Myself

Myself

Tuesday 30 April 2013

Tugasan HBMT1203 : BUKU KERJA MATEMATIK PRASEKOLAH


PENGENALAN



Prasekolah merupakan peringkat awal dalam pendidikan awal kanak-kanak iaitu berumur 4 hingga 6 tahun sebelum beralih ke sekolah rendah. 80% perkembangan otak kanak-kanak mencapai kesempurnaan pada tahap pra sekolah ini. Mereka perlu dirangsang dengan baik untuk membangunkan kecerdasan pelbagai dan antaranya ialah dalam bidang Matematik. Oleh kerana itulah, maka perkembangan dunia pendidikan mula membuat orang dewasa sedar akan pentingnya pendidikan kanak-kanak sejak awal dan pelbagai sekolah turut menggunakan pelbagai model pendekatan pembelajaran untuk menarik perhatian kanak-kanak. Selaras dengan matlamat pendidikan prasekolah itu sendiri iaitu, menyuburkan potensi murid dalam semua bidang selain menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan memasuki sekolah rendah, beberapa objektif perlu dicapai dan antaranya ialah mempunyai kemahiran kognitif untuk berfikir dan menyelesaikan masalah. Dalam bidang matematik pula, penting bagi setiap guru agar memperkenalkan kepada kanak-kanak akan konsep asas matematik. Guru perlu membina pengetahuan dan pemahaman kanak-kanak dalam bidang matematik kerana matematik melibatkan nombor serta penyelesaian masalah.

Disamping itu, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) telah digubal dalam memastikan penghasilan produk negara yang berkualiti menerusi generasi baru seawal umur empat tahun didedahkan dengan pendidikan prasekolah yang merangkumi pelbagai aspek. Salah satunya adalah dalam matematik. Untuk pengajaran matematik bagi murid-murid prasekolah, pemilihan buku kerja yang sesuai adalah sangat penting. Guru perlu mencari buku yang menyeluruh dari segi konsep dan kemahiran agar murid-murid dapat memahami konsep matematik seterusnya dapat menguasai kemahiran yang diajar. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang terdapat di dalam buku tersebut pula mestilah menarik dari segi ilustrasinya agar murid-murid prasekolah merasa seronok menjawab soalan serta mampu mengekalkan tumpuan serta perhatian mereka ketika belajar. Buku kerja yang saya hasilkan ini adalah buku kerja Matematik khusus untuk murid-murid prasekolah. Terdapat tiga Topik dalam buku ini iaitu Operasi tambah dalam lingkungan nombor 10, Duit dan Bentuk Tiga Dimensi. Setiap set soalan mempunyai teknik dan cara menjawab yang berbeza serta perlu dikuasai oleh murid-murid prasekolah agar mudah untuk mereka meneruskan pembelajaran di sekolah rendah kelak. Setiap satu topik mengandungi dua aktiviti. Setiap aktiviti pula memenuhi kehendak atau matlamat dalam pembelajaran murid prasekolah.



Topik : OPERASI TAMBAH SEHINGGA NOMBOR 10

Operasi tambah merupakan operasi cepat dan efisien dalam pengiraan. Penambahan serta Pengiraan merupakan dua perkara yang sama namun operasi Penambahan adalah lebih cepat berbanding Pengiraan.


Objektif Aktiviti

Dalam topik ini, pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid akan dapat menyatakan hasil tambah dua himpunan objek. Sama ada secara lisan ataupun tulisan. Jika dalam tulisan, murid akan menulis jawapan yang betul pada buku manakala melalui lisan, murid akan menjawab soalan dengan menyatakan jawapan pada soalan yang diberikan. Murid juga akan dapat menyatakan ayat matematik operasi tambah secara lisan. Murid akan membaca soalan yang diberikan. Contohnya (2+2=4) dan dibaca sebagai dua tambah dua sama dengan empat. Dalam aktiviti satu yang saya buat, berdasarkan soalan yang diberikan, murid bukan sahaja menggunakan lisan tetapi juga tulisan untuk menjawab soalan tersebut. Konsep ‘lebih dari’, ‘dan satu lagi’ dan ‘tambah satu lagi’ diperkenalkan dalam soalan tersebut untuk menambah lagi kefahaman murid mengenai operasi tambah dan murid akan berupaya untuk menjawab soalan tersebut. Malah, dengan menggunakan konsep yang diperkenalkan itu juga, guru dapat menimbulkan satu situasi sebagai contoh kepada murid sebelum meminta mereka menjawab soalan yang diberikan di dalam aktiviti satu. Manakala dalam aktiviti dua juga sama, konsep-konsep tadi turut digunakan untuk menambah kefahaman murid.

