya. Malah, penggunaannya juga dapat membantu murid-murid mempertingkatkan penguasaan kemahiran berbahasa di dalam bahasa melayu. Elemen nilai murni dan pengajaran berguna juga dapat diterapkan melalui peribahasa dan mendidik murid-murid mengamalkan kehidupan yang berlandaskan sesuatu yang baik. Pengajaran peribahasa dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu berdasarkan strategi-strategi dan teknik-teknik tertentu pasti akan dapat membantu guru-guru dalam menyampaikan peribahasa sebagai salah satu cabang kemahiran berbahasa yang perlu dikuasai. Bidang penulisan seperti karangan di kalangan murid-murid sekolah rendah pula memerlukan huraian fakta-fakta yang perlu ditegaskan dan peribahasa adalah salah satu daripada elemen yang boleh digunakan dalam menyokong fakta atau memperindahkan lagi bahasa atau ayat yang digunakan. Apatah lagi dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu itu sendiri menegaskan bahawa pengajaran peribahasa perlu diajar dan seterusnya dikuasai oleh murid-murid.

No comments:

Post a Comment