Myself

Myself

Tuesday, 4 December 2012

Tugasan HBMT1103 - Program Pemulihan Matematik

  1. PENGENALAN

Ramai orang membuat tanggapan bahawa matematik adalah satu mata pelajaran yang kompleks dan sukar. Ada juga yang mengatakan bahawa matematik adalah mata pelajaran yang sangat susah untuk dikuasai. Namun, dengan tanggapan negatif seperti inilah maka mata pelajaran itu semakin bertambah sukar untuk dipelajari mahupun dikuasai. Ramai orang juga sebenarnya tidak menyedari bahawa mata pelajaran matematik bukanlah mata pelajaran yang sukar untuk dipelajari, difahami malah dikuasai. Memang tidak dinafikan bahawa, hanya sesetengah orang sahaja yang mampu untuk menguasai ilmu matematik sepenuhnya, malah fakta sains turut menyokong kenyataan tersebut, tetapi, dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, murid-murid perlu menguasai sekurang-kurangnya asas yang terdapat dalam bidang matematik itu. Penguasaan asas sekurang-kurangnya dapat membantu murid-murid dalam menguasai bidang matematik. Apabila penguasaan telah dapat dibuat oleh murid-murid, maka guru perlu melaksanakan aktiviti pengayaan pula agar apa yang dikuasai dapat dipelbagaikan dengan banyak konsep yang berkaitan dengan matematik dan juga kehidupan harian mereka. Penting bagi seseorang guru itu untuk mengenalpasti kalangan murid-murid yang berbeza aras mereka agar dapat menjayakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran matematik di dalam kelas. Guru perlu mengenalpasti murid-murid yang dapat menguasai mata pelajaran matematik kerana setiap murid yang ada di dalam kelas mempunyai aras yang berbeza. Oleh itu, bagi membuat penilaian dalam mengenalpasti murid-murid tersebut, maka guru perlu membuat beberapa ujian atau pemerhatian.
Murid-murid yang dikenalpasti lemah dalam penguasaan asas Matematik melalui ujian-ujian dan penilaian yang dilakukan, perlu dilaporkan kepada Guru Pemulihan yang akan membimbing murid-murid tersebut di dalam Kelas Pemulihan Matematik. Pengajaran Pemulihan adalah berbeza sama sekali dengan pembelajaran biasa di dalam Kelas Perdana. Melalui Kelas Pemulihan, terutamanya Matematik, tumpuan khusus oleh Guru Pemulihan adalah terhadap penguasaan asas yang lebih fokus dalam mengenal konsep seperti tambah, tolak, darab dan bahagi. Murid-murid pemulihan biasanya adalah murid yang sukar mengingat dan memahami konsep asas yang mudah dan oleh sebab itulah maka jangka masa belajar di dalam Kelas Pemulihan lebih lama tempohnya. Pendekatan berbeza juga digunapakai di dalam Kelas Pemulihan berbanding Kelas Perdana. Jika di dalam Kelas Perdana, guru sering mengguna pakai pendekatan yang pelbagai seperti berasaskan murid, berasaskan Bahan Bantu Mengajar dan lain-lain, namun dalam Kelas Pemulihan, hanya pendekatan berasaskan Bahan Bantu Mengajar lebih digunapakai. Benda-benda maujud seperi carta-carta nombor, blok-blok bentuk yang bernombor dapat membantu sesi pengajaran dan pembelajaran Pemulihan Matematik.
Maka tidak hairanlah mengapa guru perlu menyediakan metadologi berbeza dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas terhadap murid-murid yang berbeza aras penguasaan mereka. Metadologi tersebut antaranya adalah melalui aktiviti Pemulihan dan Pengayaan. Aktiviti ini adalah merupakan komponen penting di dalam mata pelajaran matematik. Penglibatan murid-murid yang berbeza aras di dalam aktiviti pemulihan dan pengayaan adalah sangat penting. Dalam aktiviti ini biasanya murid akan dibahagi kepada kumpulan-kumpulan kecil yang mengandungi murid-murid pelbagai aras. Guru perlu menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran agar lebih bermakna dan menarik, murid-murid terlibat dengan aktif, serta diberikan sokongan dan galakan (Baroody & Coslick, 1998). Aktiviti Pemulihan dan Pengayaan yang dilakukan oleh guru, sama ada guru mata pelajaran matematik itu sendiri, mahupun guru pemulihan mempunyai tujuan yang tertentu. Antaranya adalah membantu dalam membina konsep matematik dan mendapatkan skil matematik agar murid-murid yang beraras rendah tidak ketinggalan dengan murid beraras tinggi yang dapat menguasai konsep dan skil dengan mudah. Dengan adanya aktiviti pemulihan terhadap murid-murid beraras rendah, maka konsep matematik yang perlu dikuasai terlebih dahulu itu dapat dikuasai oleh mereka sebelum memperkayakan lagi skil matematik mereka dengan pelbagai konsep yang terdapat dalam mata pelajaran matematik.