Selain itu, aktiviti dalam kedua-dua set soalan topik ini akan dapat membantu murid memahami seterusnya dapat membantu murid-murid menguasai topik penambahan. Dengan memahami konsep terlebih dahulu, menggunakan alat bantu pengajaran dan pembelajaran, guru akan cuba membantu murid dengan menggunakan benda-benda maujud terlebih dahulu sebelum beralih ke soalan yang terdapat dalam buku kerja. Soalan tersebut juga merupakan soalan latih tubi untuk murid-murid menguasai topik penambahan dengan lebih cepat. Malahan, murid juga bukan sahaja belajar dengan menggunakan kertas dan pensil, tetapi juga pergerakan motor seperti penggunaan jari dan menyebut ayat matematik yang terdapat pada soalan yang diberikan.








Alat Bantu Pengajaran dan Pembelajaran

Dalam operasi pengiraan Matematik, memahami konsep adalah sangat penting kepada murid-murid sebelum mereka memulakan sesuatu operasi pengiraan. Dalam topik Operasi tambah dalam lingkungan nombor 10 ini, guru-guru boleh menggunakan teknik bercerita serta menggunakan benda maujud atau konkrit untuk dijadikan sebagai material dalam menunjukkan konsep yang ingin difahami oleh murid. Sebagai contoh, guru menggunakan guli, buah oren, buah epal dan sebagainya. Malah, paling penting sekali ialah, guru akan mengaitkan situasi pada soalan dengan situasi dalam kehidupan kita sebenar, agar mudah bagi murid untuk mengaplikasi operasi yang dipelajari itu. Selain itu, murid perlu dibiasakan menggunakan perkataan harian yang biasa dituturkan seperti ‘dan’, ‘buat’, dan ‘sama dengan’, iaitu antara perkataan yang berkaitan dengan operasi tambah. Guru juga boleh menggunakan papan pengiraan pelbagai bentuk seperti papan putih bersaiz sederhana dengan blok magnet berwarna-warni serta pelbagai bentuk agar mudah melekat pada papan putih.

Guru juga boleh menggunakan pelbagai kad nombor yang dicipta sendiri menggunakan kertas manila yang dipotong mengikut saiz segiempat sama sederhana besar kemudian ditulis dengan nombor. Dengan kad-kad nombor ini, guru boleh mengaplikasikan operasi tambah menggunakan bahan-bahan konkrit dan benda-benda maujud untuk menambah kefahaman murid.



Langkah dalam Mengendalikan Aktiviti

Dalam aktiviti satu pada soalan yang dibuat, guru perlu membuat penerangan terlebih dahulu untuk menjawab soalan yang diberikan. Murid perlu menyebut jumlah kucing yang terdapat pada kotak pertama secara lisan terlebih dahulu sebelum membuat penambahan. Guru meminta murid menyebut jumlah kucing yang terdapat dalam kotak yang kedua. Kemudian murid akan menambahkan jumlah kucing yang terdapat pada kedua-dua kotak untuk mendapatkan jumlah sebenar kucing menggunakan jari atau pengiraan nombor 1 hingga nombor 10 ataupun menggunakan benda maujud yang sesuai seperti guli atau batang aiskrim. Apabila mendapat jumlah sebenar kucing pada kedua-dua kotak, maka murid akan menyebut terlebih dahulu nombor jumlah atau jawapan penambahan tersebut dan kemudian menulis nombor atau jawapan pada kotak yang disediakan.

