Myself

Myself

Tuesday 4 December 2012

Tugasan HBSC1103 - Kelas Konstruktivisme

  1. PENDAHULUAN

Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, terdapat banyak idea-idea Teori Pembelajaran dalam membantu guru-guru menjalankan sesi tersebut dengan berkesan. Setiap mata pelajaran, akan ada teori yang bersesuaian dan berkesan dalam menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Ideologi daripada Teori Pembelajaran Konstruktivisme adalah pengaruh besar dalam pembelajaran mata pelajaran Sains. Pengaruh psikologi yang sangat menonjol melibatkan kemahiran berfikir terhadap Sains semenjak 1980 adalah melalui sudut pandangan Konstruktivisme. (Fensham, 1980). Berdasarkan kenyataan oleh Fensham itu, maka mata pelajaran Sains sememangnya sesuai diajar di dalam kelas berdasarkan konsep Teori Pembelajaran Konstruktivisme. Menurut Borich dan Tombari (1997), Konstruktivisme ialah pendekatan pembelajaran yang menyediakan peluang terhadap murid-murid membina kefahaman sendiri terhadap apa yang dipelajari dan mengaitkannya dengan apa yang mereka sedang pelajari iaitu antara idea dan fakta. Pendek kata, Konstruktivisme itu adalah ideologi ‘binaan’. Secara amnya, ramai berpendapat dan berpandangan bahawa Sains hanya boleh dipelajari melalui ujikaji untuk membuktikan hipotesis, menghafal fakta dan teori di dalam makmal. Hasilnya, strategi pengajaran Sains hanya berpusatkan guru sementara penglibatan murid adalah terbatas. Aktiviti-aktiviti pengajaran yang menggalakkan penglibatan murid-murid dalam pembelajaran amat kurang digunapakai oleh guru-guru dalam sesi-sesi pengajaran mereka. (Jemaah Nazir Sekolah, 1992). Sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan apabila terdapat penglibatan murid-murid secara aktif terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh guru kerana proses membina kemahiran dan menggunakannya merupakan antara konsep pendidikan di sekolah rendah.
Teori Konstruktivisme memberi keutamaan terhadap murid-murid dalam membina pengetahuan berdasarkan proses psikologi yang aktif dengan membina ilmu pengetahuan ke dalam struktur kognitif berasaskan pengalaman sedia ada yang ada pada murid-murid. Melalui perspektif Konstruktivisme, proses pembelajaran bermakna dan berkesan itu terbina dengan sendirinya melalui murid-murid tersebut apabila pengetahuan sedia ada mereka bertindakbalas terhadap maklumat yang sedang dipelajari membentuk kefahaman dan makna. Oleh itu, melalui pembelajaran secara konstruktivisme, pembelajaran yang bermakna akan diberi keutamaan selain penyusunan kurikulum dan konsep asas yang menggalakkan murid-murid membuat penyiasatan dan penilaian dalam mengemudi pembelajaran mereka. Pendekatan pembelajaran dalam sesi pengajaran dan pembelajaran merangsang murid-murid untuk membina pengetahuan melalui pengalaman adalah Konstruktivisme, yang sangat sesuai digunapakai dalam kelas atau darjah pengajaran mata pelajaran Sains.
Terdapat pelbagai kelebihan dalam menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran secara konstruktivisme ini bagi mata pelajaran Sains. Manfaat itu bukan sahaja tertumpu kepada murid-murid, malahan kepada guru, terutama sekali dalam mencapai objektif pengajaran, disamping memberikan input yang banyak kepada murid-murid melalui apa yang ingin disampaikan dalam isi pelajaran. Kesesuaian penggunaan konsep konstruktivisme dalam Sains ini telah lama dipraktikkan dan sehingga sekarang ia sesuai digunakan. Apatah lagi, sains memerlukan sokongan logik dan fakta bagi membuktikan kebenaran, maka murid-murid akan dapat manfaat di dalam pembelajaran secara konstruktivisme ini melalui idea-idea sedia ada untuk dikaitkan dengan idea-idea yang baru dipelajari. Malah, mata pelajaran Sains juga berkaitan dengan penyelidikan yang inovatif. Murid membina pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasikannya kepada situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperoleh dengan binaan intelektual yang sedia wujud (Briner M., 1999).



