Myself

Myself

Thursday 29 November 2012

Tugasan HBEF1503 - Sosiologi Masyarakat dan Ketamadunan

PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang telah merdeka pada tahun 1957. Secara amnya, masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan berbilang bangsa. Kaum terbesar yang mendiami Malaysia adalah Melayu, Cina dan India. Manakala, Kepulauan Borneo pula yang terdiri daripada Sabah dan Sarawak, didiami oleh beberapa suku kaum peribumi seperti Iban, Kadazan, Dusun, Melanau, Bidayuh, Murut dan banyak lagi. Selain itu, terdapat juga kaum2 lain yang mendiami Malaysia seperti Baba dan Nyonya, orang asli, Serani, Sikh dan lain-lain lagi. Kepelbagaian kaum dan etnik yang wujud di Malaysia merupakan simbol bahawa wujud perpaduan di kalangan rakyat Malaysia ini. Perpaduan di kalangan rakyatnya sudah lama dan sentiasa dipelihara agar tidak wujud polarisasi kaum yang pasti akan membawa kepada kehancuran negara. Pastinya timbul tanda tanya di kalangan orang luar, mengapakah Malaysia didiami oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kewujudan pelbagai bangsa dan etnik ini berlaku ketika Malaysia masih lagi dikenali sebagai Tanah Melayu. Kehadiran kuasa asing yang menjajah Tanah Melayu ketika itu iaitu bermula dengan Portugis, Belanda, British dan Jepun. Kemudian dijajah semula oleh British selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Selain itu, kehadiran pedagang-pedagang luar ketika Zaman Kegemilangan Melaka sekitar tahun 1500 seperti pedagang-pedagang negara arab, India dan China turut menyumbang kepelbagaian kaum yang wujud di Malaysia dengan perkahwinan campur bersama penduduk tempatan. Dengan kewujudan kepelbagaian ini, maka wujud jugalah perbezaan dari segi sosio budaya di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia ini. Walaubagaimanapun, perbezaan itu bukanlah penghalang kepada perpaduan yang sentiasa dipelihara dan dipulihara oleh semua pihak di Malaysia, malah ia adalah pemangkin kepada kekuatan perpaduan masyarakat sejak sekian lama. Namun, untuk mengekalkan perpaduan bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi suatu ketika dulu, wujud peristiwa hitam di kalangan masyarakat Malaysia apabila berlaku rusuhan kaum pada 13.Mei.1969 sehingga membawa kepada perisytiharan darurat pada 16.Mei.1969.
Pada dasarnya aspek penyemaian perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi dengan kewujudan perbezaan ideologi dari segi cara mengekalkannya. Oleh sebab itulah maka perpaduan berkait rapat dengan sistem pendidikan di Malaysia. Hal ini kerana, kepentingan dan keselesaan sesuatu kaum itu tidak akan sesekali dipinggir atau diketepikan dalam aspek sistem pendidikan dan kurikulum. Apatah lagi bila berbicara soal perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, sistem pendidikan yang dipraktikkan semenjak pasca kemerdekaan perlu melihat dari sudut falsafah dan pelaksanaan sistem tersebut. Masyarakat majoriti seperti Melayu, Cina dan India rasminya telah diperkenalkan dengan sistem pendidikan berorientasikan kaum dengan kewujudan sekolah mengikut kaum masing-masing. Dasar Pendidikan Negara khususnya merupakan wadah dalam penyampaian ideologi patriotik kepada masyarakat amnya melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai-nilai positif untuk perpaduan kaum di kalangan murid-murid sekolah. Pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1957 adalah berintipatikan perpaduan. Ini kerana, polarisasi kaum adalah isu utama yang diberi penekanan oleh kerajaan ketika penggubalan dasar pendidikan berdasarkan cadangan-cadangan dan garis panduan yang dikaji melalui Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 apatah lagi sistem pendidikan pada masa itu bersifat laissez-faire dan tidak seragam samaada dari aspek kaedah pengajaran mahupun aspek kurikulumnya menyebabkan proses perpaduan itu sukar untuk dilaksanakan dan dicapai. Selain itu, matlamat utama pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan juga antaranya adalah bermatlamat untuk mencapai pengukuhan sistem pendidikan dalam memupuk perpaduan sosial, kebudayaan dan politik. Namun, perubahan demi perubahan melalui penaik-tarafan dalam sistem pendidikan saban tahun, sedikit sebanyak menyebabkan beberapa kelemahan dan kelebihan dapat dilihat.


