PENGENALAN
Peribahasa
melayu ada menyebutkan, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Peribahasa ini sebenarnya sesuai ditujukan kepada bakal graduan yang
akan menamatkan pengajian di Institusi-institusi Pengajian Awam
(IPTA) dan Swasta (IPTS), dimana mereka akan berdepan dengan cabaran
yang hebat dalam mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan serta
kursus yang diambil semasa belajar. Mahu atau tidak, suka atau tidak,
bakal graduan yang bakal menamatkan pengajian akan menghadapi
kesukaran dalam mencari pekerjaan, seandainya mereka kurang menguasai
pelbagai kemahiran yang perlu ada dan perlu dikuasai oleh bakal
graduan ketika berada di universiti. Apatah lagi budaya persaingan
dalam konteks pekerjaan sama ada dalam bidang swasta atau kerajaan
semakin tinggi dan seringkali menjadi punca graduan menganggur.
Menurut Sam Hagg (2012), Pengurus Negara Manpower Staffing Services
(M) Sdn. Bhd., 6 daripada 10 graduan keluaran universiti-universiti
tempatan, akan mengambil masa sehingga enam bulan untuk mendapatkan
pekerjaan, manakala 40 peratus lagi mengambil masa yang lebih lama.
Malahan, menurut statistik yang direkodkan oleh Kementerian Sumber
Manusia pada tahun 2011, seramai 32,000 graduan gagal mendapat
pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian dari
universiti-universiti tempatan. Memiliki segulung ijazah sahaja tidak
akan menjamin seseorang bakal graduan itu untuk terus memiliki
pekerjaan. Banyak hal dan perkara yang akan diambil kira oleh
majikan-majikan yang ingin menggaji mereka. Oleh itu, suka atau
tidak, para bakal graduan sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan,
selain daripada mempersiapkan diri seawal mungkin dengan pelbagai
kemahiran, agar dapat berdepan dengan cabaran dalam persaingan
mencari pekerjaan.
Dalam
konteks kesukaran graduan mencari pekerjaan ini, bukan kredibiliti
bakal graduan itu sahaja dipersoalkan, malah kredibiliti
universiti-universiti yang melahirkan para graduan itu juga turut
sama menerima tempiasnya, terutama sekali dalam memersiapkan mereka
mendepani cabaran dalam mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan
ijazah yang dimiliki. Hal ini terbukti dalam pembentangan Rancangan
Malaysia Kesepuluh (RMK-10) oleh Perdana Menteri Malaysia, iaitu
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) paling baru dalam Institusi Pengajian
Tinggi ialah elemen kebolehpasaran graduan. Hal ini merujuk, bukan
sahaja dalam melahirkan bakal graduan yang mampu berdepan dalam
pelbagai perkara, antaranya persaingan mencari pekerjaan dan
sebagainya, tetapi juga dalam konteks yang lebih besar, iaitu
melahirkan modal insan yang diperlukan negara. Secara amnya, bakal
graduan perlu menitik beratkan beberapa kemahiran yang perlu dikuasai
ketika berada di kampus, agar dapat berdepan dengan cabaran dalam
mencari pekerjaan, seterusnya mampu melahirkan modal insan kepada
negara. Terdapat beberapa kemahiran yang akan dinilai oleh
majikan-majikan yang ingin mengambil para bakal graduan menjadi
pekerja.
Kemahiran-kemahiran
yang perlu di kuasai oleh graduan
Kemahiran
Berkomunikasi
Kemahiran
yang paling utama yang perlu dikuasai oleh bakal graduan ialah
Kemahiran Berkomunikasi. Kemahiran ini merupakan kemahiran paling
asas yang perlu diutamakan kerana majikan akan meneliti dan menguji
graduan samaada kemahiran berkomunikasi mereka adalah benar-benar
pada tahap yang diingini. Memandangkan pada masa ini Malaysia
merupakan salah sebuah negara dunia ketiga yang pesat membangun, maka
tidak hairanlah mengapa Malaysia pada masa ini dibanjiri oleh
pelabur-pelabur asing yang ingin menjalankan perniagaan yang sesuai
dengan iklim ekonomi negara. Secara tidak langsung, situasi ini akan
memerlukan tenaga kerja mahir yang pastinya boleh berkomunikasi
dengan baik, terutamanya dalam bahasa inggeris. Bukan sahaja hanya
mampu bertutur dengan fasih, tetapi juga menguasai secara lisan. Ini
kerana, penguasaan terhadap bahasa inggeris seperti berkomunikasi
dengan baik, akan membolehkan bakal graduan menghasilkan idea yang
kritis dan kreatif untuk membantu menarik minat pelabur agar mengikat
perjanjian perniagaan. Selain itu, kehendak pelanggan dalam urusan
perniagaan juga dapat difahami dengan jelas dan baik. Apabila
penguasaan kemahiran berkomunikasi ini dapat dikuasai, maka daya
keyakinan akan menjadi lebih tinggi. Malah, bakal graduan juga akan
berpeluang besar dalam mendapatkan sesuatu kerjaya kerana mempunyai
idea yang bernas selain mempunyai pengetahuan teknikal yang mantap.
Penguasaan kemahiran berkomunikasi dengan baik, terutama sekali dalam
bahasa inggeris juga mampu membantu survival bakal graduan dalam
cabaran pencarian kerjaya yang bersesuaian dengan bidang dan
kemahiran yang mereka ada, seperti yang dinyatakan oleh Dr. Marie
Aimee Torres, seorang penyelidik senior di Jabatan Pembangunan
Pelajaran, Universiti Malaya (UM), bahawa penguasaan dalam bahasa
inggeris umpama penentu kepada graduan agar lebih berkemampuan
bersaing secara efektif dalam pasaran kerja.
Kemahiran
Berpasukan
Kemahiran
yang perlu ada dan dikuasai oleh para graduan dan yang diingini
majikan juga ialah Kemahiran Kerja Berpasukan. Persaingan yang
berlaku dalam dunia pasaran pekerjaan di antara para bakal graduan
yang telah menamatkan pelajaran saban tahun menyebabkan ramai graduan
yang sukar mendapatkan pekerjaan. Seharusnya para bakal graduan perlu
menggunakan situasi tersebut dengan cuba untuk mengumpul seberapa
banyak kemahiran yang perlu digunakan selepas habis belajar kelak.
Kemahiran kerja berpasukan adalah berbeza daripada kerja individu.
Kerja berpasukan menuntut seseorang itu bekerja dengan lebih ramai
orang tetapi dalam satu kumpulan. Komitmen yang tinggi sangat
dituntut dalam kerja berpasukan. Seseorang itu perlu menunjukkan dia
adalah seorang pemain di dalam pasukan tersebut, selain mampu dan
berkeupayaan untuk menguruskan dan menjadi wakil dalam tanggungjawab
yang diberikan. Selain itu, bekerja di dalam satu pasukan juga
menuntut agar sesorang itu mampu serta dapat membina hubungan yang
positif dengan rakan sekerja, sekaligus dapat membantu mencapai
matlamat kerja dan objektif perniagaan yang dijalankan, malah mampu
meningkatkan kualiti kerja.Tambahan pula, masalah-masalah di dalam
proses seuatu pekerjaan adalah bersifat komplek serta akan
membabitkan pelbagai bahagian dan sistem. Maka secara logiknya,
penyelesaian masalah hal sedemikian adalah di luar batas kemampuan
individu. Oleh itu, penting kepada graduan agar dapat menguasai
kemahiran bekerja secara berpasukan agar mereka dapat menjalankan
kerja sekiranya diminta menguruskan sesuatu urusan secara
berkumpulan. Pendedahan yang diberikan atau yang ditimba ketika
menjalankan sesi praktikal perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para
bakal graduan, kerana ketika sesi praktikal inilah mereka akan
didedahkan dengan pengalaman kerja berkumpulan serta membina hubungan
dengan orang lain, iaitu rakan sekerja.