  1. RINGKASAN BACAAN MENGENAI PENGAJARAN PEMULIHAN MATEMATIK

Matematik merupakan salah satu daripada mata pelajaran teras dalam senarai mata pelajaran sekolah rendah selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sains. Sebagai pendidik, seorang guru itu sudah sedia maklum akan tahap penguasaan murid-murid di dalam sebuah kelas adalah berbeza-beza. Oleh itu, guru perlu bijak dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, agar murid-murid dapat mengikuti isi pelajaran yang diajar oleh guru serta mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang ingin dicapai oleh guru. Malah, Kementerian Pelajaran Malaysia turut membantu memudahkan tugas guru-guru dengan memperkenalkan beberapa strategi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mengatasi masalah dalam pembelajaran terutamanya terhadap mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu dan Matematik. Mengambil contoh Program LINUS yang sedang rancak dilaksanakan oleh guru-guru pada masa ini, ia merupakan salah satu daripada program yang dilaksanakan dalam mengatasi kelemahan menguasai perkara asas dalam pelajaran.
Dalam Pendidikan Pemulihan Matematik, murid-murid yang telah dikesan lemah dalam penguasaan asas perlu mempunyai kesediaan Matematik yang merujuk dari segi kesediaan belajar. Murid perlu bersedia dari segi dalaman agar berupaya untuk mempelajari sesuatu untuk memperolehi pengalaman pembelajaran yang lalu. Sepertimana yang dikemukakan oleh Thorndike (1913) dalam Hukum Kesediaan, apabila individu bersedia melakukan sesuatu tindakan lalu berjaya melakukannya, tindakan tersebut membawa kepuasan kepadanya. Oleh kerana kesediaan belajar itu penting, terutamanya belajar Matematik, maka murid perlulah mempunyai kesediaan untuk belajar, supaya nanti apabila murid tersebut berjaya menjawab soalan yang diberikan di dalam kelas pemulihan dapat dijawab dengan betul, murid tersebut akan mendapat kepuasan dan mengingati konsep yang telah dipelajarinya. Berbeza dengan Jean Piaget (1966) pula, kesediaan belajar itu adalah mengikut perkembangan kognitif yang merujuk kepada aktiviti mental iaitu berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Dalam usia 7 tahun, murid sudah mempunyai kesediaan belajar kerana deria motor mereka sudah dapat memahami konsep transformasi, menguasai proses kebalikan dan akhirnya mengamati proses songsang yang terdapat dalam konsep matematik. Maka, konsep matematik tersebut perlu diajar dengan contoh-contoh yang konkrit dan perlu diajar dengan mengaitkan pengajaran matematik itu dengan situasi kehidupan sebenar murid-murid.
Kemahiran dan penguasaan ilmu pedagogi perlu dimiliki seoptimum mungkin oleh guru pemulihan agar mencapai sasaran dan objektif pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan deduktif dan induktif atau gabungan kedua-duanya digunakan ketika mengajar dan diajar secara keseluruhan dahulu kemudian barulah beralih ke topik-topik kecil sesuatu tajuk. Sebagai contoh, dalam operasi tambah, guru perlu mengajar murid proses penambahan 1, 2 dan 3 digit (mengikut tahap murid pemulihan) kemudian barulah diajar operasi tambah 1 digit sehingga dapat dikuasai barulah beralih ke operasi tambah 2 digit dan seterusnya. Disamping itu, kandungan atau kehendak kurikulum yang digubal perlu diketahui oleh guru pemulihan untuk kebaikan murid. Kemahiran mengajar dalam setiap topik adalah sangat penting terutamanya dalam memberikan contoh-contoh yang konkritdan mudah difahami murid pemulihan serta berdasarkan prinsip-prinsip pengajaran pemulihan matematik seperti kesediaan belajar.Isi pembelajaran perlu bijak disusun mengikut aras dari aras rendah ke aras yang tinggi malah, latihan yang diberikan juga perlulah menimbulkan keseronokan kepada murid pemulihan untuk diselesaikan namun, latihan yang diberikan tidak harus terlalu mudah hingga murid cepat menyiapkannya dan terlalu susah sehingga menimbulkan kebosanan kepada murid.
Dari segi kontekstual, perkaitan topik baru dan pengetahuan sedia ada pada murid pemulihan perlu dilakukan oleh guru. Murid perlu disogokkan dengan kaitan matematik dengan situasi kehidupan yang sebenar. Sekiranya apa yang diajar hanya untuk dihafal oleh murid, maka hasil pembelajaran hanyalah hafalan dan tidak bermakna. Guru Pemulihan perlu mengajar dari mudah kepada sukar secara beransur-ansur agar aktiviti-aktiviti pembelajaran itu selari dengan perkembangan kognitif mereka serta tidak membosankan kerana sukar untuk diikuti dan difahami oleh murid pemulihan. Secara tidak langsung, motivasi intrinsik dan ekstrinsik dapat dicapai, sekaligus memupuk kesedaran murid untuk belajar sendiri. Pengajaran sesuatu konsep dalam matematik memerlukan benda maujud bagi menimbulkan suasana yang tidak membosankan serta mudah difahami oleh murid pemulihan apabila diperkenalkan kepada sesuatu konsep yang baru. Pengajaran berdasarkan konsep konkrit ke abstrak sangat penting kerana murid sekolah rendah amnya dan murid pemulihan khususnya tidak akan memahami hukum-hukum matematik menyebabkan mereka hanya menghafal apa yang dipelajari dalam konsep-konsep matematik. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu mengikut kebolehan dan pengetahuan sedia ada murid untuk digabungjalinkan dengan kemahiran asas yang telah dikuasai dengan kemahiran yang baru dipelajari.
Isi pelajaran perlu bermula dari mudah kepada kompleks, dari pengalaman sedia ada kepada pengalaman baru dan daripada umum kepada spesifik. Penggunaan bahan rangsangan perlu dipelbagaikan untuk menarik seterusnya mengekalkan minat murid untuk terus belajar. Selain itu, guru perlu menggunakan teknik menyoal dan inkuiri penemuan agar membangkitkan naluri ingin tahu di kalangan murid. Strategi pembelajaran berkumpulan dan individu perlu diterapkan. Contohnya aktiviti perbincangan dalam kumpulan. Peneguhan juga penting sebagai rangsangan dalam membantu kesediaan belajar murid untuk terus belajar. Aktiviti kemahiran asas harus diberi secukupnya sebagai pengukuhan untuk mempelajari kemahiran baru yang lebih kompleks. Bahan Bantu Mengajar (BBM) mestilah menggunakan benda maujud agar dapat menarik perhatian murid serta menggunakan teknologi seperti perisian komputer dalam mempertingkatkan kefahaman murid.