  1. CIRI-CIRI PEMBELAJARAN DALAM KELAS KONSTRUKTIVISME

Di antara ciri-ciri pembelajaran di dalam kelas berorientasikan Teori Konstruktivisme ini ialah, murid-murid akan bertanya dan berdialog dengan guru. Ciri ini juga berlaku di dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran lain selain Sains. Namun, perbezaannya ialah, soalan yang dikemukan adalah soalan terancang oleh guru kepada murid berdasarkan topik pengajaran pada hari tersebut. Dalam pengajaran Sains, soalan-soalan dikemukakan oleh murid-murid kepada guru untuk mengetahui jawapan dan logika. Malah, murid-murid juga akan berdialog dengan guru mengenai topik yang dipelajari agar pengetahuan sedia ada murid terhadap apa yang dipelajarinya dapat dicantumkan dengan isi pelajaran yang sedang dipelajarinya. Sebagai contoh, dalam Proses Fotosentisis, murid sudah mengetahui bahawa tumbuhan tanpa Karbon Dioksida atau cahaya matahari akan mengalami perubahan dari sudut fisiologinya, namun, penerangan daripada guru akan dapat menambahkan lagi pengetahuan dan kefahamannya terhadap Proses Fotosentisis seperti tumbuhan akan hidup pada suatu jangka masa namun mengalami perubahan fisiologi dan akan tetap mati selepas itu walaupun setelah itu diberikan cahaya matahari dan Karbon Dioksida.
Disamping itu, strategi-strategi pengajaran yang digunakan oleh guru adalah mencabar pengetahuan sedia ada murid-murid dengan memperkembangkan idea serta menyediakan cara supaya idea baru yang diperoleh adalah senang untuk diterima oleh mereka. Oleh itu, penglibatan murid-murid di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran adalah sangat penting kerana dalam proses membina pengetahuan baru, murid-murid menggunakan kemahiran berfikir dalam menyelesaikan masalah, menjana idea serta dalam membuat keputusan. Contohnya, dalam aktiviti penyelidikan dan penyiasatan seperti mengenalpasti masalah, mengumpul maklumat, memproses data, membuat interpretasi dan membuat kesimpulan. Melalui pengetahuan sedia ada yang telah ada pada murid, akan cuba mengaitkan konsep yang difahaminya dengan pelajaran yang baru dipelajarinya melalui beberapa cara seperti menyelesaikan masalah. Murid perlu terlibat sepenuhnya terlebih dahulu dalam sesi pengajaran dan pembelajaran agar murid dapat mengaitkan konsep baru dengan konsep sedia ada dalam memahami isi pelajaran.
Guru juga akan memberikan ruang dan peluang kepada murid-murid untuk menggunakan idea baru yang mereka perolehi sebaik-baiknya di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Malah, guru juga perlu mengambil kira kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh murid-murid terhadap idea baru yang mereka ada. Peluang ini penting agar murid-murid lebih yakin kepada diri sendiri dan berani menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi baru. Contohnya, belajar topik baru memerlukan murid-murid bijak menggunakan pengetahuan sedia ada dan idea yang mereka ada untuk memahami konsep yang dipelajari. Murid juga akan lebih memahami sesuatu topik itu apabila guru memberikan muri-murid peluang seperti ini. Sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas juga akan menjadi lebih seronok serta tidak membosankan dengan hanya guru yang lebih memainkan peranan tetapi kurang penglibatan oleh murid-murid.
Selain itu, kesedaran guru terhadap murid-murid di dalam situasi pembelajaran dengan idea-idea dan pengetahuan terdahulu dan sedia ada pada mereka akan digunakan oleh murid-murid tersebut untuk memahami isi pelajaran. Guru akan menggalakkan dan malahan menerima daya usaha dan autonomi murid-murid. Apabila murid-murid belajar dan mereka sudah memahami konsep, maka ingatan atau memori terhadap konsep yang difahami itu akan sentiasa diingat dan mereka akan mengaitkan pengetahuan yang baru diterima atau dipelajari dengan pengetahuan sedia ada, iaitu konsep yang sudah difahami tadi untuk membina pengetahuan baru. Murid-murid perlu menggunakan data-data dan bahan-bahan fizikal, manipulatif atau interaktif untuk menolong mereka dalam menjana idea dan pengetahuan baru. Inisiatif oleh murid-murid sendiri dalam mengemukakan soalan-soalan atau isu-isu berkaitan sangat penting sebelum membuat analisis dan menjawab soalan-soalan tersebut. Murid-murid sendiri akan bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri dan boleh menyelesaikan masalah.
Semasa berlangsungnya sesi pengajaran dan pembelajaran pula, matlamat konseptual yang jelas dalam diri guru terhadap murid-murid dan mempunyai kefahaman bagaimana murid-murid mesti mengaplikasi dan melaksanakannya untuk mencapai objektif. Guru akan memberikan masa secukupnya kepada murid-murid agar dapat membuat perkaitan idea-idea mereka disamping menggalakkan pembelajaran koperatif dalam aktiviti pembelajaran. Murid akan mencabar hipotesis yang telah dibuat terlebih dahulu serta diberi galakan untuk melakukan pembelajaran secara koperatif dengan membuat perbincangan. Guru perlu memberi banyak ruang dan peluang untuk menguji hipotesis mereka melalui perbincangan koperatif tersebut. Melalui pembelajaran koperatif ini Kemahiran Sosial murid akan dapat ditingkatkan. Membantu mereka untuk bekerjasama dengan orang lain iaitu murid-murid yang lain kerana melalui proses ini, murid-murid akan berkomunikasi sesama mereka selain bersama dengan guru.
  1. RANCANGAN PENGAJARAN