Dalam aktiviti dua pula, murid perlu menulis nombor pada kotak yang disediakan di bawah gambar basikal. Nombor yang perlu ditulis oleh murid pula ialah nombor yang mewakili jumlah basikal yang terdapat pada gambar atau pada gambar yang terdapat dalam soalan. Setelah menulis nombor jumlah basikal pada kotak yang disediakan, maka murid perlu menjumlahkan nombor tersebut dengan pengiraan menggunakan benda maujud atau konkrit seperti guli, lidi, batang aiskrim dan sebagainya untuk mendapatkan jumlah sebenar basikal yang terdapat pada gambar dalam soalan dan murid akan menulis jawapan atau nombor jumlah basikal yang telah dikiranya.



Topik : DUIT

Kanak-kanak mendapat banyak pengetahuan matematik melalui penggunaan wang dalam kehidupan harian mereka. Belajar untuk mengira dan menggunakannya serta mengecam duit, penggunaan wang syiling adalah kemahiran asas yang penting untuk dikuasai pada usia murid-murid prasekolah. Penggunaan atau perbelanjaan duit merupakan cara yang menarik dalam memperkukuhkan kemahiran asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi selain kemahiran berbahasa. Memahami serta mengetahui pertukaran nilai wang ketika berbelanja dan pembelian barang adalah sangat penting.



Objektif Aktiviti

Lazimnya, duit sama ada syiling ataupun wang kertas mempunyai nilai-nilai tertentu yang tertera pada duit tersebut agar mudah untuk membezakan nilainya. Penting bagi murid-murid prasekolah untuk mengenali seterusnya mengetahui nilai wang syiling dan kertas untuk memudahkan mereka menggunakan wang dalam situasi kehidupan yang sebenar. Dalam topik ini, pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid akan dapat mengecam duit yang berlainan nilainya iaitu duit dalam bentuk wang kertas dan dalam bentuk duit syiling dalam mata wang Malaysia yang diwakili oleh simbol ‘RM’ dan ‘sen’. Dalam aktiviti satu untuk topik ini, murid akan dapat mengenal wang kertas bernilai RM1 iaitu dari segi bentuk dan warnanya. Manakala dalam aktiviti dua, murid akan dapat mengenal wang kertas RM5 setelah membuat penambahan lima keping wang kertas RM1.

Murid akan dapat mengenal wang kertas dengan mengetahui nilai setiap wang kertas menggunakan warna-warna yang berbeza. Murid juga akan dapat mengetahui ciri-ciri setiap wang kertas seperti RM1 berwarna biru, RM5 berwarna hijau dan RM10 berwarna merah. Murid juga akan dapat mengetahui wang mana yang mempunyai nilai yang paling tinggi dan nilai yang paling rendah.








Alat Bantu Pengajaran dan Pembelajaran

Penggunaan syiling contoh ataupun syiling sebenar adalah sangat penting dalam topik ini, agar murid lebih mengenali syiling tersebut. Begitu juga dengan wang kertas. Bagi aktiviti satu, iaitu mengecam wang kertas bernilai RM1, guru boleh menggunakan lagu bertajuk ‘Ten Little Sen’ iaitu menggunakan lirik lagu tersebut berserta syiling dan wang kertas untuk digunakan di dalam lagu ini. Terlebih dahulu, guru perlu mengajar murid-murid lagu tersebut dengan menyediakan liriknya untuk dihafal oleh murid-murid atau sekurang-kurangnya boleh dinyanyikan mengikut rentak lagu ‘Ten Little Indians’. Ketika murid-murid sedang menyanyikan lagu tersebut, guru perlu meletakkan setiap wang syiling yang disebut oleh murid pada papan bermagnet seperti contohnya, jika lima sen yang disebut, guru akan meletakkan syiling lima sen pada papan bermagnet. Untuk wang kertas pula, lirik yang menyebut ‘sen’ akan ditukar dengan perkatan ‘ringgit’ dan guru akan melakukan perkara yang sama iaitu meletakkan wang kertas pada papan bermagnet mengikut wang kertas yang disebut oleh murid ketika menyanyi.