  1. PENERANGAN MENGENAI PROGRAM PEMULIHAN

Program Pemulihan adalah satu jenis pendidikan yang cuba memenuhi kehendak keperluan murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran iaitu kegagalan belajar yang tidak dapat ditentukan faktornya termasuklah persekitaran dan pengalaman hidup masing-masing. Konsep program ini ialah untuk mengatasi masalah murid-murid dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Murid-murid yang diserapkan ke dalam program pemulihan perlu dibantu menguasai kemahiran-kemahiran asas 3M dalam tempoh masa yang ditentukan. Antara objektif program ini ialah menguasai kemahiran asas 3M, meneruskan pembelajaran di kelas biasa (perdana) agar tidak ketinggalan dengan murid-murid yang lain serta meningkatkan keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.

    1. MENGENALPASTI MURID PEMULIHAN

Seperti yang kita sedia maklum, tahap kecerdasan murid-murid di dalam sesebuah kelas itu adalah berbeza-beza. Oleh itu, penting bagi Guru Kelas atau guru mata pelajaran untuk mengenalpasti murid-murid yang perlu dimasukkan ke dalam program pemulihan agar mereka tidak ketinggalan dengan murid-murid yang lain.

3.1.1. Pemerhatian
Guru perlu membuat pemerhatian yang teliti terhadap murid-murid yang mempunyai tahap kecerdasan yang rendah berbanding murid-murid lain. Ketika sesi pengajaran dan pembelajaran, guru akan dapat mengenalpasti murid tersebut sekiranya murid tersebut lambat dalam memberikan jawapan pada soalan yang diberikan walaupun soalan tersebut adalah mudah. Malah, murid juga tidak dapat mengingati konsep operasi asas (dalam matematik) apabila ditanya sedangkan konsep tersebut sudah diajar dan sudah dipelajari. Pemerhatian yang teliti perlu juga agar guru dapat membezakan murid tersebut benar-benar lemah dan bukannya malas tetapi kecerdasannya baik.

3.1.2. Temubual / Soal selidik
Melalui teknik ini, guru bukan sahaja dapat mengetahui masalah pembelajaran murid, malah dapat berinteraksi dan berkomunikasi terus dengan murid yang mempunyai kecerdasan merangkumi soalan mengenai topik yang diajar dan pengetahuan sedia ada murid. Guru perlu melakukan teknik ini sama ada secara berkumpulan ataupun secara individu.
      1. Hasil kerja murid
Pemerhatian dan pemeriksaan terhadap hasil kerja murid perlu dilakukan oleh guru secara kerap. Ini kerana, hasil kerja murid adalah eviden yang menunjukkan tahap kecerdasan murid sama ada perlu mengikuti kelas pemulihan atau tidak. Pemerhatian terhadap tulisan tangan, jawapan yang diberikan dan kekemasan kerja murid pemulihan dapat dibezakan dengan murid yang lain yang mempunyai tahap kecerdasan yang baik.

      1. Buku Rekod kemajuan murid
Pencapaian murid juga dapat menunjukkan perbezaan antara murid pemulihan dan murid biasa. Pencapaian pada pertengahan tahun dan akhir tahun tidak banyak berubah. Melalui laporan kemajuan yang terdapat pada Buku Rekod kemajuan murid juga guru boleh mengenalpasti murid yang perlu dimasukkan ke dalam kelas pemulihan.

      1. Ujian Diagnostik / Ujian Saringan
Ujian ini merupakan ujian yang dilakukan secara spesifik menggunakan alat tertentu dalam mengukur tahap kecerdasan dan penguasaan murid terhadap satu-satu topik yang telah dipelajari. Keputusan ujian ini mampu membantu guru menentukan murid yang perlu mengikuti kelas pemulihan.