Kemahiran
Penyelesaian Masalah
Selain
itu, penguasaan dalam Kemahiran Penyelesaian Masalah juga penting
kepada bakal graduan dalam mencari kerja. Kemahiran ini adalah di
antara kriteria yang paling penting dan utama kepada majikan dalam
mencari pekerja. Menurut Ramon Chelvarajasingam, Ketua Pegawai Sumber
Manusia Hong Leong Bank, rata-rata graduan luar adalah lebih maju
dari aspek pemikiran kritikal, lebih inovasi, malah berfikir di luar
kebiasaan serta bermotivasi tinggi untuk maju ke hadapan, terutama
inisiatif pembangunan secara berterusan, berbanding graduan di
Malaysia. Maka, perlu bagi bakal graduan untuk cuba memajukan diri
dengan mempersiapkan diri mereka di dalam menguasai kemahiran ini.
Dalam apa jua bidang yang diceburi, semuanya tidak akan pernah
terlepas daripada menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul di dalam
kerja. Bakal graduan seharusnya lebih bersedia dari pelbagai aspek,
seperti dari aspek mental kerana penyelesaian masalah merupakan
proses mental dalam mengatasi halangan ketika melakukan sesuatu
tugasan. Walaupun boleh mendatangkan cabaran, namun kejayaan dalam
menyelesaikan masalah itu akan menimbulkan keseronokan. Malah, dari
satu sudut pula, kemahiran penyelesaian masalah ini perlu dikuasai
kerana ini merupakan satu kelebihan kerana dapat menyelesaikan
sesuatu permaslahan dari pelbagai aspek. Maka, bakal graduan perlu
mengambil peluang yang ada ketika menjalani praktikal untuk sama-sama
terlibat dalam situasi yang memerlukan penyelesaian masalah dengan
memberi sumbangan idea yang bernas bagi menyelesaikan masalah.
Kemahiran ini juga adalah di antara kriteria-kriteria penting yang
perlu ada pada bakal graduan di dalam proses mencari kerja kelak.
Kemahiran
Kepimpinan
Selain
itu, Kemahiran Kepimpinan juga perlu dikuasai oleh bakal graduan.
Kejayaan sesebuah perniagaan atau jatuh bangunnya sesuatu itu adalah
berdasarkan kepada kepimpinan. Kriteria ini juga sangat penting untuk
dikuasai oleh bakal graduan, sebagai salah satu daripada antara
beberapa kemahiran-kemahiran yang penting untuk dikuasai. Walaupun
bakal graduan tidak akan memegang jawatan tertinggi terus ketika
menceburkan diri di dalam bidang pekerjaan, namun mereka perlu
menunjukkan potensi sebagai seorang pemimpin, yang mampu menggalas
tanggungjawab yang diberikan, seterusnya melaksanakan tugas tersebut
kerana ciri-ciri kepimpinan juga akan dinilai oleh majikan. Mereka
juga perlu mampu menunjukkan potensi dalam memotivasikan serta
memberi dorongan kepada rakan sekerja yang akan bekerja bersama
mereka kelak. Apa yang paling penting di dalam sikap kepimpinan ini
ialah, bakal graduan perlu tahu tentang tugasan yang diterima
seterusnya melaksanakan tugasan yang diberi dengan baik, menentukan
tarikh akhir tugasan serta menunjukkan kepimpinan dengan memberikan
contoh-contoh yang baik kepada orang lain atau rakan setugas yang
lain. Kemahiran Kepimpinan sebenarnya telah dipupuk ketika menuntut
di universiti di kalangan para bakal graduan, samaada secara langsung
mahupun tidak langsung.
Kemahiran
Pengurusan
Seterusnya,
bakal graduan perlu memiliki Kemahiran Pengurusan. Melalui kemahiran
ini, majikan akan menilai samaada graduan itu mampu menguruskan
sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya. Malah, majikan
juga akan mempastikan juga samaada graduan itu mampu melakukan kerja
secara efisien dan produktif, untuk menjamin kualiti kerja yang baik
serta pada tahap yang diingini. Dalam kemahiran pengurusan ini,
perkara yang sangat penting juga ialah pengurusan masa. Kemampuan
mengurus yang baik terutamanya di dalam memutuskan untuk melakukan
kerja yang perlu diberi keutamaan dan fokus serta perlu diselesaikan
mengikut masa juga akan diambil kira oleh majikan. Kemahiran
pengurusan yang baik adalah bonus buat sesuatu organisasi kerana
bukan sahaja mempunyai pekerja yang cekap dan efisien dalam melakukan
tugasan yang diberi, tetapi juga sebagai jaminan kepada penghasilan
kerja yang berkualiti, malah mampu memuaskan hati pelanggan.
Cadangan
kepada bakal graduan, Badan Kerajaan atau Institusi Pendidikan di
Malaysia bagi mempastikan bakal graduan dilengkapi dengan
kemahiran-kemahiran yang diperlukan
Berdasarkan
kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh bakal graduan seperti
yang terdapat di atas, maka adalah perlu bagi para bakal graduan itu
sendiri, dengan inisiatif yang ada, agar dapat menambah kelengkapan
di dalam memiliki kemahiran-kemahiran tersebut. Selain itu,
pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti badan-badan kerajaan dan
institusi-institusi pendidikan rendah atau tinggi perlu mengambil
langkah dan insiatif agar dapat mempersiapkan bakal graduan dalam
menghadapi cabaran dalam globalisasi pencarian kerjaya agar mampu
bersaing, malah setanding dengan tenaga-tenaga mahir yang terdapat di
luar sana serta di lahirkan oleh universiti-universiti lain. Secara
amnya, bakal graduan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab itu perlu
menitikberatkan penguasaan Kemahiran Insaniah di kalangan bakal
graduan, kerana kemahiran ini adalah merupakan rangkuman kepada aspek
kemahiran generik, iaitu aspek kemahiran yang sangat diperlukan dalam
dunia pekerjaan yang bersifat global. Maka wajiblah bagi bakal
graduan perlu menilai dan menepati kehendak pasaran kerja yang kian
mencabar. Apatah lagi dengan perubahan teknologi pada masa ini yang
sangat pantas.
Cadangan
kepada bakal graduan
Cadangan
yang pertama ialah kepada bakal graduan itu sendiri, iaitu dengan
memastikan agar mereka perlu lebih aktif dan rajin dalam menyertai
pelbagai aktiviti atau program yang dapat membantu mereka dalam
menguasai kemahiran berkomunikasi, terutamanya di dalam bahasa
inggeris. Secara amnya, penguasaan kemahiran berkomunikasi merupakan
kriteria utama yang akan dinilai dan diperlukan oleh majikan terhadap
graduan yang mencari pekerjaan. Sepertimana yang telah dinyatakan
oleh Sam Haggag, Pengurus Negara Manpower Staffing Services (M) Sdn.
Bhd. bahawa kurang penguasaan bahasa inggeris menyebabkan kebolehan
para graduan dalam berkomunikasi di luar sempadan Malaysia,
membolehkan mereka kurang yakin dan upaya dalam penambahan nilai di
tempat kerja. Melalui kenyataan tersebut maka bakal graduan perlu
lebih komited dalam penguasaan bahasa inggeris. Penguasaan kemahiran
berkomunikasi ini, terutamanya penguasaan dalam bahasa inggeris juga
membolehkan bakal graduan dapat mempertingkatkan lagi tahap keyakinan
berkomunikasi mereka dengan orang luar, iaitu pelabur-pelabur atau
peniaga-peniaga dari negara luar. Malahan, dengan keyakinan yang
tinggi apabila dapat menguasai kemahiran berkomunikasi, terutamanya
dari aspek lisan, maka mereka akan dapat menyalurkan pelbagai idea
yang kritis dan kreatif disebabkan kemampuan mereka berkomunikasi
dengan baik menggunakan bahasa inggeris. Oleh itu, para bakal graduan
perlu berusaha dengan mengambil peluang yang sedia ada sekiranya
mereka ingin menguasai bahasa tersebut dengan lebih baik lagi
disamping perlu lebih komited dengan memilih inisiatif sendiri untuk
mempersiapkan diri dalam menghadapi karenah majikan yang menginginkan
penguasaan komunikasi dalam bahasa inggeris pada tahap yang tinggi
atau standard.
Cadangan
yang kedua pula ialah, bakal graduan perlu atau wajib menyertai
aktiviti-aktiviti persatuan samaada di dalam, mahupun di luar kampus,
dengan pihak universiti perlu memantau atau menghadkan penglibatan
bakal graduan sekiranya terlibat dengan persatuan luar kampus.
Penglibatan di dalam aktiviti persatuan ini kepada bakal graduan
ialah, melaluinya, bakal graduan akan dapat meningkatkan keyakinan
ketika berdepan dengan orang ramai, selain mengasah kemahiran
berkomunikasi mereka dengan komuniti yang ada di dalam persatuan yang
disertai. Dari aspek individual pula, penglibatan ini akan membantu
bakal graduan memupuk semangat dalam kerja berpasukan. Malah, ianya
merupakan pendedahan kepada bakal graduan sebelum memasuki alam
kerjaya yang sebenar dalam perkongsian idea dan mengemukakan idea
yang kritis untuk sesuatu maklumat sekiranya ingin menyelesaikan
masalah. Dari itu, bakal graduan juga dapat menggunakan kesempatan
tersebut untuk membiasakan diri dengan perkongsian idea dengan
komuniti yang terlibat di dalam persatuan tersebut. Selain itu, bakal
graduan juga dapat memupuk diri dengan sifat kepimpinan dalam diri
mereka dengan menjadi pemimpin kepada rakan yang lain. Ini kerana,
kemahiran-kemahiran tersebut, seperti kemahiran kerja berpasukan dan
kemahiran kepimpinan merupakan aspek dan kriteria yang dicari oleh
majikan. Penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti persatuan juga
merupakan satu batu loncatan buat bakal graduan dalam mempuku
seterusnya membiasakan dri mereka dengan kemahiran pengurusan
organisasi. Ianya umpama suatu pendedahan kepada bakal graduan dalam
salah seorang daripada pekerja yang bakal menguruskan sesuatu
organisasi.
Cadangan
yang ketiga pula ialah aplikasi praktikal. Cadangan ini melibatkan
penglibatan institusi-institusi pendidikan yang menjadi pengeluar
kepada bakal-bakal graduan yang akan berdepan dengan cabaran global
pasaran kerja kelak. Aplikasi praktikal membolehkan bakal graduan
lebih bersedia dalam berdepan dengan situasi sebenar di dalam
pekerjaan yang bakal diceburi kelak. Melalui pengaplikasian ini juga,
bakal graduan akan dapat mempersiapkan diri dengan kehendak dan
keperluan yang perlu dipenuhi oleh pelanggan. Selain itu, melalui
aplikasi praktikal ini juga, bakal graduan akan mempunyai lebih
kesedaran lagi terhadap tugas yang bakal dilaksanakan dan digalas
kelak. Sebagai contohnya, dalam bidang perubatan dimana pengalaman
dan pengetahuan klinikal adalah lebih diutamakan berbanding amali,
ini kerana, situasi yang bakal dihadapi kelak adalah berbeza dan
sekiranya aplikasi praktikal kurang dilakukan, maka bakal graduan
perubatan akan menghadapi kesukaran dalam menghadapi situasi di
tempat mereka bekerja kelak. Malah, mereka juga tidak akan dapat
mempersiapkan diri menguasai sesuatu prosedur. Begitu juga halnya
dengan bidang praktikal kerja yang lain, seperti bidang kejuruteraan,
perbankan dan pendidikan. Pendek kata, aplikasi praktikal adalah
perlu diutamakan oleh institusi pendidikan kepada bakal graduan.
Disamping itu, kaedah ini turut dapat meningkatkan kualiti kerja
mereka kelak kerana sudah biasa dalam melakukan tugasan yang
diberikan ketika menjalani sesi praktikal. Malahan, aplikasi
praktikal ini juga akan melahirkan tenaga kerja mahir yang menjadi
antara kriteria pilihan majikan.
Cadangan
kepada Institusi-institusi pendidikan
Cadangan
yang keempat ialah, pendedahan awal aspek kerjaya kepada bakal
graduan. Institusi-institusi pendidikan perlu mengambil kesempatan,
agar memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah khasnya tentang
kerjaya yang ditawarkan kelak dengan mengikuti pengajian yang
ditawarkan di universiti-universiti tempatan. Dengan adanya
pendedahan ini kepada murid-murid sekolah, maka secara tidak
langsung, ini akan dapat membantu mereka lebih bersedia sedari awal
apakah bidang yang ingin diceburi kelak ketika menuntut di
universiti. Mereka akan dapat mengumpul seberapa banyak keperluan
yang penting, seperti kemahiran-kemahiran insaniah yang perlu
dikuasai dan dimiliki sebelum melangkahkan kaki ke gerbang kerjaya
kelak. Sebagai contoh, ekspo kerjaya yang diadakan di sekolah-sekolah
menengah saban tahun adalah bertujuan dalam memperkenalkan bidang
kerjaya yang memerlukan tenaga mahir kelak sekaligus memberi mereka
persediaan agar dapat bersedia berdepan dengan situasi sebenar alam
kerjaya yang mencabar. Pihak institusi-institusi pendidikan yang
berkaitan juga perlu mengadakan program berkaitan dengan
keusahawanan, kerana melalui program ini bakal-bakal graduan akan
dapat mengaplikasikan kebolehan yang mereka ada untuk menghasilkan
produk atau menjual produk. Dengan adanya lebih banyak lagi program
keusahawanan ini, lebih banyak manfaat serta kemahiran insaniah yang
dapat dipupuk serta dikuasai oleh bakal graduan.
Cadangan
kelima pula ialah institusi-institusi pendidikan juga perlu
memperbanyakkan dan mempelbagaikan program-program ilmiah yang dapat
membantu penguasaan kemahiran berkomunikasi bakal graduan, terutama
sekalai dalam bahasa inggeris. Hal ini kerana, penggunaan bahasa
inggeris khasnya secara lisan di kalangan graduan universiti luar
lebih baik berbanding graduan universiti-universiti tempatan. Ini
dapat dibuktikan melalui kenyataan oleh Dr Marie Aimee Tourres, iaitu
Pengkaji Senior di Jabatan Pembangunan Pelajaran Universiti Malaya
(UM), walaupun orang-orang di Pakistan, terutamanya graduan-graduan
di sana menggunakan pelbagai jenis dialek selain bahasa Urdu, namun
penggunaan bahasa inggeris mereka adalah lebih bagus berbanding
graduan di Malaysia. Dengan mempelbagaikan program ilmiah berkaitan
kemahiran komunikasi ini, maka sedikit sebanyak ia akan dapat
membantu meningkatkan penguasaan kemahiran berkomunikasi, terutamanya
bahasa inggeris ke tahap yang lebih baik lagi. Maka pihak-pihak
berkenaan perlu menggubal kurikulum mereka agar dapat dibuat
penambahbaikan ke arah menghasilkan bakal graduan yang dapat
menguasai bahasa inggeris, setanding graduan-graduan luar.
Cadangan
kepada Badan kerajaan
Seterusnya,
cadangan keenam pula ialah, perlu wujud kerjasama antara badan
kerajaan yang berkaitan dengan institusi-institusi pendidikan
tempatan. Badan kerajaan yang berkenaan ialah Kementerian Pengajian
Tinggi dan Kementerian Pelajaran, selain badan-badan kerajaan lain
yang berkaitan dengan pelbagai bidang. Dengan adanya kerjasama ini,
maka akan lebih banyak lagi program dapat diadakan dalam membantu
bakal graduan meningkatkan lagi tahap kreativiti mereka, sekaligus
dapat mengetengahkan bakat serta membantu mereka mempersiapkan diri
berdepan cabaran global pasaran kerja dan menguasai malahan mengasah
kemahiran insaniah yang perlu ada dalam diri untuk mencari pekerjaan
kelak dengan berasaskan program-program yang mampu merangsang
kemahiran berfikir mereka. Sebagai contoh pada masa ini, pihak
berkenaan menganjurkan Pertandingan Robotik, yang antara lainnya
bertujuan mendidik bakal graduan dalam menghasilkan karya yang
canggih untuk manfaat generasi akan datang. Pihak-pihak berkenaan
juga perlu memperbanyakkan lagi program-program seperti rekacipta dan
program-program yang dapat membantu meningkatkan lagi kemahiran
berkomunikasi bakal graduan ini terutamanya dalam bahasa inggeris,
program-program yang mengutamakan kepimpinan dikalangan bakal-bakal
graduan serta program-program yang memerlukan bakal graduan
berhadapan dengan orang ramai bagi meningkatkan tahap keyakinan diri
mereka.
Rumusan
Kemahiran
insaniah atau soft
skills merupakan
intipati utama dalam pengajian di universiti-universiti tempatan,
samaada secara langsung ataupun tidak, merupakan kemahiran yang perlu
dimiliki serta dikuasai oleh bakal graduan sekiranya mereka ingin
mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan segulung
ijazah yang dimiliki. Malahan, kemahiran insaniah ini turut mampu
melahirkan graduan yang kompeten serta mampu mendepani masa depan
dengan baik. Berdasarkan situasi global pasaran kerja pada masa ini,
yang mana majikan-majikan yang akan mengambil bakal-bakal graduan
bekerja kelak, maka adalah sangat penting agar bakal-bakal graduan
mempunyai kemahiran-kemahiran insaniah, kerana selain menjadi
keutamaan kepada majikan, ia juga mampu menjadikan seseorang itu
lebih bijak dan memiliki kebolehan berfikir dan bertindak, seperti
yang dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohammad
Khaled Nordin kepada Berita Harian (2010), iaitu graduan berkualiti
akan menyumbang kepada kekuatan modal insan atau bakat yang
diperlukan negara. Oleh yang demikian, kemahiran insaniah bukan
sahaja berfungsi dalam membantu bakal graduan mendapatkan kerja,
tetapi juga berfungsi sebagai alat dalam melahirkan modal insan yang
cemerlang. Dengan kerjasama semua pihak berkaitan, terutamanya dalam
penganjuran pelbagai program, maka bakal graduan akan dapat
mempersiapkan diri mereka melalui kemahiran insaniah yang menjadi
keutamaan seperti penguasaan bahasa inggeris dengan baik di dalam
kemahiran berkomunikasi. Sekiranya semua kemahiran insaniah itu dapat
dimiliki oleh bakal graduan, maka statistik pengangguran dikalangan
graduan akan berkurangan saban tahun, kerana keupayaan graduan
kelahiran universiti-universiti tempatan yang mampu bersaing serta
setanding dengan graduan universiti luar. (3, 039 patah perkataan).
No comments:
Post a Comment