Berikut adalah contoh Rancangan Pengajaran Harian (RPH) mata pelajaran Sains Tahun 4 yang mempunyai ciri-ciri konstruktivisme serta berasaskan Model Lima Fasa Needham.



RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN SAINS TAHUN 4
Kelas : Tahun 4
Tarikh : 08 Ogos 2012
Hari : Rabu
Masa : 8.50 – 10.20pagi (90 minit)
Bilangan Murid : 30 orang
Bidang Kajian :
Menyiasat bumi dan alam semesta.
Objektif Umum :
1. Mengetahui tentang bentuk dan saiz matahari.
2. Mengetahui bahawa matahari memancarkan cahaya dan haba.
Objektif Khusus :
1.Menyatakan matahari berbentuk sfera.
2. Memperihalkan saiz matahari secara perbandingan dengan saiz bumi.
3. Memperihalkan bahawa matahari memancarkan cahaya dan haba.
Tajuk Pelajaran :
Bentuk dan saiz matahari serta mengetahui matahari memancarkan cahaya dan haba.
Kaedah :
Perbincangan.
Kemahiran Saintifik :
Memerhati, Mengelas, Berkomunikasi, Meramal, Membuat inferens
Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK):
Mencirikan, Membanding dan Membeza, Menganalisis, Menjana idea, Menghubungkait dan Membuat kesimpulan.
Sikap Saintifik dan Nilai Murni:
Minat dan bersikap ingin tahu, fleksibel dan berfikiran terbuka, bekerjasama dan yakin, memahami bahawa sains adalah satu cara memahami alam.
Pengetahuan Sedia Ada :
Murid telah biasa melakukan beberapa aktiviti di bawah terik matahari
Objektif Eksplisit :
Diakhir sesi pengajaran dan pembelajaran, murid akan dapat:
  1. Menyatakan bahawa matahari berbentuk sfera
  2. Menggambarkan saiz matahari
  3. Menyatakan matahari memancarkan cahaya dan haba
Sumber Pengajaran dan Pembelajaran :
Gambar Matahari, Lembaran kerja

FASA
ISI KANDUNGAN
AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
CATATAN
Orientasi
(5 minit)
  • Matahari berbentuk sfera
  • Suhu matahari adalah sangat panas
  • Guru menunjukkan gambar matahari dan bertanya kepada murid :
  • Apakah bentuk matahari?
  • Berapakah saiz matahari?
  • Mengapakah matahari mempunyai warna merah membara?
  • Guru mengaitkan jawapan murid dengan isi pelajaran pada hari tersebut
KPS
  1. Memerhati
  2. Berkomunikasi

KBKK
  1. Menjana idea
  2. Menghubungkait
  3. Mencirikan
  4. Membanding dan membeza

SSNM
  1. Minat dan bersikap ingin tahu
  2. Fleksibel dan terbuka

BBM
  1. Gambar matahari
Pencetusan Idea
(25 minit)
  • Cahaya dan haba matahari membantu hidupan di bumi untuk terus hidup. Contoh :
  • Tumbuhan memerlukan cahaya matahari untuk menjalani proses fotosintesis
  • Murid diminta membentuk 5 kumpulan kecil
  • Guru meminta setiap kumpulan untuk membincangkan fungsi matahari kepada hidupan di bumi.
  • Wakil daripada setiap kumpulan akan membentang hasil dapatan mereka di hadapan kelas.
  • Guru memberi ulasan tambahan kepada apa yang telah dibentangkan oleh murid
KPS
  1. Berkomunikasi
  2. Memerhati
  3. 3. Meramal

KBKK
  1. Membuat kesimpulan
  2. Mencirikan
  3. Membanding dan membeza
  4. Menjana idea

SSNM
  1. Minat dan bersikap ingin tahu
  2. Fleksibel dan bersikap terbuka
Penstrukturan semula idea
(35 minit)
  • Jika tidak ada cahaya dan haba matahari, bumi akan sentiasa berada dalam keadaan gelap dan sejuk. Kejadian siang dan malam juga tidak ada bezanya.
  • Dalam kumpulan yang sama, murid diminta melukis tentang persekitaran bumi sekiranya tidak ada cahaya dan haba matahari sampai ke bumi
  • Wakil daripada setiap kumpulan akan membentang lukisan mereka dengan penerangan daripada mereka tentang keadaan yang mereka ramalkan akan berlaku.
KPS
  1. Berkomunikasi
  2. Memerhati

KBKK
  1. Mencirikan
  2. Menghubungkait
  3. Menjana idea
  4. Meramal
  5. Membuat kesimpulan

SSNM
  1. Minat dan bersikap ingin tahu
  2. Bekerjasama
Pengaplikasian Idea
(20 minit)
  • Lembaran kerja
  • Guru mengedarkan lembaran kerja kepada setiap murid untuk disiapkan
KPS
  1. Memerhati
  2. Berkomunikasi

KBKK
  1. Menjana idea
  2. Menghubungkait
  3. Membuat kesimpulan

SSNM
  1. Minat dan bersikap ingin tahu
  2. Fleksibel dan berfikiran terbuka

BBM
  1. Lembaran kerja
Penutup
(5 minit)
  • Soal jawab
  • Guru membimbing murid untuk membuat rumusan tentang isi pelajaran
SSNM
  1. Yakin
  2. Berani
  1. ANALISIS RANCANGAN PENGAJARAN

Berdasarkan sesi pengajaran dan pembelajaran secara konstruktivisme di dalam kelas, Rancangan Pengajaran yang telah saya buat menerapkan beberapa ciri-ciri pembelajaran secara konstruktivisme. Oleh kerana pembelajaran konstruktivisme menyediakan bilik darjah yang menggalakkan murid-murid mengeluarkan pendapat lalu membincangkan idea yang mereka ada, maka Kaedah pembelajaran melalui perbincangan berkumpulan akan dapat membantu murid-murid dalam membentangkan idea-idea yang berkaitan dengan tajuk perbincangan seterusnya membincangkan idea-idea mereka sama ada bersesuaian atau tidak dan sama ada idea tersebut penting atau tidak. Setelah selesai perbincangan, murid-murid akan membentangkan dapatan perbincangan tersebut di dalam kelas, yang mana aktiviti ini memupuk sikap keberanian dan keyakinan diri murid-murid. Apabila aktiviti ini dijalankan, maka murid-murid daripada kumpulan lain akan memberikan soalan kepada kumpulan yang membentang untuk dijawab. Seperti juga dalam pembelajaran konstruktivisme, aktiviti ini merangsang murid-murid mengeluarkan pendapat atau idea-idea mereka sendiri sama ada bersetuju atau tidak dengan idea kumpulan lain dan akan membincangkan setiap idea yang mereka ada.
Melalui Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dan Kemahiran Saintif dan Nilai Murni (SSNM) pula, murid akan digalakkan dalam penggunaan Kemahiran Berfikir yang lebih, terutama sekali dalam mengaitkan pengetahuan sedia ada mereka mengenai matahari, iaitu mereka sudah biasa melakukan sesuatu kerja di bawah terik matahari kemudian mengaitkan pula pengetahuan atau idea tersebut melalui KBKK dan SSNM di dalam Rancangan Pengajaran Harian ini untuk mengetahui dan memahami mengenai matahari. Guru menggunakan kaedah pembelajaran koperatif bagi mencambahkan lagi pengetahuan murid-murid berdasarkan KBKK dan SSNM mereka. Murid akan menerangkan idea-idea mereka dan guru akan menilai, menghargai dan mengiktiraf idea-idea murid. Dalam pembelajaran koperatif juga, guru akan mencabar murid untuk memberi penerangan yang lebih tepat dan jelas lagi mengenai idea-idea mereka berdasarkan analisis, banding beza, pencirian , hubungkait dan kesimpulan daripada KBKK yang mereka lakukan.
Dalam fasa Orientasi, guru mengemukakan soalan kepada murid berdasarkan gambar matahari. Dengan soalan-soalan yang diberikan oleh guru serta berdasarkan gambar matahari, murid-murid akan berkomunikasi dengan guru untuk menerangkan secara ringkas mengenai gambar. Penerangan ringkas oleh murid itu adalah melalui pembelajaran konstruktivisme yang dirangsang oleh KBKK murid dengan menjana idea yang sudah sedia ada dengan pengetahuan baru sebelum membuat kesimpulan mengenai gambar. Apabila guru mengaitkan jawapan-jawapan murid dengan isi pembelajaran, maka murid akan lebih bersedia dan lebih seronok untuk meneruskan sesi pembelajaran kerana mereka diberi peluang untuk berkomunikasi dengan guru seterusnya diberi ruang dan peluang untuk menyatakan idea-idea mereka melalui jawapan yang diberi. Guru juga menggalakkan jawapan-jawapan murid, yang merupakan idea-idea mereka untuk digunakan sebagai panduan di dalam merancang sesi pengajaran dan pembelajaran.
Manakala dalam Fasa Pencetusan Idea, berdasarkan konsep konstruktivisme, guru mengadakan aktiviti perbincangan di dalam kumpulan. Pembelajaran secara koperatif ini akan membantu murid-murid mencambah idea-idea baru untuk didebatkan dengan murid-murid menganalisis, menjana ideamencirikan sebelum membuat keputusan untuk menerima idea-idea tersebut. Melalui Kemahiran Proses Sains (KPS), murid-murid akan berkomunikasi antara satu sama lain selain dengan guru bagi meningkatkan lagi Kemahiran Sosial mereka. Perbincangan mengenai fungsi matahari kepada hidupan di bumi juga membolehkan murid-murid mengaitkan idea-idea yang sedia ada daripada mereka seperti untuk mengeringkan pakaian yang dijemur dan melakukan kerja-kerja yang tidak dapat dilakukan pada waktu malam seperti petani dan peladang, akan dianalisis oleh murid kemudian berdasarkan idea-idea tersebut, murid mengaitkan dengan fungsi-fungsi yang baru diperolehinya seperti, untuk kehidupan, untuk kepentingan dalam pelbagai bidang seperti pertanian, perikanan, perlombongan dan sebagainya.
Selain itu, guru juga akan meneruskan kaedah pembelajaran secara koperatif dalam Fasa Penstrukturan Semula Idea. Dalam fasa ini murid diminta melukis keadaan persekitaran bumi sekiranya tidak ada cahaya dan haba dari matahari sampai ke bumi. Dengan idea-idea dan pengetahuan sedia ada murid-murid terhadap fungsi matahari kepada hidupan di bumi, maka mudahlah bagi murid-murid untuk menggambarkan dan menjana idea dengan idea-idea tersebut untuk dikaitkan dengan pengetahuan baru. Contohnya, murid mengetahui bahawa matahari merupakan sumber di dalam kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan. Maka keadaan persekitaran bumi akan dapat dibayangkan dan digambarkan oleh murid-murid melalui lakaran mereka. Aktiviti ini merangsang murid menggunakan idea-idea mereka untuk digunakan melalui pencirian, hubungkait, menjana idea dan membuat kesimpulan melalui KBKK dan seterusnya berkomunikasi dengan ahli-ahli kumpulan yang lain selain berkomunikasi dengan guru berkaitan idea-idea yang ada.
Akhir sekali, melalui Fasa Penutup, guru akan membuka sesi soal jawab kepada murid-murid yang mana sesi ini merupakan antara ciri-ciri pembelajaran secara konstruktivisme di dalam kelas. Guru menggalakkan dan merangsang murid-murid bertanya soalan yang meragukan kepada murid terhadap isi pelajaran selain berdialog dengan guru. Guru perlu mengambil kira kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh murid-murid kerana guru merupakan fasilitator yang akan membantu murid dalam membina pengetahuan dan menyelesaikan masalah. Situasi ini akan membina keyakinan dan keberanian murid dalam berkomunikasi sekaligus dapat membantu meningkatkan Kemahiran Soaial murid-murid.


  1. RUMUSAN
Pengajaran secara konstruktivisme sebenarnya mendidik murid-murid agar lebih berdikari dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Sains. Pendekatan berasaskan guru akan dikurangkan serta-merta kerana sesi pengajaran dan pembelajaran yang bercirikan konstruktivisme lebih kepada pendekatan berasaskan murid sepenuhnya manakal guru hanya sebagai pemudahcara atau pembimbing dan fasilitator. Walaubagaimanapun, tugas guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran secara konstruktivisme juga sangat penting kerana guru adalah pencetus dalam membantu murid-murid mendapatkan pengetahuan atau idea-idea baru untuk dikaitkan dengan idea-idea dan pengetahuan sedia ada murid-murid. Malah, pengetahuan yang dimiliki oleh murid-murid melalui sesi pengajaran dan pembelajaran secara konstruktivisme itu adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh murid-murid sendiri dan bukan pengajaran yang diterima secara pasif. Selain itu, pembelajaran secara konstruktivisme ini menjadikan murid-murid lebih inovatif kerana guru akan menggalakkan murid melalui proses inkuiri penemuan berdasarkan kajian-kajian dan eksperimen-eksperimen yang dilakukan, iaitu dalam mata pelajaran Sains. Malah, murid menjadi lebih kreatif dan kritis kerana pembelajaran konstruktivisme ini mementingkan Kemahiran Berfikir. Disamping itu, melalui corak pembelajaran ini juga, murid-murid akan lebih memahami dan mengingati sesuatu konsep yang dipelajari seterusnya mampu menjadikan situasi pembelajaran Sains lebih seronok dan tidak membosankan.
Walaupun di dalam pembelajaran konstruktivisme terdapat beberapa kekurangan, namun dalam pengajaran mata pelajaran Sains, kaedah pembelajaran konstruktivisme adalah lebih sesuai untuk dipraktikkan. Malahan, kekurangan tersebut perlu dianggap sebagai satu cabaran yang perlu diatasi oleh guru-guru Sains khasnya. Manfaat paling utama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Sains adalah pemahaman dan penguasaan konsep dikalangan murid-murid dan kepada guru pula, pencapaian terhadap objektif pengajaran Sains dapat disampaikan kepada murid-murid, apatah lagi dalam mata pelajaran Sains, banyak eksperimen yang perlu dilakukan maka, tanpa pengalaman sendiri, murid pasti sukar untuk memahami konsep seterusnya sukar untuk mengingatinya. Guru pula boleh menjadikan sesi soal jawab sebagai salah satu cara penerangan bagi menambah kefahaman murid-murid.

No comments:

Post a Comment