Apabila murid-murid tertentu telah dikenalpasti untuk dimasukkan ke dalam kelas pemulihan maka guru pemulihan perlu merancang aktiviti yang perlu, selaras dengan keperluan murid tersebut. Perancangan yang teliti perlu dilakukan sebelum melaksanakan aktiviti pemulihan terhadap murid tersebut, seperti kesediaan mereka untuk belajar.


    1. PERANCANGAN

Sekiranya aktiviti untuk Program Pemulihan dirancang mengikut urutan perancangan yang teliti dan sistematik, maka objektif pemulihan itu pasti akan dapat dicapai malah, perancangan yang teliti juga turut membantu mengatasi masalah murid.
Program pemulihan perlu memfokuskan pada kelemahan yang telah dikenalpasti. Sekiranya murid yang telah dikenalpasti untuk dimasukkan ke dalam kelas pemulihan, maka guru perlu mengenalpasti apa kelemahan murid tersebut. Contohnya, lemah di dalam operasi asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi. Oleh itu, guru perlu menumpukan sepenuhnya untuk mengajar murid tersebut dalam operasi-operasi asas tersebut, tanpa menyentuh topik lain terlebih dahulu, sebelum murid tersebut menguasai operasi asas yang diajar. Sebelum beralih ke topik seterusnya, bagi menentukan sama ada murid tersebut sudah memahami atau mengingati konsep dan boleh menyelesaikan operasi-operasi asas yang tidak dikuasainya maka guru perlu membuat ujian terlebih dahulu sebagai langkah untuk memastikan bahawa murid menguasai operasi asas yang telah diajar.
Pengajaran dan pembelajaran oleh guru pula perlu bermula dengan dari yang senang kepada yang susah atau dari yang konkrit kepada abstrak. Contoh-contoh yang diberikan ketika mengajar perlulah menggunakan contoh yang konkrit, agar konsep dapat difahami oleh murid serta senang untuk diingati tetapi berdasarkan kemampuan dan juga kebolehan murid. Guru perlu bijak mengaitkan dengan situasi sebenar dalam kehidupan murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran agar tidak wujud situasi menghafal, iaitu lebih kepada hafalan tetapi tidak memahami konsep sepenuhnya.
Penggunaan pelbagai Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang menarik adalah perlu dalam mengekalkan minat murid untuk terus belajar. Bermula dari set induksi yang meyakinkan sehinggalah kepada penggunaan BBM yang menarik serta penggunaan benda maujud dalam memudahkan pemahaman murid terhadap konsep yang dipelajari.
Dalam mata pelajaran Matematik, pemulihan khasnya, penggunaan simbol dan terma matematik yang mempunyai kesinambungan atau hubungan dengan pengalaman sedia ada murid adalah sangat penting. Pengalaman sedia ada murid tadi dikaitkan pula dengan pengalaman baru yang baru diajarkan akan memudahkan murid mengenalpasti seterusnya mengatasi kelemahan mereka.
Diakhir sesi pengajaran dan pembelajaran, guru pemulihan wajib memberikan murid lembaran kerja sama ada latih tubi atau latihan berkaitan isi pelajaran mahupun pertanyaan secara oral sangat penting bagi mengetahui tahap penguasaan dan pemahaman murid terhadap isi pelajaran. Pada peringkat awal sesi pengajaran dan pembelajaran, mungkin guru boleh dan perlu membenarkan murid menggunakan BBM yang disediakan dalam menyelesaikan masalah berkaitan topik yang dipelajari namun, pada akhir pembelajaran, guru perlu mengelakkan murid daripada menggunakan BBM dalam menyelesaikan masalah berkaitan soalan yang diberikan oleh guru kerana murid perlu memahami konsep dari konkrit kepada abstrak.