Dalam aktiviti dua pula, guru akan menggunakan wang kertas sebenar bernilai RM1 beberapa keping serta RM5 dan RM10. Guru perlu menunjukkan kepada murid jumlah wang kertas RM1 sebanyak lima keping dan menjadikan nilai wang tersebut sebanyak RM5. Guru akan menggunakan wang kertas RM5 sebagai ganti kepada lima keping wang RM1 tadi dan bukannya wang kertas RM10 yang digunakan untuk lima keping wang RM1. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, dengan menggunakan syiling serta wang kertas sebenar, guru boleh membuat lakonan aplikasi aktiviti jual beli yang melibatkan murid-murid. Dengan cara ini, murid-murid akan dapat mengetahui nilai wang mereka ketika membeli.



Langkah dalam Mengendalikan Aktiviti

Dalam aktiviti satu, guru perlu meletakkan wang kertas bernilai RM1, RM5 dan RM10 terlebih dahulu pada papan bermagnet. Guru akan melabel wang-wang tersebut mengikut nilainya menggunakan nombor dan perkataan. Contohnya wang kertas RM1 di tulis ‘RM1’ dan ‘Satu Ringgit’. Begitu juga dengan wang kertas lain seperti wang kertas RM5 dan RM10. Murid akan menjawab soalan yang diberi berdasarkan wang-wang yang terdapat pada papan bermagnet. Murid akan menjawab soalan tersebut dengan menulis nombor nilai wang yang terdapat pada soalan serta menulis dengan perkataan nilai wang tersebut.

Bagi aktiviti dua, menggunakan wang-wang yang sama yang dilekatkan pada papan bermagnet juga, murid akan memilih nilai wang bagi hasil jumlah wang-wang yang disediakan pada sebelah kiri. Murid akan mengira dan membuat operasi penambahan untuk mendapatkan jumlah-jumlah wang kertas yang diberikan. Murid hanya perlu membulatkan sahaja jawapan pilihan mereka iaitu membulatkan pada wang kertas yang mewakili nilai jumlah wang di sebelah kiri.



Topik : Bentuk Tiga Dimensi

Kanak-kanak seawal umur empat hingga enam tahun kurang berkemampuan dalam menggambar atau membayangkan bentuk ataupun pepejal. Bagi mereka, kedua-duanya adalah sama dan mengelirukan. Kanak-kanak belajar mengenai bentuk geometri seperti bentuk tiga dimensi adalah melalui pendedahan sewajarnya dalam aktiviti pembelajaran dan pengalaman.



Objektif Aktiviti

Murid perlu mengetahui dan membezakan bentuk Dua Dimensi dan bentuk Tiga Dimensi. Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran topik ini, murid akan mengenali nama dan bentuk Tiga Dimensi. Dalam aktiviti satu, murid perlu mengenali nama-nama bentuk Tiga Dimensi dan bagaimana bentuknya agar murid mengingati bentuk dan nama objek-objek tiga demansi yang diajar oleh guru. Manakala dalam aktiviti dua pula, murid akan mewarnakan bentuk yang sama dengan objek contoh yang bertujuan untuk tidak mengelirukan murid-murid antara bentuk Dua Dimensi dan bentuk Tiga Dimensi agar murid bertambah ingat bentuk tiga dimensi selain akan dapat mengecam bentuk tiga dimensi di dalam kehidupan atau situasi sebenar mereka.

Disamping itu, murid akan lebih mengenali bentuk-bentuk dan ciri-ciri objek-objek dua dimensi dan tiga dimensi. Setiap bentuk objek tiga dimensi juga mempunyai nama tertentu, mengikut ciri-cirinya yang perlu diketahui oleh murid. Contohnya, kuboid mempunyai lapan bucu, empat segiempat tepat dan dua segiempat sama. Selain itu, murid-murid juga akan dapat membandingkan pelbagai benda yang mempunyai bentuk-bentuk yang sama dengan objek berbentuk tiga dimensi. Sebagai contoh, bola mempunyai persamaan dengan bentuk sfera dan kotak tisu pula mempunyai persamaan dengan bentuk kuboid.



Alat Bantu Pengajaran dan Pembelajaran

Dalam pembelajaran bentuk tiga dimensi ini, guru memerlukan benda maujud atau konkrit, iaitu objek sebenar bentuk-bentuk tiga dimensi utama seperti bentuk kuboid, bentuk kiub, piramid, sfera dan silinder. Dengan memperlihatkan objek-objek sebenar tiga dimensi, murid akan senang dan dapat mengingat bentuk-bentuk tersebut. Selain itu, bentuk-bentuk tersebut perlulah dilabel dengan namanya agar murid dapat menyebut namanya sambil memegang bentuk objek yang disebut itu. Dalam aktiviti satu untuk topik bentuk tiga dimensi ini, murid-murid perlu mengetahui nama dan memadankan dengan bentuknya.