KELEMAHAN DAN KELEBIHAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA DALAM MEMUPUK KESEPADUAN KAUM DAN ETNIK

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam keghairahan pihak kerajaan untuk mempastikan agar sistem pendidikan negara sentiasa selaras dengan arus globalisasi, masih terdapat kekangan yang merupakan kelemahan dalam pelaksanaannya, terutama sekali dalam konteks memupuk kesepaduan kaum dan etnik. Pihak berkenaan sepatutnya meneliti asas penggubalan dan pelaksanaan Dasar Pendidikan negara, terutama sekali dalam aspek perpaduan agar dasar yang dilaksanakan itu mampu menggalakkan kesepaduan kaum dan etnik di Malaysia serta dapat diselaraskan dengan objektif pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam pada itu, terdapat juga kelebihan dalam sistem pendidikan negara terutamanya berkaitan dengan kesepaduan kaum dan etnik. Apatah lagi bila pihak kerajaan sendiri telah mengambil inisiatif dalam menjadi modal kepada proses menyuburkan lagi perpaduan di kalangan masyarakat majmuk yang ada pada ketika ini.


Kelemahan

Diantara kelemahan-kelemahan yang wujud pada sistem pendidikan negara dalam memupuk kesepaduan etnik dan kaum, yang pertama ialah, kewujudan sekolah vernakular. Menurut analisis oleh Kementerian Pendidikan sebelum bertukar nama kepada Kementerian Pelajaran, melalui statistik rasminya, dari tahun 1996 hingga 2006, terdapat peningkatan yang sangat ketara dalam pertambahan murid-murid yang didaftarkan di sekolah bukan kebangsaan. Situasi ini jelas mewujudkan jurang interaksi yang sangat besar di kalangan generasi muda. Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan, salah satu daripada objektifnya adalah untuk menyatukan kanak-kanak sekolah daripada pelbagai kaum. Jelas dinyatakan bahawa tidak kira apapun bangsa kanak-kanak tersebut, tetapi perlu disatukan melalui satu sistem persekolahan yang sama dalam semua aspek tanpa membezakan apapun etnik dan kaumnya. Namun, kewujudan sekolah-sekolah vernikular iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) akan menjadi penghalang kepada objektif di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Kewujudan sekolah tersebut bukan sahaja menjadikan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk Malaysia sukar dilakukan tetapi lebih teruk lagi, penguasaan terhadap bahasa kebangsaan iaitu bahasa melayu adalah sangat kurang kerana penggunaan bahasa pengantarnya adalah bahasa ibunda seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menggunakan bahasa mandrin manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) turut menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa tamil sebagai bahasa pengantar manakala bahasa melayu menjadi bahasa kedua. Dalam Laporan Razak (1956) ada menyatakan bahawa bahasa melayu akan menjadi bahasa kebangsaan dan digunakan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah. Namun, hasrat tersebut tidak sepenuhnya tercapai kerana sekolah-sekolah vernikular akan menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar. Jika ada pun penggunaan bahasa melayu, berkemungkinan hanya 35% sahaja terutamanya di dalam mesyuarat ataupun majlis-majlis tertentu.
Kelemahan yang kedua pula ialah, kurikulum yang tidak seragam antara semua sekolah. Apabila wujud sekolah vernikular, maka pelaksanaan kaedah pengajaran dan kurikulumnya juga pasti tidak akan sama dengan sekolah kebangsaan. Dalam Laporan Razak 1956 ada menggariskan bahawa persamaan sukatan pelajaran bagi semua di Tanah Melayu. Namun, pelaksanaan sekolah vernikular yang wujud pasti akan menyebabkan gangguan dalam kesaksamaan sukatan pelajaran semua sekolah. Sepatutnya, seluruh sekolah yang terdapat di Malaysia perlu melaksanakan kurikulum yang sama, agar dapat menyemai perpaduan di kalangan pelbagai kaum dan etnik yang ada. Oleh itu, bagaimana pula penyatuan kanak-kanak sekolah daripada pelbagai kaum dapat dilaksanakan jika kurikulumnya adalah tidak seragam di semua sekolah. Begitu juga dengan isi kandungan yang terdapat di dalam buku teks murid-murid. Jika dilihat dan dinilai buku teks Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT, pasti terdapat perbezaannya. Jika buku Bahasa Melayu sekolah kebangsaan hampir keseluruhannya terkandung isi berkaitan dengan perpaduan dari Tahap 1 hinggalah ke Tahap 2 tetapi buku Bahasa Malaysia SJKC dan SJKT lebih kepada asas penguasaan bahasa sahaja dengan kurang daripada 70% berkaitan dengan perpaduan. Begitu juga dengan kandungan yang terdapat dalam Jawatankuasa Kabinet 1974, memberi penekanan kepada pembentukan kurikulum yang mengandungi keseragaman sukatan pelajaran dalam mencapai perpaduan nasional. Agak sukar menyeragamkan sukatan pelajaran apabila wujud pelaksanaan kurikulum yang berbeza dan sekolah vernikular, apatah lagi dalam proses menyemai perpaduan nasional.
Manakala kelemahan yang ketiga pula ialah, melalui dasar pembelajaran, iaitu pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu. Dasar pendidikan di Malaysia pada asasnya meletakkan bahasa melayu itu sebagai alat dalam menyepadukan perpaduan di kalangan kaum dan etnik yang terdapat di Malaysia. Namun, jika dilihat melalui cadangan atau garis panduan yang terdapat dalam Laporan Razak 1956, antaranya ialah bahasa melayu akan menjadi bahasa pengantar utama di sekolah, ia tidaklah menepati apa yang digariskan dan dicadangkan kerana bukan sahaja laporan tersebut mendapat tentangan oleh kaum bukan melayu yang dikatakan mengabaikan pendidikan bahasa ibunda mereka, malah kaum melayu sendiri melakukan penentangan kerana tiada ketegasan dalam pelaksanaan bahasa kebangsaan dan pengajarannya. Bahasa Melayu seharusnya mampu menjadi alat atau modal dalam memupuk kesepaduan kaum dan etnik di Malaysia, bukan sahaja komunikasi yang sama digunapakai oleh kaum dan bangsa lain, malah sebagai Bahasa Kebangsaan, semua sekolah tidak kira samaada sekolah vernikular sekalipun, perlu menyahut seruan yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu pendidikan yang berterusan demi memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Pengajaran Bahasa Kebangsaan ini seharusnya menggunakan guru yang mampu dan berkebolehan dalam menerapkan nilai-nilai murni perpaduan pelbagai kaum agar murid-murid bukan sahaja disemai dan dipupuk dengan semangat jati diri cintakan negara, malah bangga akan penggunaan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bukannya membanggakan bahasa inggeris sebagai bahasa untuk berkomunikasi, walaupun bahasa tersebut adalah bahasa kedua negara. Rata-rata pengajaran Bahasa Melayu di sekolah vernikular, SJKC khasnya, guru-guru kurang dalam penerapan nilai-nilai murni dan perpaduan kepada murid-murid kerana mereka hanya mengajar bahasa ini hanya untuk dikuasai untuk peperiksaan dan berkomunikasi tanpa menerapkan bahawa bahasa ini adalah alat dalam menyatupadukan kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia.
Kelemahan yang keempat pula ialah, pelaksanaan sistem pendidikan itu sendiri. Dalam hal ini, saya merujuk kepada pelaksanaan pendidikan yang bervariasi atau beraneka corak mengikut kaum yang terdapat di Malaysia ketika ini. Sistem pendidikan yang wujud ketika ini dengan adanya sekolah vernikular, telah mengasingkan kaum-kaum yang wujud di Malaysia. Asas perpaduan yang dicapai melalui sistem pendidikan bukan sahaja gagal dicapai sekiranya perkara ini berterusan, malah jurang atau polarisasi kaum akan terus berkembang dan semakin sukar untuk dibendung. Formula seperti ini yang terdapat dalam Laporan Razak 1956 telah menyatakan iaitu Sekolah Rendah dibahagikan kepada tiga iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil dengan tiga bahasa pengantar yang berbeza turut menambah kepada jurang pengasingan kaum dan menghalang perpaduan itu berlaku. Ini kerana, sekolah merupakan satu-satunya institusi yang mampu mengumpulkan pelbagai kaum dan etnik untuk bersatu dalam satu persekitaran yang sama. Oleh itu, bagaimana pula matlamat dasar pendidikan dapat dicapai, iaitu perpaduan nasional antara pelbagai kaum. Dalam Akta Pendidikan 1961 pula menyatakan, sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan pada peringkat rendah yang menggunakan bahasa cina dan tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan. Pihak kerajaan seharusnya meneliti perkara ini sama ada apa yang telah dinyatakan melalui akta tersebut selaras atau tidak dengan pelaksanaan matlamat dasar pendidikan. Sepatutnya pihak kerajaan perlu serius dalam menaikkan martabat bahasa kebangsaan, iaitu bahasa melayu sebagai bahasa pengantar untuk sekolah-sekolah tersebut dan bahasa ibunda mereka boleh digunakan sebagai bahasa utama dalam mata pelajaran sahaja bagi menjaga sentimen hak asasi kaum.


Kelebihan

Kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam sistem pendidikan negara pada ketika ini dalam konteks kesepaduan kaum dan etnik antaranya ialah yang pertama, menjaga martabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu adalah penghubung kepada semua kaum dan etnik yang terdapat di Malaysia. Oleh kerana peranan besar bahasa ini, maka ia telah diangkat menjadi Bahasa Kebangsaan. Dalam setiap cadangan ke arah sistem pendidikan yang berasaskan perpaduan serta mengutamakan perpaduan sebagai lambang kesepaduan kaum dan etnik di Malaysia juga, laporan-laporan seperti Laporan Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pendidikan1961 dan Jawatankuasa Kabinet 1971 telah menggariskan keutamaan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar di semua sekolah yang wujud. Malah, Bahasa Melayu turut digariskan sebagai mata pelajaran wajib yang harus dipelajari dan diajar di semua sekolah. Dalam usaha kerajaan memelihara dan memulihara perpaduan kaum di Malaysia, kepentingan Bahasa Melayu tidak pernah diabaikan, malah diangkat martabatnya menjadi bahasa utama di Malaysia. Penggunaannya sebagai bahasa pengantar bukan sahaja di semua sekolah rendah, menengah, malah di Institusi-institusi Pengajian Tinggi turut menjadi keutamaan.
Kelebihan yang kedua pula ialah, penyeragaman sistem peperiksaan. Kita mengetahui bahawa kaum lain, terutamanya kaum Cina mempelajari Bahasa Melayu tidak lebih hanya seperti melepaskan batuk di tangga. Mempelajari Bahasa Melayu hanya untuk memenuhi syarat agar lulus dalam peperiksaan. Namun, itu bukanlah halangan kepada penggunaan Bahasa Melayu untuk dijadikan sebagai bahasa utama yang digunakan di dalam sistem peperiksaan. Kerajaan telah menjadikan agar sistem peperiksaan di Malaysia menggunaan bahasa yang sama, iaitu penggunaan Bahasa Melayu. Malah, dalam Laporan Rahman Talib 1960 turut menggariskan agar semua peperiksaan am di sekolah menengah akan menggunakan satu bahasa rasmi sahaja. Begitu juga dalam Akta Pendidikan 1961 yang telah memaktubkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dilaksanakan sekarang bahawa dasar yang terdapat di dalam Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 iaitu sistem peperiksaan yang sama untuk semua murid, iaitu penggunaan bahasa melayu. Selain itu, Laporan Rahman Talib 1960 turut menggariskan agar calon pepriksaan mesti wajib lulus dalam Bahasa Melayu untuk meneruskan pelajaran ke sekolah menengah. Maka, dapat kita lihat bahawa dengan memesatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, maka semua kaum perlu menggunakan bahasa yang sama, iaitu Bahasa Melayu serta menyedari kepentingan bahasa ini dalam menyepadukan kaum dan etnik yang pelbagai di Malaysia.
Disamping itu, kelebihan yang ketiga pula ialah, dari aspek pelaksanaan kurikulum. Kita menyedari bahawa betapa pentingnya penerapan nilai-nilai murni di kalangan murid-murid sekolah yang berbilang kaum, terutamanya dalam konteks perpaduan kaum. Oleh itu, kerajaan telah mengambil langkah perlu dalam kepentingan perkara ini dengan melaksanakan kurikulum yang sama rata, iaitu sukatan pelajaran yang seragam untuk semua sekolah. Walaupun ketika ini sistem sekolah vernikular masih wujud, namun kerajaan tetap melaksanakan sistem pendidikan yang sama rata dari segi kurikulum. Dalam Laporan Razak 1956 turut menyatakan agar sukatan pelajaran yang dibuat perlu diselaraskan untuk semua sekolah. Malah, Akta Pendidikan 1961 turut menggariskan hal yang sama. Ini menunjukkan betapa pentingnya pelaksanaan kurikulum yang seragam agar tidak timbul ketikadilan dan ketaksamaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah, terutamanya sekolah-sekolah vernikular yang secara formalnya telah diperkenalkan dengan sistem pendidikan yang berorientasikan kaum.


CADANGAN PELAKSANAAN SISTEM PENDIDIKAN KINI DALAM MEMPERTINGKATKAN KESEFAHAMAN, TOLERANSI DAN PERPADUAN ANTARA GOLONGAN ETNIK

Jika diteliti, sistem pendidikan itu sendiri melalui proses pelaksanaannya adalah penentu kepada pemeliharaan dan pemuliharaan aspek perpaduan kaum itu sendiri. Tidak dinafikan bahawa sistem pendidikan itu sendiri yang menjadi batasan ke arah perpaduan yang jitu. Pembentukan bangsa Malaysia bukanlah suatu proses yang mudah dan ringan. Namun, melalui sistem pendidikanlah perpaduan yang jitu dan tulen di kalangan kaum dan etnik di Malaysia dapat dipupuk dan disemai. Yang pastinya, perlu ada pengubahsuaian kepada sistem sedia ada untuk memberi ruang dan peluang agar semua pihak dapat mempertingkatkan kesefahaman, toleransi dan perpaduan antara golongan etnik ini. Terdapat beberapa cadangan yang dapat saya nyatakan disini menerusi pelaksanaan sistem pendidikan ini dalam mempertingkatkan konteks kesefahaman, toleransi dan perpaduan antara golongan etnik.
Cadangan-cadangan tersebut antaranya ialah, mewujudkan sekolah satu aliran. Kita mengetahui bahawa melalui Dasar Pendidikan Negara pada masa ini wujud sekolah vernakular di Malaysia. Kewujudan sekolah ini sebenarnya sedikit sebanyak mempengaruhi usaha kerajaan dalam menggalakkan perpaduan di kalangan kaum dan etnik. Apa tidaknya, penggunaan Bahasa Melayu serba sedikit telah terganggu dengan pembelajaran bahasa ibunda walaupun kerajaan telah menetapkan garis panduan fungsi Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran utama. Namun, di kalangan masyarakat cina amnya, mempelajari Bahasa Melayu tidak lebih hanya sekadar sebagai syarat untuk lulus dalam peperiksaan. Melalui sekolah satu aliran, pelbagai faedah dan manfaat dapat diperoleh oleh semua kaum yang menghantar anak-anak mereka untuk belajar ke sekolah ini, andai ia diwujudkan. Perpaduan yang ingin dicapai melalui sistem pendidikan bukan sahaja dapat dilakukan di kalangan murid-murid, malah di kalangan tenaga pengajar yang terdiri daripada guru-guru berbilang kaum dan etnik juga turut bergaul. Persekitaran sekolah satu aliran ini juga membolehkan murid-murid berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, disamping penggunaan bahasa ibunda mereka. Pergaulan di kalangan murid-murid berbeza kaum dan etnik itu adalah sangat penting dalam menyemai aspek perpaduan. Dari segi pembelajaran pula, pelaksanaan kurikulum dan sukatan pelajaran kepada semua murid adalah sama rata. Malah, mata pelajaran mengikut bahasa ibunda juga turut dapat diajar kerana guru-guru juga terdiri daripada guru-guru yang berbilang kaum dan etnik.
Selain itu, cadangan yang seterusnya pula kepada pihak kerajaan. Pihak kerajaan adalah pihak paling penting dalam memainkan peranan untuk mengukuhkan perpaduan, melalui sistem pendidikan. Tidak dinafikan bahawa pihak kerajaan turut sama mementingkan perkara ini demi kepentingan semua pihak dan kesedaran sejak pra kemerdekaan mengenai kepentingan perpaduan ini juga menyebabkan pihak kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan dan memperbaiki sistem pendidikan di Malaysia agar konsep perpaduan dapat disemai di kalangan murid-murid sekolah. Pihak kerajaan perlu mempertingkatkan dan memperkasakan lagi segala program yang sedia ada dan telah dilaksanakan. Contohnya Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) perlu dilaksanakan dan diteruskan demi meningkatkan lagi serta menyuburkan semangat kerjasama antara kaum dan menjadi pemangkin dalam perpaduan nasional. Namun, pelaksanaan program ini janganlah hanya umpama melepaskan batuk ditangga. Pihak kerajaan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu memantau program ini dengan membuat laporan dan bukti bahawa program ini dapat dilaksanakan, pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan bukan hanya tahu duduk di dalam bilik berhawa dingin, hanya melalui orang-orang tertentu membuat laporan mengenai program yang dijalankan, tetapi perlu turut sama turun padang utnuk memantau program yang dijalankan. Selaras dengan matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk menyatukan kanak-kanak sekolah daripada pelbagai kaum, maka pihak kerajaan juga perlu menambah beberapa lagi program yang bertujuan dapat meningkatkan lagi perpaduan di kalangan murid-murid berbilang kaum dan etnik.
Cadangan seterusnya pula ialah, dengan mengadakan satu pertandingan bahasa kepada semua murid-murid berbilang kaum dan bangsa. Usaha menuju ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu bukanlah suatu yang remeh dengan hanya mengadakan program permainan, namun, pihak kerajaan perlu lebih menumpukan kepada aktiviti yang berkaitan dengan bahasa. Oleh kerana bahasa memainkan peranan penting sebagai alat bantu penghubung dan jalinan kaum-kaum terutamanya berkaitan perpaduan, maka perlu diadakan satu pertandingan yang mengasah bakat murid-murid dalam menguasai bahasa ibunda kaum lain. Sebagai contoh, pertandingan syarahan menggunakan tajuk yang sama tetapi murid-murid menggunakan bahasa ibunda murid lain dalam syarahan tersebut. Dengan cara ini, maka murid-murid bukan sahaja dapat menguasai bahasa ibunda bangsa lain, tetapi juga dapat menggunakannya dalam komunikasi harian.
Disamping itu, pihak kerajaan juga perlu membuka ruang kepada murid-murid lain yang berminat untuk belajar bahasa asing, seperti Mandrin dan Tamil, di Sekolah Kebangsaan untuk mempelajarai bahasa tersebut, seperti mana yang terdapat di dalam silibus pelajar Institusi Pengajian Tinggi selain Universiti Teknologi Mara (UiTM). Pembelajaran bahasa asing ini bukan sahaja memberi peluang kepada murid-murid mampu berkomunikasi dengan murid-murid yang berlainan kaum, tetapi memberi peluang kepada mereka dalam aspek komunikasi yang lebih luas, seterusnya mampu meningkatkan kesefahaman, toleransi dan perpaduan berlainan bangsa, seperti yang diingini oleh pihak kerajaan.
Cadangan lain pula ialah, perlu mempastikan agar kandungan buku teks dan buku aktiviti semua sekolah adalah sama. Contohnya, buku teks dan buku aktiviti Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan adalah sama dengan Buku Teks di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Dengan itu, sukatan pelajaran dan kurikulum juga adalah sama. Sistem peperiksaan juga sama, seperti isi kandungan soalan peperiksaan dan tidak wujud lagi Bahasa Melayu SK dan Bahasa Melayu SJKC atau Bahasa Melayu SJKT dalam kertas peperiksaan. Dengan kaedah ini, semua murid akan belajar perkara yang sama di dalam kelas dan menjawab soalan yang sama ketika peperiksaan. Nilai-nilai murni yang sama juga dapat diterapkan kepada semua murid. Pembelajaran pula lebih kepada penerapan nilai-nilai berasaskan perpaduan, selain belajar hanya sebagai syarat wajib lulus dalam peperiksaan.

PENUTUP

Kepelbagaian etnik yang terdapat di Malaysia sebenarnya adalah simbol kepada keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyatnya. Perbezaan dari segi cara hidup, amalan dan budaya sebenarnya bukanlah penghalang kepada amalan perpaduan yang diamalkan sejak dahulu lagi, malah amalan tersebut telah diperjuangkan semenjak sebelum kemerdekaan lagi. Perbezaan ideologi politik juga sebenarnya merangsang agar perpaduan perlu dijaga, apatah lagi kehidupan masyarakat berbilang kaum dan etnik di Malaysia merupakan identiti kepada negara. Dalam keghairahan pihak tertentu yang cuba untuk melaga-lagakan antara kaum atau etnik lain dengan kaum yang lain, pihak kerajaan tidak pernah lalai dalam mempertahankan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Secara amnya dapat disimpulkan bahawa masyarakat majmuk di Malaysia adalah lebih daripada satu kumpulan etnik serta mereka tinggal di kawasan yang sama tetapi kurang bergaul dan tidak berada dalam satu kelompok politik kerana berbeza ideologi. Masyarakat majmuk di Malaysia juga terjebak dalam pembahagian ekonomi yang jelas antara kumpulan etnik dan umum turut menyedari bahawa kaum Cina lebih menguasai kegiatan perdagangan berbanding kaum Melayu dan India. Dari aspek kehendak sosial bersama juga tidak wujud kerana setiap kaum dan etnik di Malaysia mempunyai aturan sosial mereka sendiri menyebabkan berlakunya ketegangan dan ketidakstabilan masyarakat. Oleh kerana hal seperti ini yang ingin diperjuangkan oleh kerajaan supaya ianya dapat dielakkan, maka usaha melalui pelaksanaan perpaduan dalam sistem pendidikan tidak pernah berhenti malah saban tahun sentiasa ada pembaharuan dan peningkatan dari segi pelaksanaan pelbagai program yang dapat menyuburkan perpaduan kaum di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Maka, berdasarkan perpaduan antara kaum jugalah menyebabkan pihak kerajaan telah memilih sistem pendidikan melalui sekolah telah menjadi wadah dalam menyemai dan menyuburkan aspek perpaduan kaum sejak dahulu lagi. Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam sistem pendidikan hari ini masih lagi menggunakan formula perpaduan melalui pelaksanaan kurikulum di sekolah. Ini kerana sekolah telah dianggap sebagai medan perhimpunan harian setiap hari dalam suasana yang terkawal. Dasar pendidikan negara yang memberi pemberatan kepada aspek perpaduan bukan sahaja ingin menyemai dan menyuburkan jurang antara kaum dalam bidang pendidikan, malah dalam segala perkara seperti penguasaan dalam ekonomi yang mana Kaum Melayu dan India tertinggal ke belakang berbanding Kaum Cina. Oleh itu, wujudlah pelbagai garis panduan yang dilakukan dan dicadangkan agar dalam perpaduan itu ingin dikekalkan dan disuburkan, sistem pendidikan itu turut mampu mengubah dan meningkatkan lagi tahap pencapaian kaum lain, bukan hanya kekal dalam bidang yang sama, tetapi juga dalam bidang yang berlainan. (3,417 patah perkataan).

No comments:

Post a Comment