    1. PELAKSANAAN

Melalui beberapa langkah yang penting dalam Program Pemulihan Matematik, bermula dengan proses mengenalpasti murid dengan beberapa kaedah oleh Guru Kelas, murid yang telah dikenalpasti akan dimasukkan ke dalam kelas pemulihan dan akan mendapat bimbingan daripada Guru Pemulihan sepenuhnya. Terlebih dahulu, Guru Pemulihan perlu mempunyai perancangan yang berkesan terutamanya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang mencabar bagi membantu murid memahami seterusnya menguasai konsep asas Matematik. Melalui perancangan tertentu yang telah dirancang agar pelaksanaan Kelas Pemulihan oleh guru tersebut berjalan dengan efisyen, maka pelaksanaan Kelas Pemulihan akan dilakukan oleh Guru Pemulihan.
Berdasarkan perancangan awal yang telah dibuat, pelaksanaan kelas pemulihan adalah selama 1, 020 minit, di mana pembahagian masa mengajar adalah sebanyak 900 minit dan persediaan sebanyak 120 minit. Guru pemulihan akan membuat Ujian Saringan bagi murid-murid pemulihan pada suatu tempoh masa untuk mengetahui sejauh mana tahap penguasaan mereka, sama ada murd pemulihan tersebut sudah boleh diserapkan ke dalam kelas perdana atau perlu meneruskan kelas pemulihan.


  1. REFLEKSI DAN CADANGAN UNTUK PROGRAM PEMULIHAN

    1. Refleksi
Tidak dinafikan bahawa penguasaan asas seperti operasi tambah, tolak, darab dan bahagi di kalangan murid-murid pemulihan adalah sangat rendah kerana tidak memahami konsep. Murid-murid pemulihan perlu belajar menguasai operasi-operasi asas tersebut melalui kebijaksanaan guru pemulihan dengan menggunakan Bahan Bantu Mengajar yang pelbagai dan maujud bagi memudahkan lagi mereka mempelajari dan memahami konsep. Setiap isi pelajaran akan dikaitkan dengan situasi sebenar dalam kehidupan mereka seperti penggunaan wang syiling dalam operasi tambah dan tolak ketika membeli di kantin. Proses yang sama akan diulang-ulang bagi mewujudkan kefahaman yang kukuh serta bermula daripada konsep yang konkrit kepada konsep yang lebih abstrak. Penggunaan konsep yang berkaitan dengan situasi sebenar di dalam kehidupan murid adalah sangat penting dalam membantu mereka lebih memahami dan menguasai operasi asas matematik. Selain itu, penggunaan BBM yang pelbagai juga adalah untuk mewujudkan minat dan kesediaan mereka untuk belajar selain membantu dalam memahami konsep yang diajar. Malah, kepelbagaian penggunaan BBM ini akan menimbulkan suasana sesi pengajaran dan pembelajaran yang eksplist dan mampu membantu hasil pembelajaran.

    1. Cadangan memperbaiki / Mempertingkatkan Program Pemulihan
Pihak berkenaan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu memberikan peruntukan yang secukupnya dalam Program Pemulihan, terutama sekali dalam penyediaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) atau pihak KPM sendiri menyediakan BBM bersesuaian yang banyak membantu dalam pelaksanaan kelas pemulihan. BBM juga penting dalam membantu guru mengajar murid agar dapat menguasai mata pelajaran yang diajar. BBM yang perlu disediakan oleh KPM perlu sama rata kepada semua sekolah tidak kira sekolah tersebut di bandar atau di luar bandar. Sesetengah sekolah akan memperuntukkan APC dalam pembelian peralatan atau BBM. Namun, KPM perlu peka akan keperluan guru pemulihan yang mana BBM yang berkesan mempunyai nilai yang tinggi dan harga yang mahal. Oleh itu, penting bagi KPM dalam menyediakan peruntukan atau peralatan untuk BBM dalam program pemulihan agar masalah 3M dapat dikurangkan.
Keperluan guru-guru pemulihan dalam latihan dan kursus adalah penting dan perlu diutamakan, apatah lagi kadar 3M di kalangan sekolah di luar bandar adalah sangat tinggi. Pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi Jabatan Pelajaran Negeri perlu memberikan kursus dan latihan agar guru pemulihan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang tugas mereka. Pihak bertanggungjawab perlu bekerjasama dengan pihak lain yang mempunyai kepakaran dan kebolehan dalam mengatasi masalah 3M. Ini penting agar guru pemulihan dapat membantu mengurangkan kadar murid-murid yang tidak menguasai 3M seterusnya meningkatkan tahap pendidikan negara.
Disamping itu, pemantauan berterusan perlu dilakukan oleh pihak berkenaan agar kualiti program pemulihan dapat dipertingkatkan dari tahun ke tahun dan bukannya hanya bergantung kepada keputusan ujian saringan semata-mata. Pihak berkenaan perlu turun padang bersama-sama guru pemulihan dalam mengatasi masalah murid-murid pemulihan. Adalah lebih baik sekiranya pegawai yang dilantik dalam pemantauan guru-guru pemulihan adalah bekas guru pemulihan yang mempunyai prestasi kerja yang bagus dalam bidang pemulihan itu sendiri bagi memudahkan guru pemulihan itu sendiri berkomunikasi seterusnya mungkin mengemukakan beberapa cadangan yang sukar untuk diatasi, malah pegawai tersebut juga boleh bertemu empat mata dengan murid-murid pemulihan itu sendiri.

  1. PENUTUP

Pemulihan merupakan salah satu komponen penting dalam kurikulum sekolah. Program pemulihan yang dilaksanakan di sekolah melalui Guru Pemulihan, merupakan satu-satunya program yang hanya memfokuskan kepada penguasaan asas terlebih dahulu, sehingga penguasaan tersebut dapat dikukuhkan kemudian barulah belajar ke peringkat seterusnya, berbeza dengan konsep kelas perdana. Kejayaan kelas pemulihan itu selain bergantung pada pelaksanaan oleh guru pemulihannya tetapi juga oleh elemen-elemen lain seperti perancangan dan pelaksanaannya yang efisyen dan sistematik berasaskan garis panduan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia serta berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, perancangan yang baik perlu difikirkan oleh guru pemulihan melalui beberapa kaedah sebelum memulakan pelaksanaan kelas pemulihan terlebih dahulu. Kewujudan beberapa kelemahan di dalam pelaksanaan program pemulihan bukan halangan dalam melaksanakan dan menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran pemulihan, namun pihak-pihak tertentu perlu mengambil langkah-langkah penyelesaian dalam menangani cabaran guru pemulihan menjalankan program pemulihan di sekolah. Langkah-langkah yang perlu oleh pihak-pihak berkenaan adalah penting agar dapat mengurangkan lagi kadar 3M di kalangan murid-murid sekolah rendah dan dalam mata pelajaran Matematik khususnya. Melalui cadangan-cadangan yang perlu dalam mempertingkatkan lagi kualiti program pemulihan, pihak berkenaan perlu memandang serius dan mengambil perhatian setiap cadangan yang dikemukan agar program pemulihan di semua sekolah dapat dijayakan dan paling utama, dapat mengurangkan murid yang tidak menguasai 3M.

No comments:

Post a Comment