Disamping itu, dengan menggunakan bentuk-bentuk objek yang telah dilabel dengan nama itu tadi, guru akan menerangkan ciri-ciri bentuk tiga dimensi tersebut. Guru juga perlu memberi persamaan bentuk objek tersebut dengan objek lain. Guru perlu menggunakan objek lain selain bentuk tiga dimensi seperti bola, buku, kotak tisu ataupun sandwich. Sekiranya tidak terdapat objek-objek berbentuk tiga dimensi, guru perlu kreatif dan bertindak bijak dengan membina objek-objek berbentuk tiga dimensi menggunakan kertas manila. Guru juga boleh menggunakan benda-benda yang berbentuk tiga dimensi seperti buku dan kotak sebagai alat bantu pengajaran dan pembelajaran. Guru juga boleh melakar bentuk-bentuk objek tersebut pada kertas manila dan melabelkan nama objek tersebut untuk memudahkan murid menghafal atau mengingati objek tersebut.



Langkah dalam Mengendalikan Aktiviti

Dalam aktiviti satu topik bentuk tiga dimensi ini, murid perlu menyebut nama bentuk pada sebelah kanan dan membacakan ciri-ciri bentuk nama objek yang disebut itu. Kemudian murid-murid memadankan nama yang tersenarai pada sebelah kanan kepada bentuk-bentuk tiga dimensi tersebut yang terdapat di sebelah kiri. Murid akan menyebut nama bentuk dan menunjukkan bentuk objek berdasarkan nama yang disebut itu. Manakala dalam aktiviti dua untuk topik bentuk tiga dimensi ini, murid perlu memilih apakah bentuk yang sesuai atau yang sama dengan objek yang disediakan, kemudian murid perlu mewarnakan bentuk tiga dimensi yang dipastikan sama bentuknya dengan objek yang berada di sebelah kiri. Objek-objek tersebut merupakan objek-objek yang biasa ditemui dalam situasi sebenar kehidupan murid-murid.



PENUTUP

Bidang pengajaran matematik tidak sama dengan pengajaran mata pelajaran yang lain. Apatah lagi pengajaran matematik untuk prasekolah yang jauh lebih mencabar berbanding murid-murid sekolah rendah. Untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran, guru perlu mempastikan bahawa murid-murid telah menguasai dua per tiga daripada objektif yang disenaraikan. Penggunaan lembaran kerja yang sesuai adalah penting agar murid-murid dapat menguasai konsep serta kemahiran yang diajar oleh guru. Banyak elemen yang perlu diambil kira jika ingin menggunakan beberapa buah buku kerja untuk kegunaan murid. Buku yang digunakan bukan sahaja perlu mengikut sukatan pelajaran yang sama dengan sukatan pelajaran semasa, malah perlu sesuai dan mencapai semua peringkat kemahiran yang dipelajari. Dari segi penghasilan buku tersebut pula, terutamanya elemen ilustrasi, buku tersebut perlu menarik dari segi penyampaian warna kerana murid-murid prasekolah lazimnya akan tertarik dengan buku-buku yang berwarna dan menarik.

Bagi guru pula, buku-buku kerja yang digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran sebagai buku kerja perlulah sesuai mengikut umur dan tahap kebolehan murid. Ini kerana, tahap setiap murid adalah berbeza-beza. Oleh itu, guru perlu memilih buku yang sesuai tahap atau arasnya untuk semua murid. Penggunaan buku yang berlainan boleh dipakai tetapi hanya sesuai digunakan untuk aktiviti pengukuhan. Buku yang digunakan sebagai buku kerja untuk murid-murid akan menjadi alat bantu pengajaran dan pembelajaran yang memudahkan tugas guru kerana guru tidak perlu mencetak atau mencari soalan daripada sumber-sumber lain lagi kerana sudah mempunyai buku kerja yang sesuai untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment